Categories
AGENDA NASIONAL

Tular lelaki terjun, Tasik Cermin ditutup mulai hari ini

IPOH, 13 DIS: Tasik Cermin di sini yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula hari ini gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dijalankan dan pembukaan semula untuk kunjungan pelancong akan diumumkan kepada orang ramai.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan dikenakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.

Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan mandi-manda di kawasan tasik berkenaan.

Baru-baru ini, video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya boleh menyebabkan kawasan rekreasi tersebut ditutup kepada pengunjung.

Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung pada Mac tahun lalu atas faktor keselamatan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba temui mayat remaja lemas di Tasik Cermin

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seorang remaja berumur 19 tahun ditemukan lemas di Tasik Cermin, Puncak Perdana, dekat sini sekitar pukul 4 petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.08 petang dan tiba ke tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Sampai ke lokasi kejadian dan selepas membuat ‘size up’, kami difahamkan R.Puravinraj yang hilang, dipercayai lemas di dalam tasik. Anggota operasi bertindak membuat pencarian melalui ‘water surface’ dan membuat selaman.

“Pemuda itu berjaya dijumpai pada pukul 4.33 petang pada kedalaman empat meter di tasik itu, dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan kemudiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata kes telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

-BERNAMA