Categories
SELANGOR

Bercucu baru terima geran

Oleh: NAEEM RAFFI

SABAK BERNAM, 18 MAC: Impian peneroka Tanah Rancangan Belia 2 Sungai Panjang, Anuar Rosli untuk memiliki geran tanah bagi kediaman sendiri akhirnya tercapai, hari ini.

Dalam usia 64 tahun, Anuar berjanji akan menggunakan tanah tersebut sebaik mungkin demi kelangsungan masa depan anak dan cucunya.

“Amat bersyukur dengan pemberian geran ini. Setidak-tidaknya, saya dan isteri berasa lebih terjamin duduk di tapak kediaman kami ini,” katanya yang mula meneroka tanah rancangan itu sejak tahun 70-an.

Penyerahan geran tanah kepada penduduk bagan Sg. Burong Sallehin Mukhyin (7)Anuar berkata, dia terpaksa menunggu sehingga bercucu walaupun segala dokumen diserahkan sejak pemerintahan Umno-BN lebih 20 tahun lalu, namun sikap kerajaan ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh terlalu lama.

“Sebelum ini, saya pernah memohon beberapa kali pada awal 80-an dan pertengahan 90-an. Namun, tiada kesudahan.

“Hari ini, Kerajaan Selangor bawah Pakatan Rakyat tunaikan impian saya selepas tiga tahun memohon, bermula 2012,” katanya.

Sementara itu, generasi kedua peneroka Tanah Rancangan Belia 2, Jamaludin Ramli, nyata gembira apabila turut menerima geran pemilikan yang selama ini diusahakn ayahnya.

Penyerahan geran tanah kepada penduduk bagan Sg. Burong Sallehin Mukhyin (9)“Saya generasi kedua. Hari ini, baru terima kertas (geran) yang memberi jaminan untuk kami sekeluarga mendudukinya dengan tenang.

“Terima kasih Kerajaan Negeri yang sentiasa memudahkan urusan dan jalan kebajikan untuk rakyat,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui Selangor Kini pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Kampung Belia 2, Sungai Panjang dan Kampung Bagan, Sungai Burong di Balai Rakyat, Pekan Sabak, di sini, hari ini.

Sekurang-kurangnya 28 keluarga dari dua kampung berkenaan menerima geran pemilikan yang disampaikan Adun Sabak, Sallehen Mukhyi.

Pada majlis sama, 61 waris peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) daripada Dun Sabak, Sungai Panjang, Air Tawar dan Sekinchan menerima baki bayaran khairat kematian RM1,500.

-NFN-