Categories
AGENDA NASIONAL

Pupuk prinsip Rukun Negara dari prasekolah

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Pemahaman dan penghayatan prinsip dan nilai Rukun Negara perlu bermula seawal peringkat prasekolah supaya ia mampu sebati dengan jati diri setiap warganegara Malaysia, kata Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia berkata penghayatan juga perlu dirangka melalui pendekatan lebih kreatif dan bukanlah hanya sekadar melalui nyanyian atau menghafal sahaja.

“Saya tahu sekarang pun ada usaha di peringkat prasekolah tetapi saya rasa realitinya lain (hasilnya kurang baik),” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam tadi.

Menurutnya, pada masa kini penghayatan prinsip itu hanya tertumpu dalam soal menghafal tanpa memahami nilai dan maksud sebenar perkara yang diungkapkan.

Sambutan jubli emas Rukun Negara, anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Perpaduan Negara dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program penghayatan Rukun Negara di pusat beli belah

PUTRAJAYA, 3 OKT: Kerajaan akan berbincang dengan pemilik pusat membeli belah utama bagi menggunakan premis tersebut sebagai lokasi penganjuran program berkaitan Rukun Negara sekurang-kurangnya dua kali sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Dengan lebih 70 peratus pengunjung mengunjungi pusat membeli-belah pada hujung minggu, ia adalah platform terbaik untuk digunakan bagi mempromosi program penghayatan Rukun Negara kepada rakyat, katanya.

“Beberapa pemilik telah menyatakan kesediaan untuk premis mereka dijadikan lokasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penghayatan Rukun Negara di Shafbury Putrajaya, di sini hari ini.

Selain Shafbury Putrajaya, katanya pusat membeli belah Alamanda di sini juga telah dipilih sebagai lokasi perintis pelaksanaan program penghayatan Rukun Negara itu yang telah pun bermula bulan lepas.

Waytha Moorthy berkata pihaknya melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan merangka pelbagai program berkaitan Rukun Negara dengan melibatkan semua premis perniagaan di pusat membeli belah tersebut.

“Apabila semua pihak bergabung melaksanakan program penghayatan rukun negara di dalam satu bangunan yang menjadi tumpuan umum, maka impaknya akan lebih terasa kepada masyarakat,” katanya yang memegang portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif iKHASAS Group Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata selaku pemilik bangunan Shafbury di Putrajaya dan Cyberjaya, pihaknya sedia membantu kerajaan mempromosikan keharmonian, keamanan dan perpaduan kaum melalui program penghayatan Rukun Negara di premisnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rukun Negara yang sebati jadikan Malaysia negara contoh

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Jika setiap lima prinsip Rukun Negara sebati dalam diri setiap warganegara, nescaya Malaysia akan menjadi negara contoh kepada dunia, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Dr Mohd Nor Manuty.

Beliau berkata Rukun Negara amat penting dihayati oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya dalam memperkukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Prinsip Rukun Negara ialah Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.

“Kita akan dapat melihat kurangnya sentimen perkauman, kita juga akan dapat melihat permasalahan sosial yang menurun atau budaya hedonistik yang melampau-lampau akan berkurangan, pembaziran dan sebagainya.

“Kerana itu ia dipanggil rukun, apabila kita tidak ikut Rukun Negara bererti ada kepincangan dalam negara kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Forum “Mengisi Harapan Kemerdekaan – Agenda Bersama dan Harapan Masa Depan” anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar, di sini baru-baru ini.

Dalam mengisi kemerdekaan negara, Mohd Nor berkata, penerapan makna Rukun Negara perlu diperkasakan dalam sistem pendidikan negara kerana kelima-lima prinsip itu bukan hanya untuk dihafal, tetapi juga dipraktikkan.

Bagi pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Razak Idris pula, negara berhadapan dengan cabaran untuk memberi makna kemerdekaan kepada generasi muda yang lahir ketika negara sudah berkembang pesat.

Jika sebelum 31 Ogos 1957, rakyat menyumbang kepada negara dalam perjuangan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah, kini cabarannya adalah membangunkan masyarakat yang berkualiti untuk mengisi kemerdekaan yang telah dikecapi, katanya.

“Kita ingin memberi sumbangan yang lebih besar kepada kemanusiaan dan membina pemikiran yang lebih luas, itu satu dalam konteks mengisi kemerdekaan.

“Isu perkauman pula masih wujud dan itu amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya terjadi kerana ini menunjukkan kepelbagaian masyarakat kita tidak dihargai oleh sebahagian pihak dalam negara,” katanya.

Untuk itu, katanya aktiviti silang budaya melalui sistem pendidikan dan kegiatan dalam masyarakat perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan integrasi kaum di negara ini.

-BERNAMA