Categories
NASIONAL

Hampir mustahil bubar Rejimen Askar Melayu Diraja

SHAH ALAM, 1 APR: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menegaskan hampir mustahil bagi mana-mana pihak membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kerana ia dilindungi perlembagaan.

Presidennya, Mohamad Arshad Raji berkata,rejimen itu juga memiliki sejarah panjang, termasuk mempunyai kaitan dengan Raja-raja Melayu.

“Kita perlu faham sejarah penubuhan RAMD dan menyedari hampir mustahil membubarkan atau membuat pengisytiharan berlebihan berkenaan RAMD.

“Saya katakan ini dengan niat sangat jelas, bahawa tiada kerajaan atau mana-mana bakal kerajaan yang mahu membuat perisytiharan sedemikian, bukan hanya atas sebab sejarah tetapi lebih penting perkaitan RAMD dengan Raja-raja Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan rejimen tertua dalam angkatan tentera darat itu.

Terdahulu, Najib dalam satu majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera memberi amaran bahawa RAMD mungkin dibubarkan jika rakyat salah memilih kerajaan.

Mohamad Arshad berkata, kenyataan Najib yang jelas ditujukan kepada pembangkang tidak memberikan petanda baik kepada perpaduan negara.

“Walaupun perdana menteri tidak secara khusus menyatakan apa dimaksudkan dengan ‘Malaysian Malaysia’, orang boleh andaikan beliau merujuk kepada parti pembangkang, terutama DAP kerana ia merupakan parti yang menyokong konsep Malaysian Malaysia’ sejak 1970-an.

“Parti itu menggugurkan konsep berkenaan sebagai slogan dua dekad lalu, (tetapi) jelas perdana menteri menyindir kerajaan dipimpin DAP jika pembangkang menang pilihan raya.

“Kami pasti kenyataan beliau juga akan memperkecilkan raja Melayu,” tambahnya.

RAMD ditubuhkan pada 1933 oleh kerajaan kolonial British dan merupakan pasukan tempur infantri tertua serta tertinggi dalam angkatan tentera.

Batalion pertamanya ditugaskan mengadakan upacara kawalan kehormat dan istiadat dalam acara rasmi membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda sahut cabaran sertai RAMD

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI UDANG, 19 JULAI: Pendirian Raja Muda, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) didorong atas minat dan iltizam tinggi baginda.

Memilih untuk menyertai RAMD berbanding ayahandanya DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), baginda lebih memilih untuk berkhidmat bersama RAMD.

“Ramai yang bertanya, mengapa memilih untuk menyertai RAMD dan tidak untuk bersama pasukan laut atau udara.

Raja Muda“Namun, kerana mahukan cabaran dan ketahanan mental serta fizikal dalam latihan ketenteraan darat, menarik minat beta untuk menyertai RAMD,” titah Raja Muda kepada SelangorKini.

Ayahandanya sebelum ini dilantik sebagai Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarea Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM), pada 27 Ogos 1998.

Pelantikan Sultan Sharafuddin susulan kejayaan baginda belayar mengelilingi dunia pada 4 Febuari 1995 dan berakhir pada 6 November 1996 sejauh 27,949 batu nautika dan berlabuh di 155 pelabuhan.

Pelayaran selama 644 hari itu melayakkan baginda dilantik sebagai Kepten Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pad 2002 selain menerima Beret Kehormat dan Lencana Pasukan Khas (PASKAL) pada 6 Oktober 2014 di Kapal Diraja KD Sri Semporna, Sabah.

Berbeza dengan anakandanya, Tengku Amir mula menjalani latihan ketenteraan Commissioning Course Intake 152 di RMA Sandhurst, United Kingdom pada 3 Mei 2015 hingga 15 April lalu.

Raja MudaSebelumnya, baginda berkelulusan Bachelor of Science in Ecology and Environmental Biology dari University Of Leeds dan mengangkat sumpah sebagai Pegawai Kadet, pada 24 September 2014.

Titah Raja Muda, elemen disiplin yang diterapkan sepanjang latihan ketenteraan darat menggambarkan ketahanan diri individu untuk mengharungi cabaran sebenar sebagai pegawai tentera.

Titah baginda lagi, Raja Muda turut berkongsi pengalaman menjalani latihan ketenteraan dengan mengenepikan sentimen dan kedudukannya berstatus diraja.

“Ia sesuatu yang baru apabila sepanjang latihan, beta berpeluang membuat terjunan payung terjun pertama kali dalam hidup.

“Kalau ada peluang, memang ada keinginan untuk membuat terjunan itu sekali lagi,” titahnya penuh teruja.

Kesungguhan baginda meneruskan khidmat bakti kepada nusa dan bangsa wajar dicontohi golongan belia sebagai usaha menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

-NFN-