Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor cuba ‘ukur diri’ di peringkat ASEAN

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Selangor cuba mengukur tahap kemampuan diri dengan meletakkan persaingan di peringkat rantau ASEAN, kata EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak sepatutnya hanya melihat Malaysia sebagai pasaran yang besar dalam mengukuhkan kedudukan negeri.

“Apabila kita melihat kekuatan di peringkat serantau barulah kita boleh memperbaiki keupayaan sekali gus menjadi pesaing lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Sesi Perbincangan Pembuat Dasar dan Pemimpin Industri: Memajukan Ekonomi Bersama melalui Forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di sini, hari ini.

Sebelum itu, forum yang berlangsung di Hotel Hilton itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, penganjuran forum itu amat bermakna buat Kerajaan Negeri ekoran ia mengumpulkan syarikat dan pemain industri dari dalam mahupun luar negara.

“Melaluinya kita dapat berbincang, berkoloberasi serta bekerjasama bukan saja untuk mengekalkan kedudukan Selangor sebagai ‘powerhouse’ tetapi juga menjadi kuasa dalam rantau ini,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Selangor: Regional Powerhouse’ fokus tiga topik utama

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Selangor Sebagai Hab Penerbangan serantau antara tiga topik utama yang dibincangkan dalam forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’, yang bermula hari ini.

Dua lagi topik utama ialah Bandar Pintar Untuk Kehidupan Lebih Mampan serta Selangor Hab Teknologi Masa Hadapan.

Forum yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Hotel Hilton, di sini itu dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Smart Selangor.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman; EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Forum itu turut disertai panelis terkemuka antaranya Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Zalora Malaysia, Rostin Javadi; Pengurus Operasi Nokia Malaysia, Sri Lanka dan Maldives, Dato’ Sivanathan Shanmugam dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit, Dr Fahmi Ngah.