Categories
AGENDA NASIONAL

Jadikan Rukun Negara asas cara hidup, bentuk masa depan Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Rukun Negara yang berfungsi sebagai falsafah negara, teras serta kunci kepada kejayaan perpaduan di negara ini perlu dihayati sebagai asas cara hidup rakyat dan membentuk masa depan Malaysia, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia berkata Rukun Negara merupakan agenda perpaduan negara dan adalah sangat penting bagi masyarakat mengamalkan Rukun Negara sebagai cara hidup masing-masing.

“Saya harap, tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi pemerintah, Rukun Negara harus diberikan pendedahan lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ oleh Bernama TV dan Bernama Radio di sini hari ini.

Selain itu, Lee berkata Rukun Negara harus dijadikan pegangan hidup dan diberi pendedahan, terutamanya kepada generasi muda kerana mereka merupakan pelapis pucuk pimpinan negara.

Sementara itu Lee menegaskan, pendedahan Rukun Negara bergantung pada tiga faktor dikenali sebagai tiga ‘P’ iaitu pendidikan, penghayatan dan pengamalan.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya membuat kajian berhubung pendidikan Rukun Negara di sekolah.

“Kita tidak mahu melihat Rukun Negara (hanya) dihafal oleh murid dan pelajar tetapi tidak merasai (menghayati) isi dan maksud kelima-lima prinsip berkenaan.

“Sistem pendidikan Rukun Negara itu bagi saya patut menjadi silibus di sekolah… ia harus bermula di sekolah kerana sekolah merupakan satu tempat, saluran amat penting untuk memupuk perpaduan,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor yang turut menjadi tetamu dalam program hari ini, berharap kerajaan memikirkan satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri seni di negara ini.

Menurut Rosyam, sekiranya industri seni mempunyai R&D yang boleh mewujudkan rangka tindak untuk diguna pakai sebagai satu hala tuju, industri itu akan memberikan impak besar kepada negara dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan di Korea Selatan mereka membelanjakan beratus-ratus juta (wang) untuk membuat R&D, tetapi hasilnya pada hari ini mereka membuat (pulangan) berbilion-bilion.

“Saya rasa R&D untuk Malaysia ini juga kita bukan hanya memanggil orang industri, tetapi keseluruhan orang yang bijak pandai (pakar) dalam bidang masing-masing untuk kita bersama dapat melakukan satu blueprint (rangka tindak) yang hebat,” katanya.

Sehubungan itu, Rosyam berharap kerajaan tidak melihat industri seni sebagai picisan kerana industri itu memainkan peranan penting dalam segala bentuk kemajuan dalam negara termasuk ekonomi, budaya dan lain-lain.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Semai rasa kepunyaan, jangan pinggir etnik minoriti

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Apabila memperkatakan mengenai rasa kepunyaan ia akan menjadikan sesiapa sahaja bertindak balas sekiranya barang atau hak mereka diganggu-gugat oleh orang lain.

Namun begitu, bagaimana pula dengan rasa kepunyaan rakyat terhadap negara ini?

Adakah setiap anggota masyarakat yang terdiri daripada latar belakang etnik, budaya dan agama yang pelbagai ini mempunyai rasa kepunyaan yang sama?

Nilai kebersamaan

Rasa kepunyaan akan lahir apabila setiap anggota masyarakat berasa ‘layanan’ yang sama, kewujudan mereka dihargai serta tidak disisih atau pun dipinggirkan.

Tidak kiralah kaum majoriti atau minoriti di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, jika wujud rasa kepunyaan dalam diri setiap rakyat, maka masing-masing akan saling menjaga, melindungi, memelihara dan mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

Profesor Politik dan Kerajaan Fakulti Ekologi Manusia, yang juga Penyandang Pertama Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jayum Anak Jawan berkata, untuk merealisasikan perkara itu, setiap wakil etnik perlu dilibatkan dalam pelbagai bidang baik di peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi.

“Peluang dan pengagihan kuasa perlu dilakukan sewajarnya termasuklah mempertimbangkan jawatan tertentu yang sesuai bagi suku etnik dari Sabah dan Sarawak untuk terlibat sama dalam urusan pentadbiran negara.

“Ini bukanlah bermakna etnik minoriti menuntut jumlah kerusi yang sama di Parlimen atau mereka semua mahu diangkat sebagai pemimpin, namun sekurang-kurangnya ada wakil dan ‘suara’ daripada suku kaum masing-masing agar mereka dapat merasa nilai kebersamaan itu wujud.

“Janganlah dinafikan hak mereka kerana mereka juga tidak terkecuali menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Menidakkan peluang kepada mereka boleh dianggap sebagai tindakan mendiskriminasi dan hanya akan membantutkan usaha memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Dukung prinsip Rukun Negara

Mengaitkan penghayatan rakyat terhadap prinsip Rukun Negara mampu menyumbang terhadap rasa kepunyaan, Jayum yang berasal dari kaum Dayak Iban di rumah panjang di Sungai Assan, Sibu, Sarawak berkata, kelima-lima prinsip iaitu Kepercayaan kepada tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan harus diangkat sebagai rujukan dalam kehidupan seharian rakyat.

Selepas 50 tahun mendukung prinsip yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 susulan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, rakyat, katanya, perlu menjadi lebih matang, semakin serasi antara satu sama lain serta berupaya mengangkat nilai perbezaan yang wujud sebagai kekuatan kepada negara.

