Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir umum pakej rangsangan ekonomi hari ini

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dijadual diumumkan hari ini akan menjadi acara rasmi pertama bagi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Pakej rangsangan itu akan diumumkan di Putrajaya pada 4 petang.

Keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan seawal Januari bagi mengurangkan impak negatif daripada penularan Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia selain memelihara kebajikan rakyat.

Antara lainnya, ia dijangka menumpukan kepada penggunaan, pelaburan dan sektor pelancongan selain merangsang ekonomi dan perjalanan domestik, yang terjejas akibat penularan wabak itu.

Kementerian Kewangan pada Selasa menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan Dr Mahathir atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri interim.

Pada Isnin, Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menerima peletakan jawatan itu, kemudian melantik semula Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.

Atas nasihat Dr Mahathir, Seri Paduka juga menarik balik pelantikan semua menteri.

Dalam satu kenyataan tiga perenggan, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata semasa tempoh interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga pelantikan perdana menteri baharu dan pembentukan Kabinet baharu.

Malaysia bukan satu-satunya negara ASEAN yang merancang pakej rangsangan untuk menangani kebimbangan Covid-19. Kementerian Kewangan Thailand juga akan mencadangkan pakej rangsangan ekonomi baharu kepada kabinet pada pertengahan Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir, Imran Khan bertemu di Putrajaya

PUTRAJAYA, 4 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengadakan pertemuan di Perdana Putra di sini hari ini bagi membincangkan kerjasama dua hala sedia ada antara Malaysia dan Pakistan.

Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.

Imran Khan tiba di Malaysia malam tadi untuk lawatan kerja dua hari.

Ini merupakan lawatan kerja kali kedua bekas bintang kriket itu ke Malaysia sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018.

Lawatan pertamanya pada November 2018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Keadaan di Malaysia tidak kritikal

KLANG, 26 JAN: Keadaan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia belum lagi sampai di peringkat kritikal, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Buat masa sekarang ia belum lagi kritikal hingga kita perlu menghalang pelancong, contohnya. Kita perlu menilai bila peringkatnya kritikal. Namun kita akan terus melakukan pemeriksaan ke atas pelancong, apabila terdapat beberapa petunjuk yang mungkin telah dijangkiti,” katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan negara mengambil beberapa langkah kerana ia sesuatu yang amat serius memandangkan kita tidak mengenali penyakit ini sebelum ini.

“Bagaimanapun, manifestasi penyakit ini agak sukar dikesan. Ini persoalannya apabila orang ramai boleh bergerak dan pergi ke mana-mana dengan amat pantas. Sebelum anda boleh mengesan seseorang itu sakit, dia telahpun sampai ke destinasinya, jadi kita terpaksa menerima bahawa satu kawalan sepenuhnya adalah suatu yang mustahil,” katanya.

Rumah terbuka itu dihoskan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Klang (KCCCI) yang turut dihadiri oleh beberapa menteri kabinet.

Mahathir berkata, setakad ini kerajaan belum ada rancangan untuk menghalang pelancong dari Wuhan, China daripada memasuki negara ini.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk kuarantin semua pelancong China dan negara lain yang dijangkiti sejurus memasuki negara ini, Dr Mahathir berkata tindakan itu tidak sesuai dilaksanakan memandangkan jumlah pelancong negara berkenaan yang memasuki negara ini meningkat sehingga dua juta orang.

“Pelancong dari China kadang-kadang meningkat sehingga dua juta. Kita nak simpan dia di mana? Jadi yang mana ada simptom, ada sikit sign pun kita kuarantin mereka. Anda boleh hantar pulang mereka ke China tetapi dalam proses menghantar mereka pulang, mereka akan bersentuhan dengan orang lain. Adalah lebih baik mereka dikuarantin terlebih dahulu sehingga mereka menunjukkan tiada tanda, barulah kita hantar mereka pulang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, adalah lebih mudah jika seseorang yang telahpun mempunyai penyakit lain untuk dijangkiti dengan virus baharu ini, itulah sebabnya kerajaan perlu bekerja di luar sistem yang mana kita boleh mengasingkan mereka dengan cepat pada masa hadapan.

