Categories
SELANGOR

#Selangor18: Laksana Smart Agro tingkat hasil tani

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan Smart Agro atau Smart Farming menggunakan ‘sensing technology’ yang menjadikan proses pertanian lebih pintar dan saling berhubung.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji dengan lebih mendalam konsep ‘individualized smart agro’ untuk menghasilkan tanaman berkhasiat, mempertingkatkan keluaran makanan dari bandar serta menyumbang kepada ekonomi sosial dan persekitaran hijau

“Antara aspek lain dalam smart agro adalah konsep ‘Smart Community Garden’ khususnya di kawasan bandar. Konsep ini menggunakan pengairan, pemantauan tanah dan pengawalan serangga secara automatik serta pembajaan pintar yang dilaksanakan di Eropah dan dikenali sebagai Swiss Smart Garden Ecosystem.

“Kerajaan Negeri mensasarkan pengeluaran agro makanan bernilai RM500 juta setahun, sekali gus meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri melebihi 1.6 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Bagi tujuan itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26 juta pada 2018 dengan RM12.94 juta daripadanya diperuntukkan untuk meningkatkan pengeluaran padi, kelapa, buahan-buahan, sayuran, herba, florikultur, akuakultur dan ternakan.

Menurut Food &Agriculture Organisation (FAO), penduduk dunia akan meledak kepada 9.6 bilion, menjelang 2050.

Justeru, dunia akan berdepan dengan cabaran besar untuk mengeluarkan makanan yang perlu meningkat sebanyak 70 peratus.

Dengan kawasan pertanian yang semakin terbatas, peningkatan keperluan kepada sumber air dan dampak daripada perubahan iklim akan menggugat pengeluaran pertanian.