“Prinsip Rukun Negara perlu dibudayakan. Dalam hal ini rakyat perlu sentiasa diingatkan dan ‘disuntik’ melalui pengisian berkaitan Rukun Negara dari semasa ke semasa agar ia terus menjadi amalan.

“Setiap kumpulan etnik perlu dilibatkan dalam ruang fizikal yang sama agar boleh saling kenal-mengenali, bertukar pandangan antara satu sama lain sekaligus memupuk nilai perkongsian dan seterusnya membawa kepada pengukuhan semangat patriotisme secara holistik,” katanya sambil menambah rakyat juga perlu bijak menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pandangan dan hasrat hati mereka.

Pola politik sejak 2018 menunjukkan ‘angin’ perubahan apabila populariti kumpulan parti politik berasaskan kaum semakin kurang menjadi pilihan rakyat.

“Politik baharu hari ini menyaksikan mana-mana kumpulan parti politik perlu mendapatkan sokongan daripada pelbagai kaum. Tindakan itu bukan sahaja membuktikan keseimbangan yang ada pada parti bahkan turut menyumbang kepada keyakinan rakyat sebagai pengundi,” katanya.

Hapus generalisasi kaum

Berkongsi pandangan, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) (Biro Belia) Suney Leo Ertza Neo a/l Sulaiman dari Kampung Orang Asli Sungai Kiol, Jerantut, berkata, stereotaip dan generalisasi kaum perlu dihapuskan selain mengelak penggunaan perkataan tertentu yang melabel dan dianggap menghina mana-mana etnik di negara ini.

Berasal dari suku kaum Che Wong, beliau berkata, sikap saling hormat menghormati cara kehidupan, adat, budaya serta bahasa antara satu sama lain perlu menjadi amalan dalam memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Masih terdapat segelintir masyarakat yang gemar mengaitkan Orang Asli apabila melibatkan isu paras rupa, tidak mahir atau ketinggalan dalam sesuatu perkara. Walaupun ia dianggap gurauan dan sesuatu yang normal bagi mereka, namun tindakan itu sama sekali tidak wajar berlaku sekiranya semua etnik mempunyai rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain,” katanya.

Turut berpendapat golongan minoriti tidak boleh terkecuali daripada menikmati hasil kemakmuran negara, beliau berkata kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya berturap, sumber air bersih, elektrik serta rangkaian komunikasi perhubungan seperti telefon seharusnya tidak lagi menjadi ‘isu pokok’ yang diperjuangkan golongan itu.

“Perkara-perkara itu kini sepatutnya menjadi satu keperluan hidup, bukan lagi kehendak. Jika ia masih berlaku pada hari ini maka kerajaan dan pihak berkenaan perlu lebih kerap ‘turun padang’, menyelami corak kehidupan suku kaum minoriti terutama yang tinggal di pedalaman.

“Masih ramai kanak-kanak dan remaja yang ketinggalan dalam bidang pendidikan yang perlu dibantu untuk keluar dari ‘kepompong’ kemiskinan sekaligus memperbaiki taraf hidup mereka.

“Tidak dinafikan terdapat pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan namun ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak bersifat ‘bermusim’ terutama apabila adanya kempen pilihan raya yang cuba menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada rakyat,” katanya sambil menambah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan mana-mana pihak terlibat perlu mencari mekanisme yang lebih sesuai bagi ‘memujuk’ kaum Orang Asli untuk keluar dari ‘zon selesa’ mereka.

Prihatin ‘suara’, kebajikan

Menyifatkan kaum minoriti Orang Asli juga tidak terkecuali mempunyai semangat patriotisme yang tinggi termasuk menghormati prinsip Rukun Negara, beliau berkata cara penzahirannya mungkin berbeza dan sukar dinilai oleh masyarakat umum.

Bagi mengukuhkan lagi semangat itu dalam kalangan etnik minoriti, ‘suara’ dan keluhan mereka perlulah diambil kira terutama yang melibatkan kebajikan etnik.

“Antaranya mengiktiraf hari perayaan Orang Asli sebagai cuti umum sama seperti sambutan perayaan kaum lain yang ada di Malaysia. Kami juga berharap agar kerajaan dapat mengiktiraf lebih banyak tanah rizab Orang Asli dan kawasan rayau termasuk di Sabah dan Sarawak sepertimana kerajaan mengiktiraf tanah rizab Melayu.

“Pastikan juga lebih banyak penglibatan wakil Orang Asli serta Orang Asal Sabah dan Sarawak dalam agenda yang mempromosikan perpaduan masyarakat Malaysia supaya ia benar-benar mencerminkan ‘warna-warni’ etnik yang ada di Malaysia selain mengelakkan ada pihak yang merasa kaum mereka terpinggir,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Rukun Negara asas perpaduan nasional, pembentukan negara

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Rukun Negara yang lahir 50 tahun lepas sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara ini, bukan sekadar untuk dijulang secara simbolik menerusi bacaan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaliknya, titah baginda, roh dan semangat rukun negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai.

“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian dalam Titah Diraja bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Sambutan itu berlangsung di Putrajaya.

Titah Al-Sultan Abdullah, prinsip teras terkandung dalam Rukun Negara bersifat sejagat dengan merentasi nilai murni semua bangsa, agama serta berupaya menjadi panduan hidup sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka.

