SHAH ALAM, 21 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) melanjutkan tempoh kutipan sehingga Ahad ini bagi membolehkan mangsa banjir mengeluarkan baki sampah pukal dari kediaman masing-masing.
Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata tempoh asal kutipan adalah pada Ahad lalu namun mendapati sehingga semalam masih terdapat sampah berkaitan dibuang di tepi-tepi jalan.
“Setakat ini, dianggarkan sebanyak 3,000 tan metrik sampah pukal dikutip petugas sejak 7 Januari lalu dan jumlah itu masih banyak sedangkan proses pembersihan memasuki fasa kedua.
“Oleh demikian, kita mohon kerjasama orang ramai supaya membuang kesemuanya sehingga Ahad ini. Jika selepas tempoh itu masih lagi terdapat sampah pukal kita akan kategorikan sebagai sampah haram,” katanya kepada SelangorKini.
Ramli menjelaskan, lanjutan tempoh kutipan sampah pukal menjejaskan proses pembersihan fasa kedua yang bermula sejak 8 Januari lalu.
“Pembersihan fasa dua pascabanjir memfokuskan kerja membersih parit dan longkang tersumbat serta pembasmian kuman.
“Jika masih lagi terdapat sampah pukal, akan memberi kesan kepada pembersihan dan penugasan kakitangan,” katanya.
KDEBWM merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.
Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.