Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Hyde Park diisytihar tamat – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Satu lagi kluster Covid-19 iaitu Kluster Hyde Park di Klang, Selangor, diisytiharkan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Twitternya berkata, kluster berkenaan melibatkan kluster kes import terpencil, di atas sebuah kapal.

“Kluster ini melaporkan empat kes positif Covid-19, yang kesemuanya bukan warganegara Malaysia, namun tiada sebarang kematian dilaporkan.

“Terkini termasuk kluster ini, sebanyak 79 kluster telah ditamatkan,” katanya.

Pada 22 Julai lepas, beliau dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan Kluster itu di atas sebuah kapal di Pelabuhan Klang, melibatkan seorang anak kapal warga Rusia (kes ke-8,769) yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India.

Katanya, kluster itu dikenal pasti susulan saringan Covid-19, yang dijalani oleh kru kapal itu sebelum pulang ke negara asal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 12 kes baharu, 10 penularan tempatan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Sebanyak 12 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan 10 penularan tempatan dan dua jangkitan dari luar negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes tempatan membabitkan warganegara Malaysia manakala kes import adalah bukan warganegara dari Syiria dan Filipina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Penularan tempatan membabitkan pertambahan tujuh kes dari kluster Tawar iaitu empat di Kedah dan tiga di Pulau Pinang.

“Kedah turut merekodkan dua kes baharu menerusi kluster Sala manakala satu kes lagi di Selangor membabitkan saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes keseluruhan adalah 9,212 kes dengan 211 kes aktif kebolehjangkitan sementara 17 individu disahkan sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah kes sembuh setakat ini 8,876 kes.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata lapan kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua memerlukan bantuan pernafasan serta tiada tambahan kes kematian dengan jumlah keseluruhan kekal 125 kes.