Oleh itu, prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia, titah Seri Paduka.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan mempertahankan semua perkara dan hak keistimewaan yang disepakati sebelum ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat,” titah baginda.

Sementara itu dalam menyambut Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ tahun ini, Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi negara selain terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat kerana menzahirkan daya tahan dan semangat prihatin yang tinggi dalam menghadapi cabaran itu.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara kali ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara.

“Beta berkeyakinan, jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insya-Allah, negara kita akan terus kekal aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” titah baginda.

Seri Paduka bersama-sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengambil kesempatan mendoakan supaya Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan rakyat serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Mengakhiri titah, baginda mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Fahami nilai Rukun Negara, terap dalam kehidupan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata, sebaliknya perlu dipraktik dan diperhalusi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari kesal masih ada kelompok yang tidak memahaminya dan mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan serta keresahan.

“Bapa Kemerdekaan juga menyeru, ‘Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.’

“Pada ulang tahun ke-63 kemerdekaan, kita tidak boleh melupakan negara ini dibina dengan usaha dan jerih perih leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.

“Sedari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti yang digariskan dengan jelas dalam Rukun Negara,” katanya dalam perutusan khas sempena merdeka.

Amirudin berkata perjuangan menentang Covid-19 juga masih panjang dan rakyat diingatkan sentiasa mematuhi norma baharu demi kesejahteraan semua.

Beliau turut memberi tabik hormat kepada petugas barisan hadapan yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat daripada pandemik global itu.

“Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini. Selamat Hari Kebangsaan kepada semua,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan Selangor mahu Rukun Negara dihayati, dipraktik dalam kehidupan

SHAH ALAM, 28 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu rakyat menghayati dan mempraktik Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Baginda menzahirkan pandangan, lima prinsip yang digubal pada 1970 kurang ditekankan sejak 1980-an menyebabkan rakyat tidak mengamalkan asasnya malah penghargaan dan apresiasinya kurang diterapkan dalam agenda perpaduan nasional.

“Ia berpunca daripada kelemahan segelintir rakyat mendukung keluhuran Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan serta kegagalan menghormati kedaulatan institusi Raja di negara ini,” titah baginda melalui kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan Sultan Sharafuddin gembira melihat usaha dijalankan bagi menerapkan prinsip Rukun Negara ke arah memperteguh keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Menurut kenyataan lagi, Sultan Sharafudin menyeru rakyat mengambil tauladan, penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap Pancasila yang terbukti berkesan dan diamalkan secara serius dalam memupuk semangat patriotisme.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 kali ini baginda percaya, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan lagi sekiranya rakyat memahami sepenuh hati tentang sejarah dan perjuangan bangsa terutamanya prinsip digariskan Rukun Negara.

“Baginda mahu agar Rukun Negara diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun tunjang perpaduan negara itu,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Undang-undang sedia ada memadai pelihara perpaduan – timbalan menteri

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Ti Lian Ker berkata undang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi.

“Yang perlu ketika ini bukanlah undang-undang tambahan, sebaliknya penguatkuasaan, pelaksanaan dan pendidikan kesedaran,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu) yang mahu kementerian memaklumkan adakah undang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi untuk memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Lian Ker berkata mana-mana individu yang sengaja mencetus atau mengeluarkan kenyataan yang mengganggu-gugat perpaduan dan mengancam keharmonian rakyat boleh didakwa di bawah akta sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan subseksyen 41 Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Lian Ker juga menyeru ahli parlimen supaya memainkan peranan mereka untuk kembali kepada semangat Rukun Negara dan mengamalkan prinsip semangat perlembagaan bagi mengukuhkan perpaduan dalam negara ini.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin, Lian Ker berkata antara langkah mendidik rakyat menghormati undang-undang sedia ada ialah memperketat penguatkuasaan dan mengenakan hukuman setimpal terhadap individu yang mengekploitasi emosi perkauman dan keagamaan bagi membuka mata rakyat supaya menghormati undang-undang berkaitan.

Selain itu kempen kesedaran dan semangat perpaduan wajar disebarkan kepada kumpulan sasar iaitu pelajar sekolah, mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil bagi membantu kempen ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan kaji kembalikan mata pelajaran berteras Rukun Negara

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kerajaan bercadang mengembalikan semula mata pelajaran yang berkisar kepada amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara seperti yang pernah ada suatu ketika dahulu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata perkara itu akan diperhalusi melalui penubuhan jawatankuasa teknikal kementeriannya bersama tiga kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Pendidikan.

“…untuk saya memberi gambarannya, ia seperti mata pelajaran Tata Rakyat yang mana kita diajar tentang apakah itu masyarakat majmuk, perpaduan, sikap bertoleransi, hormat-menghormati, adat resam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara serta Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif Perpaduan, semalam.

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan.

Mengulas lanjut, Halimah berkata adalah penting untuk membangunkan pendidikan Rukun Negara agar lima prinsipnya dapat dihayati oleh masyarakat terutama generasi muda.

Justeru bagi tujuan penghayatan, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara menjadi platform utama kementerian untuk melaksanakan agenda ini.

Sehingga kini, terdapat 6,621 Kelab Rukun Negara ditubuhkan merangkumi 5,864 sekolah rendah dan menengah kebangsaan manakala 757 lagi adalah dari sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina serta Tamil.

