Categories
SELANGOR

SK Subang Bestari juara Piala DYTM Raja Muda Selangor edisi ke-27

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 OKT: Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari berjaya merangkul Piala DYTM Raja Muda Selangor Edisi 27/2014 buat pertama kali selepas menewaskan SK Taman Tun Dr Ismail 3-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang SUK Selangor.

SK Subang Bestari membuka tirai jaringan melalui penyerang, Adam Afiz Zairo Azizi sebelum dia sekali lagi menggandakan jaringan
melalui tandukan hasil sepakan penjuru yang diambil Ketua Pasukan, Mohamad Fariz Abdol Zhafor.

SK Subang Bestari menjaringkan gol ketiga di penghujung separuh masa pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ketua
Pasukan, Mohamad Fariz Zaiful.

rajamuda2Tiada sebarang jaringan pada separuh masa kedua walaupun SK TTDI cuba bangkit dengan memperkemaskan permainan, namun gagal memecah
benteng pasukan SK Subang Bestari.

Yang Teramat Mulia Tengku Indera Selangor, Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Alhaj yang mewakili DYMM
Sultan Selangor menyampaikan piala pusingan sambil diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda
Selangor, Datuk Emran Kadir dan Exco Pembangunan Ganerasi Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi.

Adam Afiz Zairo Azizi dipilih selaku pemain terbaik perlawanan akhir, sementara Mohamad Fariz Zaiful memenangi anugerah Penjaring
Terbanyak dengan 10 gol.

rajamuda1Penjaga gol terbaik juga dianugerahkan kepada pemain SK Subang Bestari, Mohd Farhan Nordin.

Selaku juara, SK Subang Bestari membawa pulang piala dan wang tunai RM3,000, sementara SK TTDI sekalu naib juara membawa wang tunai
RM2,000.

Tempat ketiga dimenangi Sekolah Integrasi Seksyen 19, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500 manakala tempat keempat dimenangi
SK Seksyen 9, Shah Alam yang menerima wang tunai RM1,000.

Kejohanan itu ditaja Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebanyak RM90,000.

Kumpulan Perangsang juga akan menaja Kejohanan Bola Sepak Piala Mokhtar Dahari yang julung kali diadakan bermula November ini
sebanyak RM120,000.

Piala DYTM Raja Muda Selangor mula diperkenalkan sejak tahun 1988 hasil cetusan idea hasil cetusan Raja Muda yang ketika itu
merasmikan Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam.

Dalam titahnya baginda pada tanggal 24 Oktober 1987 mencadangkan supaya sekolah rendah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah
Alam (MBSA) mengadakan pertandingan bola sepak sebagai aktiviti tahunan.

Baginda juga berkenan mengurniakan sebuah piala pusingan untuk kejohanan itu yang awalnya dikenali sebagai ‘Pesta Bola Sepak Piala
DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan’.

Kejohanan kali pertama diadakan pada 6 Julai 1988.

Kini Pesta Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan’ sudah menjadi pertandingan elit bagi kawasan pentadbiran MBPJ.

Untuk tahun ini, 32 buah sekolah menyertainya dengan harapan merebut Piala DYTM Raja Muda Selangor.

-NFN-