KAPAR, 15 APR: Keprihatinan kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi rakyat Selangor diteruskan dengan menumpukan perhatian kepada menaikan taraf hidup wanita ladang.
Melalui Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), golongan ini akan mendapat pertolongan untuk menceburi perniagaan kecil yang sesuai dengan persekitaran komuniti mereka bagi memberi pulangan yang memuaskan.
Pegawai Operasi WALA, Nazreen Nizam berkata Skim ini akan bermula dengan 200 peserta yang akan diberi latihan sebelum dimasukkan ke dalam program yang sesuai.
WALA diberikan peruntukkan RM5 juta di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan di bawah Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan keyakinan program ini dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan kejayaan dua skim bantuan sebelum ini, iaitu Proram Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL).
Katanya, apa yang penting adalah pengurusan sistem yang tersusun agar mereka yang benar-benar layak dapat menikmati skim ini bagi meningkatkan pendapatan dan mengukuhkan ekonomi keluarga.
“Peratus kemiskinan di kawasan ladang adalah tinggi. Kerajaan negeri memandang pemberian bantuan kepada wanita ladang sangat penting dalam meningkatkan pendapatan keluarga.
?Setiap tahun dalam belanjawan negeri kita akan peruntukkan bajet untuk rakyat.
“Belum ada kerajaan negeri yang memberikan RM 4 juta kepada sekolah agama rakyat, sekolah tamil dan sekolah jenis kebangsaan cina. Selangor sudah lakukan. Kecekapan Pakatan Rakyat melaksanakan bantuan kepada rakyat lebih jelas dan tersusun.
“Tidak seperti Barisan Nasional, mereka tidak pernah fikir sistem yang sempurna seperti yang kita lakukan,” katanya.
Skim ini terbuka kepada wanita yang menetap, pernah menetap atau bekerja di ladang-ladang sekitar Selangor dan warganegara Malaysia berusia 21-45 tahun.
Calon peserta mestilah warga Selangor atau bermustautin lebih 10 tahun, tidak mendapat sebarang bantuan dari SKIMSEL, MiMBAR, AIM, TEKUN atau program mikrokredit yang seumpamanya.
Selain itu, mereka diwajibkan menghadiri kesemua latihan WALA dan menyertai program-program susulan dan mampu membayar balik pinjaman dalam tempoh masa yang dipersetujui.
Setakat ini, pasukan operasi WALA telah mengunjungi 22 buah ladang daripada 33 ladang di seluruh Selangor bagi menerangkan skim ini dan mengenalpasti bentuk bantuan yang sesuai untuk diketengahkan.
Nazreen berkata pihaknya masih membuat penilaian berhubung bentuk program yang sesuai dilakukan di kawasan ladang dan sesi penerangan kepada kumpulan sasaran masih dijalankan.
“Kami turut mempertimbangkan cadangan seperti yang disebutkan Menteri Besar memberikan peluang dari segi penternakan, pertanian dan kraf tangan bagi membuka ruang keoada golongan wanita meningkatkan pendapatan,” katanya.