Categories
SUKANKINI

Perselisihan faham pemain selesai dengan aman

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 25 OGOS: Penolong Pengurus Pasukan Selangor, Noor Hisham Mohd Ghouth, memaklumkan insiden perselisihan faham antara Ugochukwu Ukah dan Mohd Bunyamin Umar ketika Selangor menentang Sarawak semalam berjaya diselesaikan dengan aman.

Suasana itu dicapai selepas kedua-dua pemain meminta maaf secara peribadi sesama sendiri dan juga rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihak pengurusan memandang serius perkara itu dan akan memberikan amaran bertulis kepada pemain terbabit.

IMG_20160824_214507_159“Satu siasatan dalaman juga akan dijalankan bagi mengenalpasti masalah. “Tidak ada tolak ansur kepada tindakan yang menjejaskan keharmonian dan kesepakatan dalam pasukan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun menyedari insiden adalah berpunca daripada semangat membara pemain untuk mencapai kejayaan, namun sikap profesional dan menghormati sesama rakan sepasukan harus dikekalkan.

Perselisihan kedua-dua pemain di penghujung permainan perlawanan Liga Super semalam, menyaksikan Ukah dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zulkifli Ahmad.

Dalam perlawanan itu, Selangor berjaya mengutip satu mata selepas seri 1-1 hasil jaringan Adam Nor Azlin.

-NFN-