Categories
SELANGOR

Teater Atas Pokok catat sejarah unik tercatat rekod dunia

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APR: Pertama kali dalam sejarah, industri seni tempatan menyaksikan sebuah sebuah teater dipentaskan di atas pokok selama dua hari bermula semalam.

Ia sekaligus mengangkat persembahan unik itu ke dalam Malaysia Book of Records.

TEATER TAPPengarah Teater Atas Pokok, Samsudin Osman berkata pihaknya menerima sambutan luar biasa di kalangan anak muda mahupun segenap lapisan.

“Saya menerima reaksi positif sebelum teater ini ditonjolkan. Sambutan begitu luar biasa, saya tidak pernah menerima sambutan sebegini.

“Saya bersyukur walaupun menghadapi pelbagai masalah dan cabaran termasuk dari segi teknikal, namun ia berjaya di sempurnakan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dinsman turut bercadang untuk mengadakan pementasan teater terbabit di atas pokok di Gombak.

“Saya mendapat inspirasi dari pokok di Gombak dan ia lebih sesuai dan cantik untuk mengambarkan Kampung Warisan yang ingin ditunjukkan.

“Jadi kerana ditontonkan di sini, saya tidak dapat tonjolkan banyak lagi banyak penceritaan.

“Misi penyampaian itu sampai tetapi konsep keindahan masih belum tercapai. Contohnya cara memanjat, ia memerlukan kesenian yang kita tidak dapat buat di pokok ini,” katanya.

Pada pementasan Teater Atas Pokok itu, kira-kira 500 hadirin menyaksikannya.

Pada masa yang sama, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Sahri bersama Pengarah Operasi Malaysia Book Of Records, Christopher Hw Wong menyampaikan sijil berkenaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Teater Atas Pokok angkat gagasan Smart Selangor

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APR: Teater Atas Pokok arahan Dinsman berjaya mengangkat tema kelestarian alam sekitar selaras gagasan ‘Smart Selangor’ ke arah kehidupan bandar yang ‘livable’ seperti yang dilaungkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Persembahan teater itu juga menunjukkan tekad seni Dinsman atau nama sebenar Shamsudin Osman yang sarat dengan kritikan terhadap pembangunan oleh ‘monster’ kapitalis.

TEATER TAPMenjadikan sebatang pokok angsana sebagai ‘pentas’ utama, Dinsman turut menyampaikan mesej kesedaran menjaga ekosistem, kebudayaan, kemasyarakatan dan teknologi.

Teater Atas Pokok itu turut mengadaptasi dua puisi karya Usman Awang, “Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya” dan “Surat Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar”.

Teater terbabit menceritakan tentang perjuangan alam sekitar dan nilai warisan sebuah kampung Melayu, Kampung Banda Dalam di Kuala Lumpur yang diancam kemusnahan.

Ia menampilkan watak-watak daripada pihak kerajaan dan kaum pemodal yang ingin meruntuhkan kampung demi projek pembangunan metropolitan.

Antaranya kelihatan watak Timbalan Menteri yang berpakaian emas dan perak (Datuk Bandar) cukup sinis mengambarkan kemewahan warga kapitalis serta dua watak sarkas sebagai sindiran kepada kedua-kedua watak terbabit.

Menampilkan tujuh pelakon termasuk pelakon dan penari jemputan daripada Thailand iaitu Bhumin Dhanaketpisarn dua pemuzik oleh Sani Sudin Saidin Omar.

Ia turut menampilkan persembahan tarian kuda kepang dari Sabak Bernam sebagai pembukaan.

Teater Atas Pokok“Mula timbul idea secara spontan untuk pementasan teater atas pokok sekitar hujung 2014. Saya rasa ini pertama kali dipentaskan, tak pernah dengar ada orang sebelum ini yang buat teater atas pokok,” kata Dinsman.

Dinsman berkata pementasan kali ini merupakan cabaran buatnya dan kru lain kerana memerlukan mereka memanjat pokok setinggi 40 kaki.

Beliau yang juga Pengarah Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) berkata teater berdurasi dua jam itu memerlukan pelakon tergantung di dahan pokok sambil menyanyi, melontarkan dialog, malah membuat beberapa aksi termasuk menari dan duduk atas buaian.

“Kita gunakan syarikat perunding yang menyediakan alat keselamatan termasuk tali ‘harness’ bagi memastikan keselamatan kru dan pelakon terjamin.

“Buaian dan tali digunakan untuk bergayut digunakan untuk menggambarkan gambaran kehidupan atas pokok,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Book of Records sahkan Teater Atas Pokok pertama di Malaysia

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Malaysia Book of Records mengesahkan pementasan Teater Atas Pokok merupakan teater pertama di Malaysia dipentaskan di atas pokok.

Pengarah Teater itu, Shamsudin Othman, berkata Malaysia Book of Records akan menyampaikan sijil pengiktirafan mereka kepada pihak produksi pada hari pertama pementasan iaitu 16 April nanti.

“Malaysia Book Of Records sudah mengesahkan yang Teater Atas Pokok ini adalah yang pertama di Malaysia dan diberi sijil pengiktirafan pada 16 April.

TEATER TAP“Teater seumpama ini belum pernah dipentaskan di atas pokok. Ini adalah perkara baru. Perkara baru begini memang beri kelainan yang baru tidak ada dalam pementasan lain,” kata Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Dinsman.

Katanya, Teater Di atas Pokok turut menarik minat penyunting bagi majalah Asian Theater Journal yang juga seorang profesor dari Amerika yang mempunyai kepakaran dalam kajian persembahan teater di Asia.

Ketika ditanya sambutan orang ramai terhadap pementasan teater itu, Shamsudin memberitahu pihak beliau menerima reaksi memberangsangkan daripada orang ramai.

“Setakat ini kita terima sambutan baik. Ada beberapa kumpulan yang menunjukkan keterujaan nak datang. Bahkan ada cikgu di sebuah sekolah di pendalaman Sarawak beritahu saya dia dah tempah tiket kapal terbang untuk menonton teater ini.

“Oleh kerana teater seumpama ini adalah satu perkara baru, jadi memang ramai orang berminat nak tengok. Lagipun perkara baru memang perlu tengok,” ujarnya.

Menyentuh isu keselamatan pula, Shamsudin memberitahu pementasan Teater Atas Pokok memerlukan piawaian keselamatan lebih ketat berbanding pementasan lain yang beliau pernah terlibat.

Bagaimanapun perkara itu dapat diatasi melalui latihan dan nasihat keselamatan yang diberikan penasihat bagi memastikan ciri keselamatan untuk pelakon sentiasa terjamin.

Teater Atas Pokok bakal dipentaskan pada jam 9.00 malam, 16 dan 17 April ini di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam.

EZY