“Kita juga tidak pasti mengenai rawatan. Jadi buat masa sekarang ia melibatkan pencegahan dan bukan rawatan… dan pencegahan melibatkan memakai topeng mulut dan hidung dan jauhi tempat ramai orang, yang disyaki mempunyai penyakit itu,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di China dan negara yang turut dijangkiti virus berkenaan untuk mengambil langkah sewajarnya dengan menggunakan topeng mulut dan hidung bagi mengelakkan jangkitan.

“Mereka akan diperiksa untuk menentukan mereka tidak dijangkiti oleh virus ini sebelum mereka balik ke tanah air,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan China mengambil tindakan tegas dengan mengasingkan mereka yang dijangkiti oleh penyakit itu yang bermula di Wuhan dan menghalang mereka daripada bergerak keluar.

“Kerajaan China juga telah mengenakan kuarantin kepada seluruh 11 juta penduduk (di Wuhan), ini satu tindakan drastik dan ia menunjukkan ketegasan kerajaan China bagi mengawal penyakit itu,” katanya.

Setakat ini, empat disahkan kes Koronavirus yang dikesan di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kejayaan TNB kerana berani melawan arus – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Kejayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih pelbagai pengiktirafan adalah kerana berani melakukan perubahan walaupun dianggap melawan arus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu meletakkan TNB sebagai satu daripada “success story” dasar dan program penswastaan yang diperkenalkan sebelum ini.

“Bank Dunia dalam laporannya – Doing Business 2020 – menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga ke-4 bagi urusan mendapatkan elektrik. Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara/ekonomi dan pencapaian kita adalah satu lonjakan besar berbanding pertama kali dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011, yang mana kita berada di tangga ke-60.

“… dan kejayaan ini telah secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan yang lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur di ibu pejabat TNB di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dr Mahathir berkata melalui Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1983, TNB yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) adalah antara agensi kerajaan yang telah disenaraikan untuk melalui proses penswastaan.

“Antara objektif utama penswastaan adalah mengurang beban kewangan kerajaan. Pada masa yang sama ia diyakini akan membawa banyak faedah kepada organisasi itu sendiri, termasuklah kakitangannya.

“Hasil penswastaan LLN, lebih 20,000 kakitangan ketika itu menjadi pemegang saham, menikmati gaji dan struktur gaji yang lebih baik serta pelbagai faedah termasuk bonus dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah penswastaan TNB telah membawa banyak manfaat kepada rakyat negara ini termasuk perkhidmatannya bertambah baik dan produktiviti meningkat hasil sistem imbuhan berdasarkan prestasi.

Selain itu, katanya, lebih 60 peratus saham TNB dipegang oleh pelbagai Syarikat-Syarikat Pelabur Berkaitan Kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan-badan berkenaan.

Bayaran dividen bukan sahaja dinikmati oleh para pelabur, tetapi juga rakyat biasa yang mendapat faedah melalui caruman dan simpanan masing-masing.

“Kita merenung kembali perubahan dan pencapaian TNB sejak penswastaan supaya kita sedar bahawa kejayaan pada hari ini adalah hasil usaha dan perancangan lampau,” katanya dan menambah kata TNB sudah tiga kali merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada World Branding Awards dengan terbaru bagi tahun 2019.

Beliau kemudian mengucapkan tahniah kepada TNB dan warganya serta merakamkan penghargaan atas usaha syarikat itu yang terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM tidak pernah mimpi lihat Putrajaya berusia 25 tahun

PUTRAJAYA, 1 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah bermimpi untuk menyaksikan Putrajaya mencecah usia 25 tahun pada 2020, selepas melancarkan pusat pentadbiran Persekutuan itu pada 29 Ogos 1995.

