Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri setuju bantu pelajar SAMTTAR

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk memberi sumbangan bagi membantu pelajar dan penjaga yang mengalami kerugian kesan daripada kebakaran di asrama Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (SAMTTAR), baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata sumbangan itu akan diberikan dalam masa terdekat, namun tidak menyatakan jumlah peruntukan yang bakal diserahkan kepada sekolah berkenaan bagi membaikpulih asrama mereka.

“Saya sendiri sudah turun padang bersama wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk melihat keadaan asrama berkenaan.

Sallehen“Justeru itu, MMKN bersetuju untuk memberikan sumbangan bagi menyelesaikan atau membantu pelajar atau ibu bapa yang mengalami kerugian kesan daripada kebakaran itu,” katanya dalam sidang media, di sini.

Terdahulu, sekumpulan pelajar asrama SAMTTAR di Sungai Manggis berdepan detik cemas apabila bangunan tingkat satu asrama mereka terbakar dalam satu kejadian kira-kira jam 5 pagi.

Dalam kejadian itu, beberapa pelajar bertindak menyimbah air menggunakan baldi ke arah satu sudut kebakaran di sebuah bilik tidur sebelum mereka lari menyelamatkan diri ke pondok pengawal.

Ketika kejadian, beberapa orang pelajar sudah bangun untuk bersiap menunggu waktu solat Subuh sementara sebahagiannya baru sahaja selesai bersahur untuk berpuasa sunat.

Kebakaran dari arah dinding dan bumbung di tingkat satu asrama lelaki membabitkan dua bilik asrama, sebuah bilik bacaan dan sebuah tandas.

Bagaimanapun, jumlah dan punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.

Dalam sidang media sama, Sallehen turut memaklumkan kerajaan Selangor sudah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) bersama Universiti Islam Madinah sempena program penghantaran pelajar ke universiti berkenaan.

Katanya, pinjaman kepada pelajar untuk menyelesaikan pengajian mereka di universiti terbabit juga sudah diluluskan, manakala proses penghantaran pertama pelajar akan dilaksanakan, pada September ini.

MB berbuka bersama sultan di KUIS (113)aSementara itu, ketika mengulas berkenaan desakan penternak lembu yang mahukan supaya lebih banyak kawasan penternakan disediakan di Hulu selangor, Sallehen berkata, perkara itu sedang dalam pertimbangan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sudah berikan kawasan seluas hampir 100 ekar sejak tahun 2010 di Hulu Selangor, namun oleh kerana semakin ramai penternak lembu, maka kita mengambil keputusan untuk melihat kawasan lain di tiga daerah lagi.

“Kita sudah arahkan pejabat tanah di Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Langat untuk melihat tanah sesuai supaya boleh teruskan penempatan kawasan penternakan lembu di Selangor,” katanya.

-NFN-