Categories
SELANGOR

Tengku Amir Shah berkenan tinjau SAY IGNITE 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengadakan lawatan ke program Selangor Youth Community (SAY) IGNITE 2018, di Taman Tasik Shah Alam, di sini.

Baginda yang juga Penaung SAY bertitah, program itu bertujuan menarik belia pelbagai latar belakang dan berkebolehan menonjolkan bakat mereka.

“SAY IGNITE 2018 adalah platform kerjasama yang bukan sekadar acara satu hari, namun ia bertindak sebagai pemangkin bagi menampung beberapa inisiatif lestari lain.

“Beta sering membayangkan SAY sebagai pemudah cara dalam membantu isu berkaitan belia, sekali gus menterjemahkan visi menjadi sebuah komuniti yang membolehkan belia berkembang maju dan meneroka potensi baharu,” titahnya dalam kenyataan.

SAY adalah platform yang digunakan baginda untuk mendengar, belajar dan meneroka perkara penting supaya masyarakat dapat menyusun strategi serta mencapainya.

Baginda optimis SAY berupaya menjadi platform yang menghubungkan seluruh belia terutama, di Selangor dengan pembangunan seperti sukan, kesihatan, seni, muzik, keusahawanan dan perkhidmatan masyarakat.

Pada masa sama, baginda menyeru kepada semua belia di Selangor untuk bersama hadir memeriahkan program itu, yang diadakan sehingga jam 10 malam ini.

SAY IGNITE 2018 menampilkan beberapa aktiviti menarik antaranya perlumbaan kayak; Wayang Pacak; Kelas Pengenalan Kapal Layar; pameran fotografi dan permainan tradisional.

Selain itu, turut diadakan Debat Belia; pameran Galeri Seni; Street Soccer; Ride Your City dan persembahan artis popular antaranya Ismail Izzani dan Alif Satar, pada sebelah malam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS berkenan sertai larian ‘fun run’ bersama rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyertai larian ‘Fun Run Ride & Roll’ sejauh lima kilometer bersama 1,500 masyarakat, di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Program yang diadakan bersempena program SAY IGNITE 2018 dan sambutan Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam itu turut menyaksikan baginda berkenan melepaskan larian peserta seawal jam 8 pagi serta berakhir sekitar jam 9.30 pagi.

Seusai larian, baginda berkenan melawat ke tapak pameran di sekitar dataran sambil beramah mesra dan bergambar bersama rakyat.

SAY IGNITE 2018 menampilkan beberapa aktiviti menarik antaranya perlumbaan kayak; Wayang Pacak; Kelas Pengenalan Kapal Layar; pameran fotografi dan permainan tradisional.

Selain itu, turut diadakan Debat Belia; pameran Galeri Seni; Street Soccer; Ride Your City dan persembahan artis popular antaranya Ismail Izzani dan Alif Satar, pada sebelah malam.

Ia berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 10 malam, di Taman Tasik Shah Alam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SAY IGNITE 2018 kembali tonjol bakat belia

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Selangor Youth Community (SAY) bakal menganjurkan program SAY IGNITE 2018, pada 11 November ini, di Taman Tasik Shah Alam.

Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia bertujuan menarik belia pelbagai latar belakang dan berkebolehan menonjolkan bakat mereka dalam program terbabit.

Katanya, program itu membuka peluang kepada belia untuk bertukar idea selain mengeratkan hubungan.

“Program ini adalah inisiatif berterusan SAY bagi meneruskan pemulihan menerusi kandungan kreatif dan aktiviti sosial, di Taman Tasik Shah Alam serta sekitarnya.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan nanti dan kami menyeru kepada semua belia terutama penduduk Selangor untuk turut serta dalam program ini,” katanya sidang media selepas Pelancaran SAY IGNITE 2018, di Hotel Sunway Putra, di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

SAY IGNITE 2018 bakal menampilkan beberapa aktiviti menarik antaranya perlumbaan kayak; Fun Run; Kelas Pengenalan Kapal Layar; pameran fotografi dan permainan tradisional.

Selain itu, turut diadakan Debat Belia; pameran Galeri Seni; Street Soccer; Ride Your City dan persembahan artis popular antaranya Ismail Izzani dan Alif Satar.

Terdahulu, SAY IGNITE dianjurkan kali pertama, pada April 2017, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dengan pembabitan 3,000 peserta.