Katanya selain itu, sejumlah 172 Sekretariat Rukun Negara terdapat di institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang diharap dapat menyemarakkan lagi kefahaman tentang Rukun Negara menerusi program yang diadakan.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Sapok Biki julang negara di gelanggang tinju

Oleh Kadir Edison

KUCHING, 2 OGOS: Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik, telah melonjakkan nama Sapok Biki, 46, serta sukan tinju negara yang sebelum ini hanya dianggap sebagai acara sukan pelengkap sahaja.

Walaupun pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel Kuala Lumpur berlangsung, nama beliau agak kurang dikenali oleh peminat sukan di Malaysia kecuali individu yang betul-betul mengikuti sukan tinju.

“Pada masa itu, saya tidak berapa menyerlah. Mungkin disebabkan sukan tinju ini adalah satu sukan yang masih belum mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air tetapi selepas Sukan Komanwel (ia mula dikenali) mungkin disebabkan faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan kejayaan saya sebagai pemenang emas terakhir dalam temasya sukan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Sapok mula berkecimpung dalam sukan tinju pada 1994 sebelum dipilih sebagai antara atlet dalam Program Jaya 98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, sukan tinju bukanlah acara sukan yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang pingat dalam Sukan Komanwel, namun dengan semangat kental, beliau telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan seterusnya mengubah landskap sejarah sukan tanah air.

Lakar Kejayaan

Walaupun kejayaan yang dilakarnya itu sudah lebih dua dekad berlalu, namun Sapok berkata segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya negara tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.

“Saya sebagai bekas atlet, di mana kita dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu rasa risau dan kita tidak ada kekangan daripada sesiapa untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan,” katanya.

Sapok berkata usaha untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan adalah mustahil untuk dilakukan jika negara berada dalam keadaan kacau-bilau dan masih dijajah oleh kuasa asing yang pastinya mahu menindas serta mengambil kesempatan atas ketidakstabilan sesebuah negara itu.

“Kita tengok kejayaan atlet-alet kita sebagai contoh, kalau mereka hendak bersukan mereka boleh berjaya dan kalau mereka hendak bekerja, dia boleh sampai ke tahap tertinggi. Ini adalah kerana negara kita aman, mempunyai ekonomi dan struktur pentadbiran stabil, jadi semua orang seperti atlet ini boleh bersukan dengan tenang dan masyarakat boleh bekerja dengan aman damai,” katanya.

Hargai Nilai Kebebasan, Kemerdekaan

Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status sosial mereka harus menghargai nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaan yang sedang dikecapi kerana generasi terdahulu telah melakukan pengorbanan amat besar untuk memperolehinya.

Tambah Sapok, Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan di negara ini juga perlu diperhalusi dan dihayati agar kesepaduan dan kebersamaan yang wujud dalam masyarat Malaysia dapat terus kekal serta diperkukuhkan lagi.

“Setiap prinsip yang terdapat dalam rukun negara itu mempunyai makna yang besar dan kalau kita hayati sepenuhnya kita pastinya akan merasakan bahawa kita adalah orang yang bertuah dapat duduk sama menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai seorang pegawai tentera yang masih dalam perkhidmatan, beliau berkata perjuangan dalam mempertahankan sebuah kebebasan merupakan sebuah perjuangan yang tidak pernah selesai.

“Rakyat atau diri kita (sendiri) harus mendisiplinkan diri dan sentiasa bersyukur serta berterima kasih kepada apa yang telah kita perolehi dan kecapi daripada hasil perjuangan generasi terdahulu. Generasi masa kini pula harus meneruskan perjuangan tersebut supaya negara kita boleh maju dan terus membangun,” katanya.

Justeru nasihat beliau, generasi muda kini harus didedahkan dengan lebih banyak material yang mempunyai unsur-unsur patriotik agar mereka tidak alpa bahawa kebebasan yang mereka miliki itu bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Hayati kemerdekaan, tekuni Rukun Negara

Negara bakal menyambut ulang tahun ke-63 tahun kemerdekaan tidak lama lagi. Hari Kemerdekaan disambut di seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun sebagai simbolik bagi menandakan negara kini telah bebas sepenuhnya daripada belenggu penjajahan kuasa asing.

Jika dahulu negara berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, tahun 2020 merakam sejarah tersendiri apabila rakyat Malaysia kini bersama-sama mengekang musuh yang tidak dapat dilihat mata kasar iaitu Covid-19. Petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis dan Angkatan Tentera Malaysia dipertanggungjawabkan dalam memastikan virus ini tidak merebak sekali gus meragut banyak lagi nyawa rakyat. Malah, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) turut sama-sama memainkan peranan penting ketika negara diisytihar melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sebaran maklumat berkaitan Covid-19 melalui “Info On Wheels”.

Kerajaan Selangor tidak terkecuali memastikan rakyat di negeri ini tidak dijangkiti wabak berkenaan. Antara langkah terawal adalah menubuhkan segera Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) bagi merancang serta menyelaras tindakan dan usaha membendung penularan virus di Selangor. Di sini saya ingin mengambil kesempatan merakam ucapan kepada semua yang terlibat dalam mengekang Covid-19.

