Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

TMS2020: MAHB sedia beri khidmat terbaik

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SEPANG, 30 JUN: Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedia memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelancong yang bakal hadir sempena Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020).

Ketua Pegawai Eksikutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, selaku ‘caring host’, pihaknya sentiasa bersedia memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong bagi memastikan mereka menjadi ‘happy guest’.

“Selain fasiliti, kami juga menawarkan ‘connectivity’ dengan menghubungkan seluruh Malaysia walaupun di pedalaman.

“Saya yakin sasaran TMS 2020 untuk menyambut lima juta pelancong mampu direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis TMS2020 dan Festival Kebudayaan dan Warisan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Yang Dipertua Majlis Daerah Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Mohd Yatim; Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew; Pengurus Akaun dan Pentadbir, Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Mengulas penganjuran festival itu, Raja Azmi berkata, program terbabit mempunyai potensi tinggi dalam sektor pelancongan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi mampan.

“Kita akan beri sokongan padu bagi meningkatkan keberkesanan dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memartabatkan lagi kebudayaan negara kita.

“Secara tidak langsung, ia mempromosikan pelancongan dan amat penting bagi memantapkan lagi jumlah pelancong yang berminat untuk melancong ke Malaysia.

“Ia juga akan menaikkan ekonomi MPSepang dan Selangor, selaras matlamat Kerajaan Negeri bagi memajukan sektor pelancongan,” katanya.

Sebelum ini, MAHB giat mempromosikan Selangor malalui program ‘joyfulMalaysia @ KLIA & KLIA 2 yang menyajikan pelbagai perisian menarik di negeri itu.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Jelajah 9 negeri promosi Tahun Melawat Sepang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 7 JAN: Sebanyak sembilan negeri akan dijelajah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi mempromosikan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020), bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Yatim berkata, rangka kerja promosi melalui acara konvoi motosikal itu membabitkan Johor; Negeri Sembilan; Melaka; Pahang; Kelantan; Terengganu; Perak; Kedah dan Pulau Pinang.

“Konvoi MPSepang ini akan membawa identiti daerah ini termasuk memperkenalkan produk pelancongan seperti keindahan flora dan fauna serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Selain menjadi pintu masuk utama negara, Sepang mahu pelancong dalam mahupun luar negara tahu di sini terdapat pelbagai destinasi menarik yang boleh dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Konvoi Jelajah Malaysia sempena TMS 2020, di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Sepang, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, MPSepang turut mengumumkan tagline Sepang Gerbang Negara bersempena TMS 2020.

Mohd Fauzi berkata, TMS 2020 turut menyasarkan lima juta pelancong, iaitu 80 peratus pelancong tempatan dan 20 peratus pelancong antarabangsa dengan hasil pendapatan RM5 bilion.

Katanya, pelaksanaan TMS 2020 juga adalah sebahagian usaha menyokong hasrat Kerajaan Negeri bagi memperkenalkan eko pelancongan setiap daerah, di Selangor.

“Kita sudah merangka promosi ini sejak 2018 dan matlamat kita satu sahaja iaitu membawa Sepang ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhammad Hafiz Shaari, Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Awaluddin Zakaria dan Ahli Majlis.

Seramai 50 peserta yang terbabit turut akan menjelajah ke 10 lokasi Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negara, termasuk Majlis Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Kota Bharu.