Categories
SELANGOR

Laluan Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat dibuka semula Mei ini

Oleh: AFEEQA AFEERA

HULU LANGAT, 29 APRIL: Laluan di Kilometer 17, Jalan Sungai Lalang berhampiran Empangan Semenyih dekat sini yang mengalami kejadian tanah runtuh pada 29 November 2012 bakal dibuka semula kepada orang ramai selewat-lewatnya hujung Mei ini.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata proses baik pulih cerun dan jalan yang runtuh itu memakan masa kira-kira 10 bulan dengan kos lebih RM7.052 juta yang diperuntukkan kerajaan Selangor.

Beliau berkata, kerja membaikpulih dilaksanakan dengan membina semula benteng yang runtuh termasuk menggunakan benteng batu (rockfill embankment) kerana bukan sahaja menjimatkan kos tetapi masa pembinaannya juga lebih singkat.

photo 2“Syarikat Pembinaan Era Dinamik Sdn Bhd ditawarkan kontrak untuk membaik pulih tanah runtuh ini dengan tempoh kontrak adalah selama tujuh bulan dan bakal siap sepenuhnya pada 30 April ini (esok).

“Antara kerja yang dilakukan adalah membina semula jalan, cerun, sistem perparitan dan penanaman rumput. Walaupun projek ini mengalami sedikit kelewatan, tetapi kita yakin hasilnya adalah terbaik,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Jalan Sungai Lalang, di sini, hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang yang menghubungkan Semenyih dengan Batu 18, Hulu Langat serta Kuala Klawang di Negeri Sembilan pada tahun 2012 mengakibatkan jalan yang berada di Empangan Semenyih terputus dan tidak dapat dilalui semua kenderaan.

Berikutan itu, jalan sedia ada sepanjang lebih kurang 200 meter runtuh sehingga kedalaman 100 meter dan menyebabkan lima orang termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun terselamat selepas tiga buah kenderaan terperosok ke tanah mendap sedalam 100 meter.

photo 1Yunus berkata, faktor cuaca tidak menentu seperti hujan lebat adalah antara masalah yang terpaksa dihadapi kontraktor dalam usaha menyiapkan projek berkenaan sehingga mengalami kelewatan hampir tiga bulan.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat berpuas hati terhadap kerja baikpulih yang dilakukan dan berharap laluan itu dapat dimanfaatkan penduduk setempat apabila dibuka semula.

“Struktur tanah sebelum ini tidak kukuh kerana hanya ada satu sahaja paip culvert untuk laluan air dari bukit ke kawasan empangan hingga menyebabkan permukaan tanah atau jalan raya mendap.

“Jadi, apabila kita pasang paip culvert yang lebih banyak dan bersaiz besar, maka masalah ini dapat diatasi dan tidak akan berulang lagi,” katanya.

-NFN-