Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK Desak Tarik Balik Lagu Tema Hari Kemerdekaan

SHAH ALAM 4 OGOS : AMK Pusat  mendesak kerajaan tanpa sebarang kompromi, menarik balik lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata karyawan muzik melalui Seniman misalnya perlu dipanggil untuk kembali menggubah lagu tema baru yang lebih menepati jiwa dan semangat kemerdekaan tulen.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara usai 55 tahun kemerdekaan, inisiatif kerajaan dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan menjelang 31 Ogos tiap-tiap tahun, menimbulkan kontroversi yang berterusan,” kata Shamsul dalam kenyataan media.

Jelas Shahmsul, pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) di bawah pimpinan menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim mencetuskan kontroversi secara pakej: melalui tema, logo, dan lagu tema.

Tema “55 Tahun Merdeka:Janji Ditepati? berterusan dipertikaikan rakyat disamping jeleknya logo dan lagu tema yang mengiringi tema sambutan hari kemerdekaan tersebut.

“AMK berpandangan kontroversi ini tercetus berikutan terdesaknya Umno-BN untuk memaut sokongan rakyat secara paksa dengan memainkan sentimen ?membalas budi? ke atas pemerintahan Umno-BN di atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama 55 tahun kemerdekaan.

“Ini berikutan betapa terdesaknya mereka memastikan rakyat ?termakan budi? seterusnya mengundi Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang dijadualkan akan diadakan pada bila-bila masa selepas sambutan Aidilfitri,” tegas Shamsul.

Ujar beliau,sebelum ini kelompok karyawan diraikan melalui pertandingan mencipta logo ataupun lagu tema bagi sambutan Hari Kebangsaan.

Tetapi, ternyata Rais Yatim terbukti tidak meletakkan dirinya di ?era moden? ini, dengan membuat keputusan sehala tanpa mengambil kira pandangan khalayak.

“AMK berpendapat, setelah kerajaan Umno-BN menarik balik logo sambutan Hari Kebangsaan berikutan protes rakyat, maka sudah sampai masanya kerajaan menarik kembali lagu tema yang menyaksikan gubahan lirik yang sangat jelek.

“Tidak pernah berlaku, dalam mana-mana lagu patriotik khususnya untuk sambutan Hari Kebangsaan, gubahan liriknya secara langsung mengaitkan dasar one-off atau dasar berterusan kerajaan seperti yang dilakukan sekarang dengan mengungkit perihal BR1M, KR1M dan Klinik 1Malaysia,” katanya.

Tegas Shahmsul,Umno-BN harus berhenti mempropagandakan segala benda yang berada di bawah kawalan mereka.

“Kerana selagi mana mereka meneruskan tabiat jelek ini, selagi itulah penolakan rakyat akan diperlihatkan tanpa kompromi,” ujarnya.