Erti kemerdekaan

Ternyata, semata-mata bebas daripada belenggu asing, sama ada dalam bentuk imperialisme lama mahupun pengaruh pasaran gaya baharu ala-Amerika atau Tanah Besar China tidak mencukupi; yang lebih utama adalah mengisi dan memaknai kemerdekaan dengan pelaksanaan, lebih-lebih lagi dalam mendepani pandemik yang belum pernah kita hadapi dalam lipatan sejarah kebelakangan ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan Konvoi Info On Wheels Merdeka pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Auditorium Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 28 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hanya melalui pelaksanaan, sesuatu dasar atau keputusan yang dicapai dapat diukur keberkesanannya. Terdapat suatu ungkapan popular oleh pakar pengurusan, Peter Drucker iaitu “if you cannot measure it, you cannot improve it” (hanya yang dapat diukur boleh diperbaiki). Hanya dengan metrik, barulah dapat kita ubah suai sebarang tindakan bagi memperbaiki keputusan sedia ada.

Izinkan saya memetik pakej rangsangan ekonomi yang kita umumkan terlebih dahulu. Kerajaan Negeri melalui Selangor Prihatin 1.0 serta 2.0 menggariskan beberapa inisiatif segera bagi mengurangkan beban ekonomi akibat penularan Covid-19 serta menampan beban mereka yang terkesan dalam jangka pendek. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM260,144,464.54 yang memberi manfaat kepada 3.5 juta rakyat negeri Selangor ataupun 54 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk.

Pakej pemulihan ekonomi Selangor terbaharu pula lebih bersifat jangka sederhana serta panjang dalam menghidupkan semula ekonomi selaras kedudukan Selangor sebagai ‘economic reactor’ Malaysia, dengan nilai ekonomi keseluruhan RM55.85 bilion. Hanya dengan kebingkasan dan kecekalan, dapat kita pertahankan kemerdekaan negara dengan bermartabat.

Rukun Negara

Pada sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, negara turut meraikan 50 tahun Rukun Negara. Diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, kewujudan Rukun Negara bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat.

Lazimnya apabila kita membicarakan atau membincangkan Rukun Negara, kita sering melupakan mukadimah ideologi kebangsaan tersebut. Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengingatkan kita semua mukadimah tersebut:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya,

Memelihara cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak dan;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

Mohd Syafrin Syawal, 9, teruja menunjukkan kepada ibu dan kakaknya hasil lukisan peserta yang dipamerkan sempena Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menekuni mukadimah tersebut, kita menginsafi bahawa para pendiri negara ini mahukan suatu negara yang maju, majmuk yang meraikan kepelbagaian kebudayaan dan suatu negara yang makmur serta tidak mengabaikan kebajikan rakyatnya.

Kemudiannya barulah disenaraikan prinsip-prinsip Rukun Negara yang kita semua maklum iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Prinsip itulah yang memberi makna amat mendalam kepada rakyat Malaysia dalam membentuk jati diri, menjadi asas identiti diri dan penyatuan setiap individu bergelar bangsa Malaysia tidak kira kaum, agama dan warna kulit.

Tidak kiralah sama ada anda seorang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, Orang Asal atau mana-mana kaum dan suku kaum sekalipun, sekiranya anda bergelar warganegara Malaysia, inilah ciri-ciri yang wajib anda miliki. Dan saya percaya dan yakin Selangor adalah negeri yang mempunyai pelbagai etnik dan kita hidup aman dan sejahtera.

Kibar Jalur Gemilang

Saya turut ingin merakam harapan agar rakyat Selangor bersama-sama menunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di semua kediaman, premis-premis perniagaan, bangunan pejabat, rumah ibadat, sekolah-sekolah dan lain-lain bagi menunjukkan rasa cinta kita terhadap negara.

Besarlah hasrat Kerajaan Negeri agar semangat cintakan negara dapat dipupuk dan jalinan perpaduan dapat dieratkan bagi menjadikan Malaysia khususnya Selangor, sebuah negeri yang bukan sahaja maju tetapi juga mempunyai rakyat yang berjati diri dan bersatu-padu.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kepada Jabatan Penerangan negeri dan pentadbiran Kerajaan Negeri kerana berjaya melaksanakan sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini. Semoga kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat terus terjalin erat dan diperkukuhkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

MB: Fahami prinsip Rukun Negara, kukuhkan perpaduan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Rakyat Malaysia perlu memahami matlamat dan prinsip Rukun Negara kerana ia mengikat kesepaduan antara kaum sejak diperkenalkan 50 tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata kegagalan memahaminya boleh mencetuskan isu perkauman dan pergaduhan terutama dalam kalangan belia selain menimbulkan fahaman ekstrem yang mendorong kepada perpecahan.

“Kita lihat dalam tempoh dua tiga tahun ini jika ada ledakan atau percikan kecil isu perkauman ia mudah meleret dan terbawa-bawa yang akhirnya merenggangkan antara kita, menimbulkan kecurigaan antara kita.

“Perkara ini perlu dilihat dengan jernih supaya tidak terbawa-bawa dan akhirnya menghasilkan masyarakat dan generasi muda yang hilang pertimbangan apabila timbul perbezaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran dan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengibarkan jalur gemilang bersama penjawat awam pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Auditorium Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 28 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata kejadian laku musnah terhadap mural wajah pemimpin negara baru-baru ini antara contoh kegagalan memahami prinsip Rukun Negara dan masalah itu perlu ditangani segera.

