Categories
NASIONAL

Tak perlu takut, sedia hadapi cabaran IR4.0

OLEH NADIAH ZAMLUS

DAMANSARA, 7 MAC: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak takut menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Pengarah Global dan Rakan Pengurusan Frost & Sullivan, Aroop Zutshi.

Beliau berkata, sebaliknya ia perlu dijadikan cabaran untuk terus memajukan Selangor berikutan revolusi itu bakal membawa perubahan besar dalam negara terutamanya mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

“Justeru, anak-anak muda perlu lebih bersiap sedia menghadapi perubahan ini kerana pastinya peluang pekerjaan yang lebih baik akan tersedia buat mereka.

“Perkembangan positif dalam menuju IR4.0 ini juga akan memberi kesan baik kepada syarikat yang terbabit, tahap pengurusan akan menjadi lebih efisien dan mereka akan menjadi sebuah organisasi lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas bersama SelangorKini selepas Sesi Taklimat Inovasi Pertumbuhan IR4.0 anjuran Frost & Sullivan, di sini.

Sesi taklimat yang turut disertai pemain industri Selangor itu dimulai dengan pembentangan paradigma industri digital serta masa depan industri pembuatan.

Mengulas lanjut, Aroop berkata, pihaknya melihat sesi taklimat selama hampir empat jam itu penting bagi membolehkan pemain industri mahupun masyarakat memahami maksud IR4.0.

Katanya, IR4.0 bukan sekadar memacu pertumbuhan industri sesebuah negara, sebaliknya ia turut membantu tahap keselamatan siber (cybersecurity) yang seringkali dibincangkan dunia moden, hari ini.

“Malah, sehingga kini di Amerika Syarikat turut berdepan dengan masalah pencerobohan data, justeru kami melihat arus kemodenan dunia perlu seiring dengan IR4.0 bagi membolehkan keselamatan siber lebih terjamin.

“Oleh itu, di samping manfaatnya yang banyak, impak teknologi dan globalisasi bakal menggandakan persaingan dan meluaskan capaian tanpa sempadan,” katanya.