Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pilihan terbaik pelaburan, gerbang terokai ASEAN

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019, hari ini.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ke majlis di Pusat Pameran dan Perdangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Keberangkatan tiba Baginda berdua sekitar jam 10 pagi disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim.

Amirudin ketika menyampaikan ucapatama berkata, persidangan ini adalah landasan tepat buat Selangor untuk mencapai sasaran pelaburan sekitar RM10 bilion tahun ini selepas merekodkan RM6 bilion pelaburan dalam sektor perkilangan pada separuh pertama 2019.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan) memotong riben sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 pada 10 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya, Selangor juga menjadi pusat pelaburan terbaik untuk menjalankan perniagaan di rantau ini dengan akses ke pasaran Malaysia dan ASEAN malah kedudukan strategik itu dicemburui pesaing lain.

“Bagi syarikat yang mempertimbangkan pelaburan baharu, saya ingin menjelaskan Selangor adalah tempat terbaik di rantau ini untuk menjalankan perniagaan.

“Akses kami ke pasaran Malaysia dan rantau ini bermakna kami adalah gerbang ke ASEAN.

“Dengan visi untuk menjadi negeri pintar menjelang 2025, kami memastikan dasar ekonomi sejajar dengan pembangunan infrastruktur dalam (bidang) pengangkutan dan pengurusan bandar.

“Kami memiliki rangkaian pengangkutan terbaik di negara ini dengan sambungan melalui campuran kereta api, lebuh raya, pelabuhan laut dan lapangan terbang,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat ruang pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 pada 10 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata, kemudahan serba moden dimiliki meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lapangan terbang ke-12 tersibuk di Asia manakala Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan pada kedudukan sama di peringkat dunia.

“Disebabkan lokasi strategik ini, kami mempunyai lebih daripada 200 taman perindustrian yang tumbuh di seluruh negeri,” katanya.

Selain itu, SIBS 2019 kali ke-3 itu turut menjadi medan kepada pelabur tempatan dan asing bertemu syarikat multinasional serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berfikiran sama untuk meneroka peluang luas ditawarkan.

SIBS 2019 dianjurkan buat kali ketiga bermula hari ini sehingga 13 Oktober terus berkembang dengan penyertaan lebih 20 negara antaranya China, Taiwan, Indonesia, India dan Thailand.

Categories
SELANGOR

Ekspo kopi dan teh antarabangsa tarikan SIBS 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 FEB: Produk kopi keluaran negara amat dikenali di kalangan penduduk China, kata EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, disebabkan itu Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 akan memperkenalkan Ekspo Kopi dan Teh Antarabangsa Malaysia.

“Ekspo selama empat hari ini akan berlangsung ketika Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE 2019) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media SIBS 2019 di Hotel Concorde, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris; Pengruus Besar Majlis Teknologi Maklumat dan Edagang Selangor (SITEC), Loo Chuan Boon; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Muhammad Yasir Yahya dan Pengarah SIBS, Ahmad Khairo Othman.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, ekspo itu turut mendapat kerjasama Persatuan Pedagang Teh Malaysia sekali gus akan mengumpulkan pemain industrinya.

Katanya, semua pemain industri terbabit berpeluang mempromosikan produk keluaran mereka bagi pasaran peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

“Paling membanggakan apabila daun teh halal yang dipasarkan keluar negara juga mendapat pengiktirafan sijil halal dan ini memperlihatkan perkembangan industri terbabit.

“Jadi kita mengau-alukan peminat kopi dan teh untuk berkunjung ke acara ini bagi melihat kepelbagaian produk teh dan kopi, jangan lepaskan peluang ke ekspo yang dijangka bermula bermula dari 10 hingga 13 Oktober depan,” katanya.