Amirudin menjelaskan masyarakat juga perlu mengambil iktibar terhadap beberapa krisis yang pernah melanda negara antaranya pergaduhan antara kaum 1969, kemelesetan ekonomi pada pertengahan 90-an dan terbaharu penularan Covid-19 untuk terus bersama-sama membangunkan negara.

Terdahulu, Amirudin melepaskan konvoi ‘Info On Wheels Merdeka’ di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK selain mendengar amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Wujud program wajib bentuk jati diri rakyat

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Dewasa ini, sering kali dibangkitkan kebimbangan terhadap generasi muda yang dilihat semakin hilang perwatakan nasional terutama dalam memperlihatkan identiti sebagai seorang warganegara Malaysia.

Orang muda dikatakan tidak patriotisme, kurang peka dengan keadaan sekeliling serta hanyut dengan ledakan teknologi dan media sosial yang menjadi ancaman terbesar generasi muda hari ini.

Kepincangan itu antara lain disebabkan jati diri yang lemah termasuk tiada penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara yang menjadi peranti sosiobudaya rakyat berbilang kaum di negara ini .

Mengangkat Rukun Negara sebagai panduan hidup yang lengkap bukan sahaja menjadi asas pembentukan negara bangsa tetapi turut membentuk sahsiah rakyat yang bertanggungjawab.

Melihat kepada senario itu, mahu atau tidak, program tatanegara atau kenegaraan perlu diperkemaskan dengan mewujudkan program lebih baik bagi memupuk penghayatan rakyat terhadap semangat Rukun Negara yang secara tidak langsung meningkatkan rasa cinta dan kesetiaan kepada tanah air.

Sudah tiba masanya, Malaysia melaksanakan program Khidmat Negara bagi membolehkan rakyat lebih menghayati Rukun Negara serta menimbulkan rasa sayang kepada negara, menurut Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman.

Beliau berpendapat program yang lebih efektif menerusi Khidmat Negara sepertimana dilaksanakan di beberapa negara antaranya Singapura dan Korea Selatan dilihat lebih sesuai bagi meningkatkan penghayatan kenegaraan dalam kalangan generasi muda terutama bagi meningkatkan semangat patriotisme.

Empat anak muda (dari kiri) Nur Azwa Mohammad Rozy, 22, Nur Atierah Mohammad Rozy, 20, Nur Nisrina Mohammad Rozy, 14, dan Anis Arisha Zulaika Shamzul Anuar,16, meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara sambil memegang ‘flashcard’ di Kuala Perlis pada 9 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Saya melihat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini tidak begitu efektif jika dibandingkan dengan Khidmat Negara.

“Kalau PLKN, ia tidak wajib kepada semua, tetapi kalau Khidmat Negara, ia wajib kepada semua. Kalau PLKN, hanya terpilih sahaja (ikuti program berkenaan),” katanya kepada Bernama sempena Ulang Tahun Rukun Negara ke-50, di sini, baru-baru ini.

Menjelaskan lanjut tentang program Khidmat Negara seperti dicadangkan, beliau berkata mereka yang berusia antara 18 dan 19 tahun wajib menyertai program itu dan sekiranya tidak boleh berbuat demikian pada usia tersebut disebabkan alasan munasabah antaranya melanjutkan pengajian, mereka perlu menyertainya sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Ismail berkata Khidmat Negara itu juga perlu memperuntukkan tempat bagi mereka yang mempunyai masalah seperti orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya bagi memastikan penyertaan penuh rakyat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyatakan kerajaan akan menggantikan PLKN dan Biro TataNegara (BTN) yang dimansuhkan dengan program baharu yang sedang dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Rosidi Hassan memberikan pandangan berbeza apabila beliau mengharapkan PLKN dikembalikan semula serta ditambah baik pelaksanaan program berkenaan.

Katanya, jika sebelum ini PLKN dijalankan selama tiga bulan bagi satu sesi/siri, mungkin tempoh itu boleh dilanjutkan selama setahun atau dua tahun bagi memberi kesan mendalam kepada jati diri anak muda.

“Saya sarankan agar universiti dapat mengadakan program seperti PLKN supaya dapat kesan sebenar… barulah kekal jati diri itu dalam individu.

“Kita boleh cadangkan satu nama baharu dalam PLKN supaya lebih segar dan dinamik, tetapi lebih utama ialah pengisian dan kesinambungan program ini supaya boleh kekal dalam diri anak muda untuk masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Rosidi berharap Rukun Negara akan dijadikan kurikulum utama di sekolah dan dijadikan subjek wajib lulus bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Jika sebelum ini diletakkan syarat bagi mereka yang ingin memasuki aliran sains wajib lulus Matematik, Sains dan Bahasa Melayu untuk menjaga entiti Bahasa Melayu.

“Saya rasa sekarang perlu dibuat sedikit pindaan, dengan memasukkan elemen Rukun Negara atau lulus subjek Rukun Negara kemudian barulah boleh dijadikan syarat untuk layak ke peringkat lebih tinggi. Jadikan ia sebagai subjek teras atau subjek utama,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Semarakkan kembali lagu rukun negara

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: “Ehh, lagu Rukun Negara? Tak pernah dengar pun, tak sangka kita ada lagu khas untuk Rukun Negara. Ini pertama kali mendengarnya.

