Categories
BERITA UTAMA

PM: Sekatan kuasa besar sakiti negara kecil

PHNOM PENH, 3 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahahtir Mohamad hari ini menyelar beberapa kuasa besar dunia kerana mengenakan sekatan terhadap negara-negara kecil di rantau ini.

Beliau berkata, sekatan itu bukan hanya menyakiti negara terbabit malahan negara lain juga tanpa sebarang sebab.

“Kita tiada perbalahan dengan negara ini tetapi kita berhenti menjalankan perniagaan dengan negara berkenaan kerana sekatan itu. Ini sangat tidak adil.

“Sebagai negara kecil, kita tidak boleh melakukan sekatan terhadap sesiapa namun kuasa besarlah yang mengenakan sekatan dan ini menyekat kebebasan negara-negara kecil.

“Walaupun mereka terus bercakap tentang hak asasi manusia, mereka menyekat kebebasan kita untuk berdagang dengan rakan niaga kita sendiri,” katanya pada sidang akhbar bersama di Pejabat Perdana Menteri, Istana Keamanan di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau akan membawa isu ini ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bnagsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang akan diadakan pada 17 hingga 30 September ini.

“Ini merupakan platform berbaik bagi kita untuk menyuarakan isu ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja bermula Isnin mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya, Hun Sen.

Dr Mahathir berkata, Malaysia dan Kemboja bersetuju agar lautan di rantau ini harus bebas untuk pelayaran tanpa sekatan.

“Sekatan akan hanya menjejaskan pembangunan negara yang mempunyai sempadan di laut,” katanya.

Mengenai penyertaan Timor Leste dalam ASEAN, Dr Mahathir berkata “kita akan cuba memastikan Timor Leste menjadi salah satu negara anggota ASEAN dalam mesyuarat pertubuhan itu yang akan datang

“Timor Leste telah memohon untuk menyertai ASEAN sejak sekian lama dan ia sepatutnya menjadi ahli ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Hun Sen berkata, Malaysia dan Kemboja komited untuk menyegerakan kesepakatan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dalam tahun ini kerana ia adalah penting untuk integrasi dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Beliau berkata, Malaysia dan Kemboja komited untuk terus meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama dalam rangka kerja dua hala dan pelbagai hala untuk memenuhi kepentingan rakyat kedua-dua negara demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia.

“Kita mengakui keperluan untuk menggalakkan latihan dan perkongsian maklumat dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara dan mengalu-alukan perbincangan antara kedua-dua kementerian pertahanan dalam mempromosikan kerjasama ini.

“Kita menggalakkan institusi yang relevan di kedua-dua negara untuk mempercepat cadangan dalam memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam memerangi pemerdagangan orang,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dan Hun Sen menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali (DTA) dan Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang Pelancongan.

Perjanjian dan MoU itu ditandatangani oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kemboja, Aun Pornmoniroth dan Menteri Pelancongan Kemboja, Dr Thong Khon.

Perdagangan Malaysia-Kemboja pada tahun lepas berjumlah AS$558 juta (RM2.35 bilion) manakala enam bulan pertama tahun ini, nilai itu mencecah AS$422.6 juta (RM1.78 bilion), peningkatan sebanyak 39.2 peratus berbanding tempoh yang sama lepas tahun.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 400 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja termasuk dalam sektor perbankan, perhotelan, telekomunikasi dan petroleum.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia teliti kerjasama pertahanan dengan Turki

ISTANBUL, 27 JUL: Malaysia sedang mengkaji kerjasama dalam industri pertahanan dengan Turki dalam usaha ke arah menghasilkan produk ketenteraan sendiri, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, usaha seperti itu bagaimanapun memakan masa kerana ia memerlukan wang yang banyak.

“Tak banyak negara sanggup pindahkan teknologi kepada kita tetapi Turki berjanji akan beri segala yang kita nak. Dari segi teknologi pembuatan dan sebagainya Turki bersedia untuk beri kerjasama,” katanya pada majlis bersama diaspora Malaysia di sini Jumaat.

