Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti mulai esok, sasar penduduk sekitar Seksyen 25

SHAH ALAM, 6 JAN: Penduduk sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini disaran menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma mulai esok.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan ujian bersasar selama dua hari berlangsung di Dewan Azalea, Seksyen 25 pada jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Segera daftar di laman sesawang SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) agar proses saringan lancar,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Foto Facebook Amirudin Shari

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April 2020 bagi membendung penularan wabak. Turut dilaksana saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes terutama melibatkan golongan berisiko tinggi.

Pada 2 Disember 2020, portal Saringan Komuniti SELangkah dilancar bagi memperkemas proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19.

Semalam, Petaling mencatatkan 162 kes Covid-19, tertinggi di negeri ini dengan 80 kes dikesan dari dua kluster baharu, Kluster Jalan Playar (64) dan Sri Suria (16).

Daerah lain iaitu Hulu Langat merekodkan 141 kes, Gombak (68), Klang (55), Sepang, (28), Kuala Selangor (24), Kuala Langat (sembilan), Hulu Selangor (tujuh) dan, Sabak Bernam (lima).