Categories
NASIONAL

Rafizi: Kempen #turunhargadandanrambut untuk Rosmah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 FEB: Dakwaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bahawa beliau terpaksa membayar RM1,200 atas khidmat dandanan rambutnya terus menjadi perhatian ramai terutama di laman sosial.

Isu berkenaan turut menjadi bahan jenaka Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang meminta orang ramai supaya menyokong kempen #turunhargadandanrambut kerana bersimpati dengan nasib Rosmah.

Beliau dengan sinis turut menyarankan Rosmah mengenakan tudung atau berhijab yang nyata lebih menjimatkan dan mengurangkan kos dandanan rambut.

Rafizi“Saya bersimpati dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang tertekan kerana harga dandanan rambut beliau mencecah RM1,200 sekali dandan.

“Saya cadang kita sokong kempen #turunhargadandanrambut, kalau tidak saya cadang tutup aurat maka tidak timbul soal harga dandan rambut” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, tinjauan Selangor Kini di Facebook mendapati orang ramai berterusan mempertikai pembaziran Rosmah dalam urusan perbelanjaan sedangkan kebanyakan rakyat ketika ini terpaksa menghadapi kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.

Bagi Yusrinda Yusof, kos dandanan rambut wanita pertama Malaysia itu hampir setanding dengan gaji sebulan rakyat marhaen dan jelas menunjukkan keborosan Rosmah.

“Terkilan sungguh kami…Jika dia tutup aurat (berhijab) pasti tiada pembaziran bahkan mendapat ganjaran pahala.

najibrosmah_400_289_100_270_195_100“Semoga beliau dikurniakan taufik dan hidayah. Amin,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Mohd Ikram Amz berkata, kos berkenaan boleh digunakan rakyat untuk membeli barangan dapur dengan jumlah yang banyak setiap bulan.

Dia turut menasihatkan Rosmah supaya tidak ‘membuang’ wang begitu sahaja kerana kebanyakan rakyat kini hidup dalam kesempitan akibat kos hidup yang semakin meningkat.

Bagi Rosmaliza Arifin pula, isteri Perdana Menteri seharusnya menjadi contoh kepada anak bangsa dengan mengenakan imej muslimah seperti dituntut Islam.

Untitled“(Beliau) patut menjadi role model kepada anak bangsa sendiri kerana berhijab itu sangat cantik wahai Datin Seri Rosmah.

“Tidak payah tayang rambut palsu tu, fesyen muslimah bagi yang bertudung sekarang makin banyak yang cantik dan sedap mata memandang,” katanya.

-NFN-