Categories
NASIONAL

Suhu panas berjaga-jaga di Kelantan, Pahang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APRIL: Dua negeri di Semenanjung masih lagi dilanda suhu panas pada tahap berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celcius, sejak seminggu lalu.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik laman sesawang Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan negeri terbabit ialah Pahang dan Kelantan.

Hal itu ekoran beberapa daerah di negeri terbabit mengalami keadaan suhu panas mengikut rekod bacaan suhu hingga lewat petang semalam.

Di Kelantan, antara lokasinya termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Jeli dan Pasir Mas.

Sementara di Pahang, antara daerah terbabit ialah Temerloh, Jerantut dan Bentong.

Tiga kawasan lain ialah Jempol (Negeri Sembilan), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kubang Pasu (Kedah).

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan hampir kesemua daerah di Kelantan, Kedah dan Pahang dilanda suhu panas berjaga-jaga.

Bagi kawasan yang tidak berada pada tahap satu, suhu harian maksimum adalah di bawah 35 darjah celcius.

Categories
NASIONAL

Malaysia diramal rasai suhu padang pasir 10 tahun lagi

SHAH ALAM 5 APR: Malaysia bakal merasai suhu padang pasir negara Arab dalam tempoh 10 tahun lagi apabila ia diramal mencecah 40 darjah celsius.

Pengarah Kampus Lestari di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mohd Fadhli Md Din, dilaporkan berkata keadaan itu boleh berlaku apabila suhu di negara ini meningkat 1.2 darjah Celsius setahun.

suhu pasir“Kadar suhu sangat tinggi itu bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada tubuh manusia yang hanya mampu bertahan dalam suhu maksimum 39.5 darjah celsius.

“Malah mengakibatkan negara berisiko mengalami musim kemarau berpanjangan,” katanya dipetik akhbar Kosmo.

Fadhli berkata suhu meningkat disebabkan pelepasan gas karbon dioksida dari kilang dan kenderaan yang semakin banyak dikeluarkan.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan pelan tindakan bagi membolehkan negara berdepan dengan kemarau panjang.

Peningkatan suhu berperingkat membawa mudarat kepada manusia yang terdedah kepada strok haba, terutamanya warga tua dan kanak-kanak, katanya.

Beliau dilaporkan berkata tubuh badan manusia secara purata mampu bertahan selama 10 minit di bawah suhu maksimum 39.5 darjah Celsius sebelum terdedah kepada strok haba.

EZY

Categories
SELANGOR

Suhu panas: Kurangkan aktiviti luar, jaga kesihatan

OLEH : SYASYA SUFIAN

PETALING JAYA, 20 MAC: Orang ramai disarankan menjaga kesihatan ketika menghadapi fenomena panas dengan mengurangkan aktiviti luar.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr. Daroyah Alwi, berkata cuaca kini yang panas sekitar antara 37 hingga 40 darjah celcius mendedahkan bahaya kesihatan terutamanya bagi kanak-kanak.

Suhu-panas-eksterm-416x250“Hadkan aktiviti di tempat terbuka terutama bagi warga emas, kanak-kanak, mahupun mereka yang perlu bekerja tengah panas kerana kesihatan perlu diutamakan.

“Dinasihatkan agar orang ramai perbanyakkan meminum air kosong dalam kadar banyak tanpa perlu menunggu rasa dahaga,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Sambutan Hari Wanita DUN Seri Setia, di Pangsapuri Desa Mentari, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya ibu bapa perlu memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak mereka dengan mengurangkan aktiviti di luar serta mendapatkan rehat secukupnya.

Dijangkakan penghujung bulan Mac 2016 fenomena panas itu dijangka berkurangan berikutan musim peralihan yang membawa lebih banyak hujan dan ribut petir pada lewat petang.

EZY