Berucap pada majlis pelancaran sambutan Jubli Perak Putrajaya dan majlis penutup Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 pada ambang tahun baharu 2020 malam tadi, Dr Mahathir berkata hasil kerjasama, perpaduan dan keamanan yang dikecapi, Putrajaya kini membangun sebagai sebuah ibu kota pentadbiran yang gilang-gemilang.

“Saya amat gembira kerana dapat juga melihat Putrajaya ini berumur 25 tahun. Sayangilah Putrajaya dan sayangilah Malaysia negara kita bersama,” kata perdana menteri yang berusia 94 tahun itu.

Pada majlis itu, Dr Mahathir menyempurnakan gimik pelancaran sambutan Jubli Perak Putrajaya dengan meletakkan tangan di ‘launching pad’ diikuti dengan pelancaran logo rasmi sambutan itu disertai percikan bunga api dari Istana Kehakiman.

Persembahan bunga api diadakan sempena perasmian sambutan Jubli Perak Putrajaya oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Putrajaya pada 31 Disember 2019. Foto BERNAMA

Logo sambutan jubli perak Putrajaya itu hasil ciptaan Mohd Zaidi Abdullah dari Cyberjaya yang memenangi pertandingan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang telah menerima 62 penyertaan.

Sementara itu, Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika ditemui Bernama berkata Putrajaya akan menjadi tuan rumah kepada lebih 200 acara peringkat kebangsaan dan bertaraf antarabangsa sepanjang 2020.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 30 peratus acara berteraskan kepada sambutan jubli perak Putrajaya, dengan kemuncak sambutan diadakan pada Ogos.

Beliau berkata sembilan acara menarik dirancang pada Ogos, dengan acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-25 akan diadakan pada 29 Ogos.

Pada 29 Ogos itu, Dr Mahathir akan mengeluarkan dan membuka kapsul masa yang ditanamnya sendiri di Taman Putra Perdana, Presint 1 ketika beliau melancarkan Putrajaya pada 29 Ogos 1995, semasa menjadi Perdana Menteri keempat, katanya.

“Kapsul masa itu antara lain mengandungi beberapa dokumen penting tentang sejarah dan perkembangan Putrajaya termasuk dokumen berkenaan Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536] tentang penubuhan Putrajaya,” katanya.

Pada sebelah malamnya pula, sambutan diteruskan dengan persembahan orkestra dan pertunjukan bunga api di tepi tasik di Putrajaya.

Difahamkan, pada 29 Ogos itu juga kapsul masa baharu akan ditanam untuk dibuka semula pada sambutan jubli emas Putrajaya.

Dr Mahathir kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Pakatan Harapan pimpinannya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Aminuddin berkata Putrajaya menerima purata antara lima dan enam juta pengunjung setiap tahun, antara lain kerana tarikan seni bina bangunan dan infrastruktur wilayah itu yang unik.

Putrajaya juga memiliki 13 taman hijau bertaraf dunia serta tasik buatan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu daripada warisan dunia iaitu ‘World Eco-hydrological Site’ yang telah menjadi perhatian dunia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Emir Qatar berminat Sidang Kemuncak KL

DOHA, 13 DIS: Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani amat berminat dengan hasrat Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bakal berlangsung minggu depan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu dinyatakan ketika beliau menghadap dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar di Amiri Diwan pada Khamis.

Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.

“Pada pertemuan dengan Emir Qatar, kebanyakan perbincangan tertumpu kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

“Saya fikir Emir akan datang (ke sidang kemuncak itu), dan memberi banyak sumbangan (idea) melihat kepada cara baginda mentadbir Qatar lebih menumpukan soal pelajaran,” katanya kepada media Malaysia selepas Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia di Qatar, di sini, malam tadi.

