Categories
SELANGOR

Laman Dapur Jana Pendapatan Suri Rumah Melalui Pertanian

SHAH ALAM, 10 NOV : Bagi meningkatkan pendapatan suri rumah di Selangor, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menganjurkan program Laman Dapur yang mana golongan ini boleh menjana pendapatan melalui pertanian.

Pengerusinya, Puan Sri Salbiah Tunut berkata, program ini bukan hanya membantu golongan wanita meningkatkan sumber pendapatan keluarga, malah menggalakkan mereka untuk memanfaatkan hasil bumi (tanah) dengan baik.

Malah menurutnya, program itu juga akan memperluaskan sektor pertanian di Selangor terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kalau boleh, saya berharap masyarakat khususnya penduduk kampung dapat menggunakan kesemepatan yang ada ini untuk menambah pendapatan mereka dengan bercucuk tanam.
“Aktiviti penanaman sebegini memberi pelbagai manfaat dan ilmu pengetahuan kepada wanita tentang aspek-aspek penjagaan tumbuh-tumbuhan,” katanya semasa menghadiri taklimat Laman Dapur di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini pagi tadi.

Program yang dimulakan sejak 2009 itu memberi bimbingan dalam bentuk kursus untuk membantu peserta melaksanakan projek pengairan titis berkonsepkan pertanian alam dengan sendiri.

Dalam program ini seramai 18 peserta untuk peringkat pertama yang terpilih daripada seluruh negeri menghadiri sesi taklimat teori dan praktikal itu yang diberi penjelasan berkenaan penanaman kacang bendi menggunakan teknik beg kompos dengan betul dan sistematik.

Sejumlah RM50,000 diperuntukkan untuk melaksanakan projek Laman Dapur di mana setiap peserta diberikan sebanyak RM2,700 dalam bentuk pakej antaranya 250 polibeg baja kompos, benih tanaman serta tangki dan sistem saliran air.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Pekawanis, Noraini Samsudin berkata, konsep pertanian Laman Dapur adalah berdasarkan organik dan mesra alam tanpa menggunakan racun.

Beliau berkata, peserta akan diberi pendedahan tentang cara-cara menghasilkan baja kompos di rumah dan mengadun baja yang boleh membantu mereka mengenalpasti masalah pada tanaman mereka.

“Kita mahu mereka boleh berdikari menjaga tanaman selain memastikan hasil tanaman juga berkualiti tinggi. Kita amat berharap supaya Geran Selangorku akan memberi lebih banyak bantuan kerana kita sasarkan 20 peserta untuk setiap parlimen bagi menyertai program ini.

“Selepas ini kita mungkin mensasarkan golongan belia untuk menyertai program ini supaya semua peringkat usia mempunyai kemahiran dalam pertanian yang boleh dimanfaatkan,” ujarnya.