“Yang saya tahu, kita ada pelbagai jenis lagu patriotik tetapi itu semua lebih fokus kepada menghargai kemerdekaan dan perajurit negara. Kalau yang khusus lagu Rukun Negara, memang tidak pernah tahu wujud”.

Itu respons beberapa rakan penulis ketika diminta pandangan mereka mengenai dua buah lagu yang dicipta khusus untuk Rukun Negara yang diperdengarkan semasa pelancaran sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, baru-baru ini.

Pada majlis penuh bermakna itu, lagu bertajuk Rukun Negara hasil ciptaan dan gubahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail, didendangkan oleh penyanyi terkenal kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah bersama penyanyi yang popular dengan nyanyian lagu patriotik, Roy.

Ia kemudian disusuli dengan persembahan Datuk Syafinaz Selamat bersama dua lagi penyanyi yang sedang meningkat naik, Afieq dan Wani menyampaikan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil ciptaan komposer terkenal negara, Datuk Wah Idris.

Hakikatnya, kedua-dua buah lagu itu bukanlah dicipta khusus sempena sambutan Jubli Emas Rukun Negara yang berlangsung selama tiga bulan bermula Khamis lepas tetapi ia adalah lagu yang sudah dihasilkan pada 2007 semasa kempen berkaitan dengannya sebelum ini.

Cuma, sejajar dengan peredaran masa bagi memenuhi rentak genre muzik terkini, lagu berkenaan diberi nafas baharu selain pembabitan penyanyi senior yang mempunyai ramai peminat seperti Syafinaz dan artis baharu bagi menambat hati pendengar.

Hasil lukisan peserta dipamerkan berhadapan Restoran KFC dalam Pameran Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mana silapnya?

Sebelum ini, lagu Lima Prinsip Rukun Negara dinyanyikan sendiri oleh penciptanya, Wah bersama anaknya, Natasha Ines Wah Idris manakala lagu ciptaan Mokhzani berjudul Rukun Negara, kekal dengan penyanyi asalnya, Dayang Nurfaizah dan Roy.

Biarpun demikian, mengapa masih ramai tidak tahu mengenai kewujudan lagu ini? Walhal, ia sudah lama dicipta, malah usianya pun sudah menghampiri lebih satu dekad, yakni 13 tahun, namun masih ada lagi yang terpinga-pinga bila ditanya mengenai lagu berkenaan.

Di mana silapnya dan mengapa lagu yang dicipta khusus untuk menggalakkan penjiwaan Rukun Negara dalam sahsiah kehidupan masyarakat ini seolah-olah ‘dipandang sepi’?

Berpeluang bertemu dengan Wah baru-baru ini, beliau yang juga ikon komposer bertaraf antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak ini menyuarakan rasa kegembiraannya kepada Bernama apabila lagu gubahannya itu terpilih untuk diperdengar kembali bersempena sambutan penuh bermakna selama tiga bulan ini.

Sedikit pun tidak pernah menyangka lagu berjudul Lima Prinsip Rukun Negara itu terpilih untuk menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas Rukun Negara, beliau mengharapkan lagu itu dapat membantu masyarakat untuk lebih menjiwai prinsip berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan itu, beliau tidak menafikan bahawa jauh di sudut hatinya turut merasa terkilan apabila lagu yang sudah lama diciptakannya itu termasuk lagu patriotik gubahan komposer lain kurang mendapat perhatian stesen televisyen mahupun radio tempatan untuk dimainkan.

Bersifat sekadar ‘bermusim’, biasanya lagu bergenre sebegini hanya berkumandang semasa bulan kemerdekaan sekali gus dilihat sebagai antara faktor yang menyebabkan ramai tidak menyedari kewujudan pelbagai lagu patriotik yang ada ketika ini termasuklah lagu Rukun Negara.

‘Aset’ tidak dimanfaatkan

Hakikatnya, ia bukanlah isu baharu. Malah, polemik ini jugalah pernah diutarakan sebelum ini oleh penulis lirik lagu terkenal, Habsah Hassan mahupun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang melihat isu itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan.

“Sayanglah, kita sudah lama ada aset (lagu Rukun Negara) tetapi tidak dimainkan oleh stesen televisyen dan radio kerana dikatakan tidak ada nilai komersial. Bukan saja lagu Rukun Negara, tetapi juga lagu patriotik lain yang dicipta oleh komposer tempatan.

“Memang ada rasa terkilan juga sebenarnya kerana lagu Rukun Negara hanya ada tiga buah sahaja iaitu ciptaan saya, Datuk Mokhzani dan seorang lagi komposer pada zaman 70-an. Tidak banyak lagu Rukun Negara berbanding lagu patriotik lain.

“Jadi, apabila ia jarang dimainkan di radio dan televisyen, mereka yang sebelum ini pernah dengar mungkin sudah lupa. Manakala, yang langsung tidak pernah dengar, tidak akan tahu kewujudan lagu itu sehinggalah ia diaktifkan kembali semasa sambutan Jubli Emas Rukun Negara baru-baru ini,” kata Wah.

Berkecimpung dalam industri muzik sebagai komposer selama lebih 30 tahun, bapa kepada dua orang anak ini bukanlah calang-calang individu malah telah menghasilkan begitu banyak lagu untuk artis ternama negara, syarikat korporat selain lagu berunsur patriotik.

