Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS hasrat buka pusat kumpul barang makanan di Klang, Rawang

SHAH ALAM, 30 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengenal pasti dua lagi pusat operasi pengumpulan barangan basah dan kering untuk kemudahan pasar bergerak.

Pengurus kanan tertinggi pembangunan institusi pemasarannya berkata lokasi meliputi Meru, Klang dan Selangor Fruits Valley, Rawang dengan barangan dijual kepada komuniti setempat.

Siti Noor Lianna Misli memaklumkan kedua-dua pusat itu dibangunkan sebagai tambahan kepada lokasi pengumpulan sedia ada di Wisma PKPS Seksyen 14, Shah Alam dan Dengkil.

“Melalui pusat operasi ini, perkhidmatan kepada pelanggan akan bergerak lebih laju sekali gus mampu menampung permintaan,” katanya pada program jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di sini.

Beliau memaklumkan program Lori Selangor Agro Market ketika ini dijayakan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menyewakan peti dan ruang sejuk beku pada harga berpatutan bagi menjamin kualiti serta kesegaran produk.

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.