Categories
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya bina tapak refleksologi, belanja hampir RM20,000

SHAH ALAM, 1 FEB: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya membelanjakan RM19,997 untuk memasang tapak refleksologi di Padang Permainan Jalan USJ 9/5.

Wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze berkata tapak senaman kaki itu merupakan antara projek kecil di bawah DUN terbabit yang siap pada 29 November tahun lalu.

“Pejabat saya menerima surat permohonan daripada Pertubuhan Penduduk USJ 9 untuk membina kemudahan ini kerana pertambahan bilangan warga emas di kawasan tersebut.

“Malah, padang permainan itu juga sering dikunjungi ramai penduduk pada waktu pagi dan petang untuk melakukan senaman dan beriadah,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga USJ 9 Khoo Kah Jin berkata inisiatif itu amat bermanfaat kepada penduduk kerana tapak refleksologi dapat meningkatkan kesihatan individu.

“Refleksologi memainkan peranan yang penting dalam budaya Cina. Justeru, kami dapat berkongsi ilmu dan budaya ini dengan kaum lain di samping mengeratkan hubungan antara penduduk,” katanya.