SHAH ALAM, 27 JAN: Orang ramai khususnya masyarakat Tiong Hua disaran membuat saringan kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata langkah itu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan ahli keluarga ketika sambutan perayaan tersebut.
Beliau turut menasihatkan mereka yang bergejala supaya duduk di rumah bagi mengelak perebakan virus kepada ahli keluarga berusia, bayi dan berpenyakit kronik.
“Sekiranya tidak sihat atau bergejala, lebih baik tinggal di rumah. Saya kira ahli keluarga akan faham kerana mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya dalam borak santai Tahun Baharu Harimau di Instagram Media Selangor semalam.
Sementara itu, ADN Bukit Lanjan meminta orang ramai berbelanja untuk membeli kit ujian liur selain memastikan kesihatan pada tahap baik sebelum menziarahi keluarga.
“Kosnya tidaklah begitu mahal kerana paling penting dapat mengurangkan kebimbangan ketika sampai di rumah untuk bersama keluarga,” kata Elizabeth Wong.
Wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim pula menggesa orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut perayaan itu memandangkan negara masih diancam Covid-19.
“Selain itu, pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan berhati-hati pulang ke kampung kerana saya percaya masing-masing akan menempuh perjalanan yang jauh,” katanya.