Dr Mahathir kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Turki sejak Rabu.

Dr Mahathir berkata, kerjasama seperti itu dalam aspek pertahanan adalah perlu, tetapi akhirnya negara perlu mendapat teknologi berkenaan.

“Kita negara merdeka tetapi untuk pertahankan kemerdekaan kita perlu dapat senjata daripada orang lain. Kalau orang asing tak bagi senjata itu, kita tak dapat pertahankan kemerdekaan kita. Bukanlah kita nak berperang sangat, tapi mesti ada kebolehan pertahankan negara kita.

“Kalau bergantung dengan orang lain (untuk pertahanan) ini bermakna kita tidak merdeka sepenuhnya lagi,” katanya.

Katanya, untuk membina sendiri pesawat, ia memerlukan teknologi dan tidak boleh dibuat sekali gus.

“Satu daripada pendekatan ialah dengan berkongsi daripada pihak lain. Sewaktu mengadakan kereta nasional kita adakan kerjasama dengan Jepun. Hari ini kita tak lagi bergantung kepada Jepun kerana ada kecekapan buat kereta sendiri,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM persoal himpunan umat Islam untuk agama atau parti politik

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan perhimpunan umat Islam di ibu negara Sabtu lalu bertujuan mempertahankan kedaulatan Islam dan Perlembagaan atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti politik tertentu.

“Saya mengalu-alukan perhimpunan umat Islam yang bertujuan mempertahan kedaulatan Islam dan Perlembagaan. Saya sokong penuh tujuan-tujuan tersebut.

“Tetapi saya tertanya-tanya sama ada benar tujuan mendaulat Islam atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu,” kata perdana menteri dalam blog beliau chedet.cc yang bertajuk ‘Mendaulatkan Islam’, malam tadi.

Beliau berkata majlis itu dilaporkan media sebagai perhimpunan untuk memperingati kerajaan akan kedudukan agama Islam tetapi yang memimpin dan berucap ialah pemimpin parti politik UMNO dan PAS.

“Jika ia bertujuan mendaulat Islam, sepatutnya ia tidak terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Gandingan parti-parti ini tidak mencerminkan solidariti orang Islam. Bahkan ia mengasing dan memisah umat Islam di Malaysia,”katanya.

Perdana Menteri berkata PAS sejak awal lagi mendakwa orang parti UMNO adalah kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir dan “dakwaan ini masih tidak dibatalkan.”

“Bahkan Amanat Hadi yang mendakwa kerajaan UMNO adalah kafir dan kematian pejuang melawan kerajaan UMNO, jika meninggal adalah syahid,” dan dakwaan PAS dan Amanat Hadi ini memecah belah orang Melayu buat kali pertama,” katanya.

Beliau berkata orang Melayu semuanya beragama Islam dan termasuk golongan Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) pimpinan Imam Shafie.

“ Tidak ada kelainan pendapat atau fahaman mereka berkenaan agama Islam sejak dahulu kala lagi. Mereka berpecah dengan mendalam dan teruk hanya apabila PAS ditubuh dan mendakwa orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir,” katanya.

Beliau berkata begitulah taksubnya orang PAS terhadap dakwaan ini sehingga ada yang anggap ibu bapa mereka yang menyertai UMNO sebagai kafir, dan mendakwa perkahwinan orang UMNO tidak sah dan perlu dikahwin semula, malah sembelihan orang UMNO haram dan tidak boleh dimakan oleh orang PAS dan bermacam lagi.

Dr Mahathir berkata sehingga sekarang PAS tidak pernah batalkan dakwaan UMNO kafir dan Amanat Hadi.

“Bagi PAS, orang yang tidak sertai PAS adalah kafir. Mengikut PAS hanya ahli PAS sahaja Islam. Sudah tentu orang Islam yang mencari suaka di negara bukan Islam sudah jadi kafir,” katanya.

