Categories
AGENDA NASIONAL

RM1.67 bilion diskaun elektrik diberi setakat 31 Ogos

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Tenaga Nasional Bhd telah memberi diskaun ke atas bil elektrik berjumlah RM1.67 bilion kepada kira-kira 7 juta pengguna domestik sehingga 31 Ogos 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Daripada jumlah diskaun itu, sebanyak 83 peratus telah dimanfaatkan oleh pengguna domestik, katanya dalam laporan LAKSANA ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan, hari ini.

Manakala bagi sektor komersial, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM181.7 juta diskaun bil elektrik yang meliputi 17 peratus daripada jumlah keseluruhan telah diberikan kepada 1.4 juta syarikat.

Sementara itu, bagi Skim i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 28 Ogos, jumlah pengeluaran kumulatif antara April sehingga Ogos 2020 berjumlah sebanyak RM7.54 bilion, berbanding RM7.48 bilion yang dikeluarkan setakat minggu lepas.

Pengeluaran tersebut melibatkan 4.59 juta penerima berbanding 4.57 juta penerima pada minggu lalu, katanya.

Tengku Zafrul juga berkata setakat 28 Ogos, sejumlah RM10.3 billion permohonan bagi dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS.

Jumlah permohonan tersebut telah meningkat daripada RM10.2 billion yang dicatatkan minggu lalu, dan akan memberi manfaat kepada 22,440 PKS berbanding 22,322 PKS pada minggu sebelumnya.

Bagi pembiayaan skim PKS PENJANA, beliau berkata sebanyak 1,615 permohonan yang melibatkan RM426.2 juta jumlah dana telah disalurkan setakat 28 Ogos berbanding 1,172 permohonan (RM329.5 juta) dicatatkan sehingga 21 Ogos.

Menteri Kewangan berkata pemberian tunai secara one-off (sekali) seperti Bantuan Prihatin Nasional, bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan, dan lain-lain telah melibatkan pembayaran sebanyak RM14.7 bilion setakat 28 Ogos.

“Tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 94 peratus,” katanya.

Bagi inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP KSWP) dan lain-lain pula melibatkan nilai sebanyak RM92.3 bilion.

Pelaksanaan inisiatif tersebut adalah pada tahap 73 peratus, katanya.

– BERNAMA

100 Penternak Ayam Tg Karang Di Aniaya

TANJUNG KARANG, 8 MAC: Kira-kira 100 peserta Penternakan Ayam Kampung Di Bawah Program Pembasmian Kemiskinan anjuran Parlimen Tanjung Karang dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani teraniaya apabila pulangan yang dijanjikan lesap begitu sahaja.

Selain melibatkan Kementerian Pertanian dan Parlimen Tanjung Karang yang kedua-duanya di bawah tanggungjawab Datuk Seri Noh Omar, dua buah syarikat, Budi Niaga Resources dan NH Din Enterprise turut disebut sebagai pihak yang terlibat dalam projek berkenaan.

Menurut mangsa, Zainal Abidin Shamsudin, 47 tahun, projek penternakan yang dimulakan pada 2009 ini hanya dibayar sebanyak 40 peratus sahaja daripada hasil jualan keseluruhan.

Pihak terbabit turut menjanjikan baki selebihnya sebanyak 60 peratus akan dicarumkan di dalam akaun perserta dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Selepas kursus pada November 2009, mereka mula hantar anak-anak ayam dalam enam pusingan dengan jumlah keseluruhan 650 ekor anak ayam.

“Setiap satu pusingan mereka hantar seratus hingga 150 ekor ekor dan bila dah matang, mereka ambil ayam-ayam itu dan bayar, tetapi tak bayar habis, cuma 40 peratus sahaja.

“Mereka kata bakinya akan dicarumkan dalam PPK, tapi bila saya periksa tak ada dicarumkan pun,” ujar beliau ketika ditemui di Kampung Sungai Terap baru-baru ini.

“Sekarang dah lebih dua tahun, masih tak dicarum lagi dan bila saya tanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, mereka pun tak dapat nak berikan jawapan, cuma mereka suruh saya tanya syarikat yang jalankan projek ini,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Sungai Terap baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Zainal, setiap kali beliau cuba menghubungi pengarah syarikat terbabit, pelbagai alasan diberikan seolah-olah cuba mengelak dari membayar kepada peserta.

“Dulu saya dah banyak kali telefon pengusaha, macam-macam alasan yang diberi dan sekarang langsung dah tak jawab telefon lagi,” ujar beliau lagi.

Zainal juga memberitahu peserta tidak dibekalkan keperluan yang mencukupi seperti makanan ayam, perubatan dan keperluan lain yang menyebabkan perserta-peserta terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menampung kos ternakan tersebut.

Bekalan eletrik ke rumahnya turut dipotong oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) setelah bil elektriknya melambung tinggi sehingga mencecah satu ribu ringgit.

“Mereka memang ada bekalkan makanan, kadang-kadang ubat-ubatan juga ada, tetapi ikut merekalah nak bagi makanan gred rendah atau yang baik dan memanglah tak cukup.

“Jadi semua perserta terpaksa keluarkan duit sendiri untuk tampung kos termasuklah saya sendiri.

“Akhirnya disebabkan projek ternak ayam kampung ni, bil api saya jadi melambung sehingga mencecah seribu ribu ringgit dan akhirnya kena potong TNB.

“Kerana terdesak, saya terpaksa mohon bantuan Lembaga Zakat Selangor untuk meringankan tanggungan seperti persekolahan anak-anak dan belanja dapur,” ujar Zainal yang tidak lagi mampu melakukan kerja berat setelah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya tidak berapa lama dahulu.