Categories
AGENDA NASIONAL

Badan kehakiman lakukan pembaharuan tingkat kecekapan

PUTRAJAYA, 10 JAN: Badan kehakiman akan melaksanakan beberapa pembaharuan untuk mempertingkatkan kecekapan prosedur mahkamah dan akses kepada keadilan untuk rakyat, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata sistem jaminan elektronik akan diperkenalkan bagi membolehkan bailor untuk membuat bayaran jaminan secara dalam talian daripada pergi sendiri ke bank untuk mendapatkan bon jaminan diperlukan.

Konsep ini penting di Johor dan Kedah memandangkan mahkamah beroperasi pada hari Ahad sedangkan bank pula tutup pada hari berkenaan.

“Pelancaran program itu adalah secara berperingkat bermula dengan Kuala Lumpur, Shah Alam serta Seremban dan kami berharap untuk meluaskannya kepada negeri-negeri lain apabila tiba waktunya,” kata beliau dalam ucapan pembukaan Tahun Perundangan 2020, di sini hari ini.

Tengku Maimun berkata sistem e-Review yang membolehkan pengurusan kes dilakukan oleh pendaftar mahkamah dan peguam secara dalam talian turut akan diperluaskan.

Hakim tertinggi dalam badan kehakiman itu juga berkata institusi itu juga akan mempertingkatkan kecekapan proses mahkamah menerusi pendigitalan dengan memperluaskan prosedur “e-Court” ke 82 lokasi.

Beliau berkata badan kehakiman juga merancang mencapai pendigitalan sepenuhnya pada pertengahan tahun ini di Mahkamah Rayuan dengan mengambil contoh perbicaraan rayuan di Sabah dan Sarawak yang memerlukan pengangkutan salinan cetak kepada mahkamah berkenaan, memerlukan pekerja buruh dan perbelanjaan yang banyak.

Untuk mempertingkatkan kecekapan dalam pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun berkata badan kehakiman sedang mempertimbangkan permohonan kebenaran untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan hanya didengari oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

“Pada masa ini, sekurang-kurangnya tiga hakim mendengar permohonan itu dan ini mengambil masa dan sumber kehakiman yang banyak,” kata beliau.

Tengku Maimun berkata dalam usaha mempertingkatkan lagi akses kepada keadilan, badan kehakiman juga telah meminda Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memenuhi prosedur khusus ke atas kes alam sekitar bagi memudah cara dan menggalakkan saman alam sekitar dengan melonggarkan kekangan prosedur.

Beliau juga berkata mahkamah juga sedang berusaha untuk mengehadkan dengan ketara rayuan sivil dalam kes interlokutori bagi mengelakkan penangguhan dalam perbicaraan penuh.

Beliau berkata terdapat juga banyak kes berkaitan undang-undang keluarga di Mahkamah Tinggi dan badan kehakiman membuat keputusan untuk menggunakan satu peruntukan dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi membenarkan hakim Mahkamah Sesyen untuk mendengar perkara-perkara mengenai undang-undang keluarga yang tidak bertikaian buat masa ini bagi membolehkan hakim Mahkamah Tinggi menumpukan lebih perhatian kepada perkara-perkara yang bertikaian.

Dalam ucapannya, Tengku Maimun berkata badan kehakiman tidak mentoleransi amalan rasuah dan institusi itu telah melaksanakan satu dasar bahawa pegawainya akan ditukarkan sekali setiap tiga tahun bagi memastikan mereka tidak menjadi terlalu selesa dan cenderung kepada godaan di tempat kerja, supaya mereka menjadi pegawai yang serba boleh dengan pelbagai pengalaman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Siasatan dalaman badan kehakiman digantung kerana siasatan polis

PUTRAJAYA, 4 JAN: Siasatan dalaman oleh badan kehakiman berhubung akuan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang mengandungi dakwaan campur tangan badan kehakiman, digantung kerana siasatan polis, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata beliau tidak tahu perkembangan siasatan polis dan sama ada mereka telah mengemukakan laporan atau kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ia (siasatan dalaman) digantung kerana polis jalankan siasatan. Pihak polis datang dan menemu bual kami (hakim).

“Keputusan yang diambil pihak pengurusan atasan semasa itu (semasa tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum) adalah untuk menangguhkan dulu siasatan dalaman kerana polis sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada media apabila ditanya berhubung siasatan dalaman oleh badan itu.

Ketua Hakim Negara berkata demikian semasa sesi bertemu media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini semalam.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo telah menulis kepadanya berhubung perkara itu.

“Saya beritahu beliau saya tidak boleh jalankan siasatan atau teruskan siasatan yang dimulakan Tan Sri Richard Malanjum kerana konflik kepentingan memandangkan saya seorang daripada tiga hakim dalam panel yang mendengar kes rayuan hasutan Karpal (di Mahkamah Rayuan).

“Saya sendiri beritahu Sangeet bahawa aduan itu berkaitan dengan kes bapanya, jadi saya tidak boleh terlibat dalam siasatan berkaitan perkara itu, dia faham,” kata Tengku Maimun.

Pada 12 Julai 2019 Sangeet memberitahu media beliau membuat permohonan rasmi kepada Tengku Maimun, yang menggantikan Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baharu, untuk menyiasat semula perkara itu.

Pada 22 Oktober 2019 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan Sangeet berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan bapanya.

Pada 14 Februari 2019, Hamid Sultan memfailkan afidavit mengandungi 63 halaman untuk menyokong saman pemula yang difailkan Sangeet.

Dalam saman pemula, Sangeet memohon antara lain suatu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu apabila gagal melengkapkan siasatan berkaitan dua dakwaan campur tangan badan kehakiman.

Dakwaan pertama mengenai keputusan rayuan kes hasutan mendiang ayahnya Karpal Singh dan dakwaan kedua, dalam kes penukaran agama Islam melibatkan anak guru tadika M Indira Gandhi.

Pada 30 Mei 2016, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengekalkan sabitan kesalahan menghasut Karpal yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Februari 2014 berhubung kenyataan yang dibuat perayu pada 2009 mengenai tindakan Sultan Perak menyingkirkan menteri besar ketika itu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohtarudin Baki, Hakim Datuk Kamardin Hashim sependapat dengan Mohtarudin tetapi Hakim Tengku Maimun menentang.

Pada 28 Mac 2019, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Zaharah Ibrahim, membebaskan Karpal daripada pertuduhan hasutan, memutuskan terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaannya.

Karpal Singh, seorang peguam dan ahli politik terkemuka, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Perak pada awal pagi 17 April 2014.

Sangeet seorang peguam, mempunyai firma guaman sendiri.

Berhubung isu lain, Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membuat aduan melalui saluran yang betul jika mereka mengetahui tentang salah laku kehakiman.

Beliau berkata ini adalah untuk mengelakkan badan kehakiman daripada tercemar.

“Ini kerana apabila anda memberitahu seluruh dunia, ia bukan hanya mencemarkan badan kehakiman, ia juga akan mencemarkan negara,” kata Ketua Hakim Negara.

– BERNAMA