Beliau turut bertanya “bagaimanakah PAS bersama UMNO berhak dakwa perhimpunan mereka menggambar solidariti orang Islam untuk kedaulatan Islam.”

“Ada pula orang yang berjawatan, yang membisu seribu bahasa berkenaan dakwaan PAS dan Amanat Hadi. Apakah mereka terima kesahihan dakwaan PAS dan Amanat Hadi,” katanya.

Beliau berkata ada orang Islam yang kononnya ingin mengamal ajaran Islam, tetapi tumpuan mereka adalah kepada perkara yang kecil yang mempunyai unsur politik dan “sebaliknya larangan keras agama Islam tidak mendapat teguran dari mereka.”

“Sekarang kita sudah dapati orang Islam Malaysia yang menyertai peperangan sesama orang Islam. Mereka sanggup membunuh orang Islam, sesuatu yang dilarang oleh agama Islam. Tidak ada gerakan oleh orang Islam yang ingin mendaulatkan Islam ini yang berhujah berkenaan dosanya membunuh, terutama membunuh orang Islam,” katanya.

Beliau berkata orang Islam adalah bersaudara, tetapi ini telah “dihapuskan dengan penubuhan PAS yang memperalatkan Islam secara salah untuk hancurkan persaudaraan antara orang Melayu Islam yang wujud sebelum PAS ditubuh.”

“Yang lebih buruk lagi ialah melaungkan nama Allah semasa himpunan untuk memperkuatkan politik pecah belah oleh parti. Nama Allah diguna untuk menghalalkan penolakan ajaran Islam bahawa mengkafir orang Islam tanpa sebab yang nyata. Membuat dosa dengan melaku amalan yang dilarang oleh agama tidak sepatutnya disusuli dengan menyebut nama Allah,” katanya..

Dr Mahathir berkata Islam melarang mencuri, tetapi PAS berunding dan bekerjasama dengan pemerintahan sebelum ini yang terkenal dalam dunia sebagai pemerintahan pencuri.

Foto BERNAMA

“Sekarang PAS terus berganding bahu dengan orang yang ditolak oleh masyarakat kerana mencuri,” katanya.

Dr Mahathir berkata ramai orang Melayu kerap menuduh kerajaan ini tidak mendaulatkan Islam, sebaliknya rombongan demi rombongan orang Islam yang datang dari negara-negara Islam lain mendakwa Malaysia adalah contoh negara Islam, dan memandang tinggi kepada Malaysia sebagai negara Islam.

Mereka nyatakan keinginan melihat negara mereka menjadi seperti Malaysia,” malah mengatakan penduduk negara mereka yang seratus peratus Islam tidak dapat mentadbir dan menstabilkan negara mereka, jauh sekali dari membangunkan negara mereka,” katanya.

Beliau berkata negara yang rakyatnya seratus peratus Islam ini kerap kali bermusuh sesama mereka, membunuh dan berperang hingga huru hara, dan terpaksa berhijrah ke negara bukan Islam.

“Kelainan suku kaum, kelainan fahaman ajaran Islam, kelainan politik, kelainan pemimpin menghalang keamamanan. Kerap kali mereka terpaksa akur dengan kehendak kuasa besar yang bukan Islam. Ada juga yang dipengaruhi oleh Yahudi, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata orang Islam di negara-negara ini sering kagum dengan Islam di Malaysia, malah tidak mendakwa bahawa Islam tidak didaulat di Malaysia, dan yang menuduh hanya orang Islam di Malaysia sahaja.

“Sesungguhnya tuduhan yang dilempar terhadap kerajaan bukan kerana tidak mendaulat Islam, tetapi semata-mata kerana politik. Dalam usaha ini agama Islam yang suci menjadi buruk kerana kepentingan bukan agama.

“Sekali lagi saya ingin bertanya kepada Haji Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan PAS sama ada mereka masih nafikan Islam saya dan orang yang bukan menjadi ahli atau penyokong PAS,” katanya.

-BERNAMA