Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

SIIAF 2019 jenama menarik pelancongan Selangor

SHAH ALAM, 23 JUL: Tourism Selangor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bakal menganjurkan Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 di Taman Botani Negara di sini, pada 3 dan 4 Ogos ini.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, edisi tahun ini kembali dengan skala lebih besar dan dijangka mampu menarik sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dari Selangor serta pelancong luar negara.

Katanya, SIIAF 2019 adalah salah satu inisiatif untuk mengetengahkan dan memelihara permata Selangor iaitu kaum Orang Asal yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian serta kebudayaan asli mereka walaupun pada era teknologi moden masa kini.

“SIIAF 2019 adalah antara medan terbaik untuk menjenamakan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan kebudayaan pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Menerusi acara SIIAF ini pengunjung dapat mengenali lebih dekat kebudayaan dan kesenian unik kaum Orang Asal yang tidak banyak diketengahkan kepada umum dan semakin tersisih dek arus pemodenan yang pesat.

“Acara yang sudah masuk edisi kelima penganjurannya ini sering kali menarik perhatian media asing kerana keunikan temanya berjaya mengangkat khazanah warisan negara terutama dari Selangor,” katanya pada sidang media Acara SIIAF 2019 di Acapella Suites and Hotel di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, acara berlangsung selama dua hari itu dilaksanakan bersempena Hari Antarabangsa Orang Asal Dunia yang jatuh pada Ogos setiap tahun.

Abdul Rashid berkata, SIIAF 2019 akan mempamerkan khazanah warisan kaum Orang Asal melalui persembahan tarian kebudayaan tradisional yang dipersembahkan khas kaum Mah Meri dan Temuan dari Selangor, Semai dari Perak, Seletar dari Johor juga Borneo dari Sabah serta Sarawak.

“Menariknya, acara tahun ini turut disertai Orang Asal dari Comoros Island, Africa, Papua New Guinea, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.

“Pengunjung yang hadir juga berpeluang mempelajari dan melihat dengan lebih dekat berkenaan adat, budaya, pakaian tradisional, karya seni, kraf serta bahasa kaum Orang Asal luar negara,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

SIIAF 2019 sasar 10,000 pengunjung

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUL: Tourism Selangor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menganjurkan Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 pada 3 dan 4 Ogos depan di Taman Botani Negara, di sini.

Menariknya, edisi tahun ini, ia diadakan dengan skala lebih besar dan sedikit kelainan dengan memperkenalkan Recreational Orang Asal Run (ROAR) 2019.

Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan, SIIAF mengambil inisiatif untuk mengangkat karya seni Orang Asal dalam satu acara khusus yang menghubungkan warga kota dengan kaum Orang Asal dari Malaysia dan luar negara.

Katanya, seramai 10,000 pengunjung turut disasarkan ke program berkenaan.

“Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dan mempelajari dengan lebih dekat budaya hidup dan kelangsungan kaum Orang Asal, khususnya dari Malaysia.

“SIIAF 2019 adalah salah satu inisiatif untuk mengetengahkan dan memelihara permata Selangor iaitu kaum Orang Asal yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan asli mereka, walaupun di era teknologi moden,” katanya.

Selain itu, katanya, acara yang akan berlangsung selama dua hari itu dilaksanakan bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang Asal Dunia yang jatuh pada Ogos setiap tahun.

“Apa yang lebih menarik, acara tahun ini turut disertai Orang Asal dari Sepanyol, Indonesia, Sri Lanka, Taiwan dan Korea Selatan.

“Ini membolehkan warga kota dan pelancong luar negara untuk mempelajari dan melihat dengan lebih dekat adat, budaya, pakaian tradisional, karya seni, kraf serta bahasa mereka, malah juga dapat melihat mereka beraksi secara langsung,” katanya.

Pengunjung SIIAF 2019 juga akan dapat merasai pengalaman yang lebih berkesan bila mana pihak penganjur akan membawa khas dua perkampungan Orang Asal iaitu Perkampungan Seni Kraftangan dan Perkampungan Tradisi ke lokasi acara.

Turut disediakan demonstrasi menganyam dan menyumpit, dan mengambil bahagian dalam permainan Kercang, iaitu permainan tradisi Orang Asal dari Endau, Rompin.