Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

10,000 baucar pelancongan negeri ditawar mulai 22 Oktober

SUBANG JAYA, 5 OKT: Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ditawarkan secara percuma kepada seluruh rakyat negara ini bermula 22 Oktober hingga 31 Disember.

EXCO pelancongan berkata baucar bernilai RM100 setiap satu boleh didapati di platform e-dagang Shopee dengan tempoh penggunaan dari 22 Oktober hingga 30 Jun tahun depan.

“Ia boleh digunakan untuk membeli pakej pelancongan negeri ditawarkan 28 agensi yang mengambil bahagian pada edisi kali ini.

“Saya berharap tawaran insentif berjumlah RM1 juta menjadi inisiatif signifikan ke arah membangunkan semula sektor ini di ambang pandemik yang semakin menghampiri fasa endemik,” kata Hee Loy Sian.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menjalankan pemantauan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan melancarkan baucar tersebut di Taman Tema Sunway Lagoon di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway Calvin Ho.

Sebelum ini, Selangor memperuntukkan RM2 juta menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0 yang diagih kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go e-wallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri turut melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Agihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.