Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap Selamat Hari Gawai

SHAH ALAM, 1 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai buat masyarakat berketurunan Iban, Bidayuh dan pribumi Sarawak yang merayakannya hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap perayaan berkenaan disambut tidak kurang meriahnya walaupun pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Buat pengetahuan semua, Hari Gawai disambut sebagai hari kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah-ruah dan masa untuk merancang musim penanaman yang baharu.

“Silamat Andu Gawai Dayak 2020,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Komuniti Dayak di Sarawak meraikan Hari Gawai iaitu sambutan sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahirkan Selamat Hari Gawai

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan Selamat Hari Gawai kepada semua yang menyambut perayaan Gawai.

Seri Paduka berdua bertitah : “Gayu Guru Gerai Nyamai. Happy Gawai to all our friends in Sarawak, we wish you a wonderful celebration, filled with happiness, prosperity and peace (Selamat Hari Gawai kepada semua rakan di Sarawak, kami mengucapkan selamat menyambut perayaan yang indah, penuh dengan kebahagiaan, kemakmuran dan keamanan),” menerusi hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

Hari Gawai disambut setiap 1 Jun oleh majoriti masyarakat di Bumi Kenyalang, antaranya kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain sebagai tanda tamatnya musim menuai padi.

Bagaimanapun, Hari Gawai tahun ini disambut dalam suasana berbeza kerana negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Tahun ini hanya ahli keluarga dalam jumlah yang kecil dibenarkan berkumpul meraikan sambutan Gawai tanpa tradisi ‘Ngabang’ atau ziarah-menziarahi, berbanding normal dahulu bagi penduduk kampung atau rumah panjang berkumpul bersama sanak saudara bagi meraikannya.

– BERNAMA