Malah, antara lagu bercorak kenegaraan gubahannya yang menjadi siulan ramai sehingga hari ini adalah lagu tema bersempena Sukan Komanwel 1998 berjudul ‘Standing In The Eyes Of The World’ yang dinyanyikan oleh ratu rock negara, Ella. Baru-baru ini lagu ini juga menjadi lagu khas untuk sambutan kemerdekaan Amerika Syarikat.

Tiada nilai komersial?

Justeru, beliau mengharapkan semua pihak khususnya stesen televisyen mahupun radio memainkan peranan mereka dalam menyemarakkan lagi lagu Rukun Negara serta lagu patriotik lain dan seeloknya ia diputarkan sepanjang masa, bukannya semasa Bulan Kebangsaan sahaja.

“Memandangkan lagu saya Lima Prinsip Rukun Negara dan lagu Datuk Mokhzani, Rukun Negara, diperdengarkan kembali semasa sambutan Jubli Emas Rukun Negara, jadi, diharapkan ia menjadi detik permulaan untuk lagu ini terus diputarkan sepanjang masa.

“Dalam hal ini, semua harus memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia. Saya dan Datuk Mokhzani, sebagai pencipta lagu, telah menghasilkan banyak lagu patriotik termasuklah lagu Rukun Negara bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara.

“Dan sekarang, adalah peranan radio dan televisyen untuk turut sama tampilkan sumbangan mereka dengan memainkan lagu itu dan bukannya hanya bergantung kepada RTM. Kita tidak suruh mainkan banyak kali, cuma mungkin dalam sehari, ada dua, tiga kali ia diputarkan.

“Apabila banyak kali didedahkan, lagu yang dianggap tidak sedap didengar awalnya, lama-kelamaan orang akan jadi suka juga. Paling penting, lagu sebegini mampu membangkitkan semangat patriotik kepada negara,” kata penerima anugerah Grand Master Brand Icon Leadership Award BrandLaureate 2017 ini.

Akan tetapi, benarkah lagu Rukun Negara dan patriotik lain tidak ada nilai komersial?

Mengulas mengenainya, Mokhzani yang juga pemain piano negara dan pernah melakar nama dalam Malaysia Book Of Records pada 2015 sebagai anak Malaysia pertama dilantik sebagai duta piano terkemuka jenama Hagspiel buatan Jerman yang berpusat di China, berkata trend penghasilan lagu bergenre berkenaan sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Sambil merujuk lagu Rukun Negara ciptaannya dan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil gubahan Wah, kedua-dua lagu berkenaan bersifat lebih ‘catchy’, pop dan terkini mengikut rentak peredaran masa serta kehendak masyarakat khususnya anak muda.

“Berbanding sebelum ini, sekitar tahun 50-an, lagu patriotik lebih menjurus kepada konsep ‘marching’ bagi membangkitkan semangat dalam sanubari. Namun, perkembangan muzik semasa memperlihatkan lagu patriotik termasuklah lagu Rukun Negara diolah dan diberi nafas baharu, lebih ke arah pop kontemporari bagi menarik minat masyarakat.

Empat anak muda (dari kiri) Nur Azwa Mohammad Rozy, 22, Nur Atierah Mohammad Rozy, 20, Nur Nisrina Mohammad Rozy, 14, dan Anis Arisha Zulaika Shamzul Anuar,16, meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara sambil memegang ‘flashcard’ di Kuala Perlis pada 9 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Contoh lain, lagu Gemilang ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Asmin Mudin dendangan Jaclyn Victor. Orang lupa ia sebenarnya adalah lagu patriotik dan lagu ini mendapat sambutan menggalakkan. Ini menunjukkan lagu kenegaraan turut diminati ramai,” katanya.

Muzik sejagat

Ada sebabnya mengapa lagu sebegini perlu diputarkan sepanjang masa dan bukannya sekadar tertumpu pada Bulan Kebangsaan mahupun pertandingan sukan bertaraf antarabangsa, jelas Mokhzani.

Ini kerana lagu berkenaan mempunyai potensi tinggi bukan sahaja membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk lebih mengingati lima prinsip Rukun Negara bahkan juga menjiwai makna tersirat di sebaliknya.

Seperti diketahui, lima prinsip Rukun Negara – Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan Dan Kesusilaan – yang bermatlamat mencapai perpaduan lebih erat kalangan rakyat, sebenarnya sudah lama diterjemahkan menerusi muzik.

Ini memandangkan muzik bukan lagi dilihat sekadar hiburan, namun telah diangkat sebagai ‘bahasa sejagat’ yang mempunyai kuasa istimewa menyatukan pelbagai bangsa sepertimana yang diinginkan dalam Rukun Negara.

“Muzik ialah bahasa sejagat yang difahami oleh semua bangsa, berlainan latar belakang, tak kira apa fahaman sekali pun. Ianya bahasa penyatuan yang dapat menimbulkan rasa kekitaan dan tanggungjawab sesama masyarakat bersesuaian dengan konsep muzik yang mana irama dan lagu saling memerlukan.

“Kerana itu, muzik dilihat sebagai medium terbaik yang mampu berdiri sebagai satu wahana atau penghubung antara kita.

“Misalnya, apabila semua menyanyikan lagu Rukun Negara atau patriotik lain tanpa mengira bangsa dengan penuh semangat, ia sebenarnya secara tidak langsung memberi impak sangat besar dalam menyemarakkan perpaduan antara satu sama lain,” katanya.

– BERNAMA