Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ galak peniaga perbaharui lesen secara dalam talian

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 27,025 pemegang lesen perniagaan dan 4,287 usahawan mikro di Petaling Jaya kini boleh memperbaharui lesen mereka secara dalam talian.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya berkata inisiatif dilaksana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu sempena Kempen Baharui Lesen Perniagaan 2022 bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember untuk kemudahan golongan berkaitan tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Sehingga kini sebanyak 5,668 daripada 13,207 atau 42.9 peratus pemegang lesen menggunakan perkhidmatan bayaran dalam talian.

“Peningkatan jumlah peratusan orang ramai membayar secara dalam talian atau transaksi tanpa tunai ini jelas menunjukkan pelanggan mula terima inisiatif diperkenalkan MBPJ,” kata Sharipah Marhaini Syed Ali dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata semua peniaga perlu mengemas kini maklumat seperti emel, nombor telefon, tambahan aktiviti perniagaan dan iklan bagi memudahkan MBPJ menyalurkan maklumat terkini.

“Orang awam dinasihatkan untuk perbaharui lesen perniagaan dan usahawan mikro 2022 secara dalam talian sebelum tamat tempoh lesen tersebut,” katanya.

MBPJ turut menyediakan tiga lokasi kiosk bayaran lesen iaitu di Ibu Pejabat MBPJ, Menara MBPJ dan Pejabat Cawangan Petaling Jaya Utara di Seksyen 8, Kota Damansara yang beroperasi setiap Isnin hingga Ahad bermula 8 pagi sehingga 9 malam.