Categories
SELANGOR

MBSA rai 151 ‘unsung heroes’ banjir Kelantan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengiktiraf 151 kakitangannya yang bertugas sebagai sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan di Kelantan sebagai ‘MBSA unsung heroes’

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zaharin Mohd Saad berkata, kumpulan sukarelawan itu terpaksa mengorbankan cuti rehat masing-masing, bersengkang mata dan terpaksa meredah banjir serta lumpur bagi memastikan misi bantuan kemanusiaan itu tercapai.

Katanya, walaupun bantuan yang dihulurkan tidak dapat menggantikan kerugian yang ditanggung tetapi sumbangan tenaga dan sedikit barangan yang dihulurkan amat memberi makna kepada mangsa banjir terlibat.

mbsa“Saya amat menghargai kesetiaan, komitmen dan kerjasama semua terutama apabila berlaku sesuatu musibah atau bencana yang tidak dijangka seperti banjir, kebakaran serta tanah runtuh.

“Pasukan sukarelawan ini berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan serta penuh dedikasi demi memastikan keselamatan, kebajikan juga kesejahteraan masyarakat.

“Saya ibaratkan kumpulan ini seperti ‘unsung heroes’ atau wira tak didendang bagi organisasi MBSA,” katanya dalam Majlis Penghargaan Pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan di Gua Musang, Kelantan dari 29 Disember hingga 25 Januari lalu.

Pada 25 Disember lalu, MBSA menghantar pasukan pertama seramai 13 orang ke Gua Musang, Kelantan bagi mengedarkan bantuan barangan keperluan seperti susu tepung, lampin pakai buang, tuala wanita, air mineral, tikar, selimut, tilam dan makanan dalam tin bernilai RM20,000.

Banjir MBSASelepas itu, dari 7 hingga 25 Januari lalu, MBSA menghantar tiga lagi pasukan dengan kekuatan 138 anggota bagi melakukan kerja pembersihan awam di lokasi yang ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) Kelantan.

Sukarelawan itu terdiri daripada anggota Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Kejureteraan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA.

Selain bantuan barangan keperluan asas dan melaksanakan kerja pembersihan, MBSA turut menyumbangkan 20 unit tong sampah beroda, semburan anti bakteria, bekalan air bersih dari Pahang atau Selangor dan tiga unit khemah bersaiz 20 kaki persegi.

MBSA sebagai PBT yang prihatin terhadap kesusahan mangsa bencana alam turut menghantar bantuan dalam misi sama di Kuantan, Pahang dan Johor.

-NFN-