Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Suee Lim cabar Jamal kemuka bukti peras ugut

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dicabar mengemukakan bukti atas dakwaan peras ugut yang dibuat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim kepada premis perjudiaan di Sekinchan.

Suee Lim menyifatkan tuduhan liar yang dibuat Jamal itu tidak berasas dan berniat jahat.

“Beliau kritik saya dan menuduh premis perjudian yang dibina di kawasan saya merupakan kroni. Dia kata saya mengambil RM5,000 sebulan.

“Saya mencabar beliau untuk tampil kemukakan bukti. Jika tidak, beliau perlu memohon maaf kepada saya,” katanya kepada SelangorKini.

Ng Suee LimPada masa sama, Suee Lim menyokong tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang meroboh resort milik Jamal.

“Sudah banyak peluang yang diberikan kepada beliau tetapi tetap ingkar dan melanggar undang-undang. Ternyata Kerajaan Negeri sudah bertolak ansur tetapi beliau mendakwa dianiaya,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan resort terbabit turut dikhuatiri mengancam keselamatan pelancong ekoran status tanah itu masih pertanian dan kebenaran merancang juga tidak dikeluarkan.

Suee Lim turut mengalukan tindakan Jamal yang mahu menyaman Kerajaan Negeri dan MDSB.

“Beliau ada hak. Tetapi saya percaya kita berada di landasan yang betul. Kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya.

Semalam, Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu memfailkan saman terhadap MDSB.

Tindakannya memfailkan saman itu adalah bagi menuntut ganti rugi yang terpaksa ditanggung pihaknya berikutan tindakan menyita dan merobohkan resort itu, baru-baru ini.

-NFN-