Sidang kemuncak bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 18 hingga 21 Disember itu antara lain bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu serta yang boleh digunakan untuk masalah menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara Islam.

Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula peradaban Islam.

Dr Mahathir ialah pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Selain Emir Qatar, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, dijangka menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Ditanya mengenai mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri Qatar semalam (Khamis), Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara ini bermula Rabu (11 Disember), berkata pemain industri terkemuka Qatar berminat untuk melabur di Malaysia.

“Mereka juga mahu rakyat Malaysia datang ke sini untuk melabur dan menjalin perkongsian dengan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut tertarik dengan cara Qatar mengatasi masalah setelah dikenakan sekatan ekonomi oleh beberapa negara sejak 2017, antaranya dengan menceburi sektor ternakan lembu bagi menghasilkan susu sedangkan negara berkenaan tidak mempunyai padang rumput yang banyak.

Beliau berkata pentadbiran Qatar juga mengutamakan bidang pendidikan untuk rakyat mereka, antaranya dengan mempelawa banyak universiti terkemuka dunia untuk membuka cawangan di negaranya.

“Ini satu usaha yang akan menjadikan rakyat Qatar lebih berpelajaran daripada kebanyakan negara Islam lain. Pada masa sama, mereka juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium untuk mengajar selain bagi pendidikan agama dan beberapa bidang lain,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kejayaan Le Tour de Langkawi melangkaui jangkaan

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Acara perlumbaan berbasikal tertua Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) melangkaui jangkaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam setiap aspek dan berjaya mencatatkan banyak peristiwa bersejarah sepanjang penganjurannya.

Dr Mahathir berkata penganjuran acara berkenaan selama ini berjaya memenuhi objektif asal pengenalannya, yakni bagi menampilkan Malaysia dan Langkawi sebagai satu destinasi pelancongan menarik di samping menjadi sebuah hub sukan yang hebat.

Katanya dengan tahap penganjuran yang setanding dengan lain-lain acara perlumbaan berbasikal di negara-negara Eropah, LTdL selama ini berjaya menarik kehadiran ramai pelumba terbaik dan pasukan Jelajah Dunia serta Pro Continental.

“Sejak pengenalannya 24 tahun lepas, 232 peringkat LTdL dianjurkan di Malaysia. Hasilnya, kini bukan hanya Malaysia dan Langkawi berdiri teguh di atas peta dunia sebagai salah satu destinasi yang ‘perlu’ dikunjungi, malah lain-lain daerah dalam negara yang dilalui oleh para pelumba ini turut mendapat manfaatnya.

“Dunia kini melihat panorama kawasan pinggir bandar dan desa di Malaysia, sama seperti tempat-tempat yang perlu dikunjungi di bandar dan kota,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Petronas LTdL di sini malam tadi.

Perdana Menteri seterusnya mengumumkan bahawa LTdL akan kembali ke Sabah dan Sarawak, selepas kali terakhir ia sampai ke negeri berkenaan pada 1997.

Katanya selepas sejak sekian lama, perlumbaan di Sabah dan Sarawak akan menambah lagi ‘keindahan’ dalam perlumbaan itu, apabila ia melalui kawasan yang memiliki landskap serta penduduk yang unik lagi menarik, di samping membangkitkan suasana ‘pengembaraan’ buat pelumba.

Dr Mahathir berkata selain menyaksikan juara dunia akan datang muncul dari LTdL, acara ikonik itu telah menyumbang kepada kelahiran juara bertaraf dunia seperti Anuar Manan, yang menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi satu peringkat, dan memperoleh jersi hijau (Raja Pecut) pada 2010.

“Tahun ini kita juga menyaksikan kehebatan yang sama diulangi oleh Mohd Harrif Salleh, pelumba dari pasukan Terengganu Incorporated Cycling (TSG), pasukan Continental ranking tertinggi Asia.

“Saya percaya kejayaan-kejayaan ini telah menjadi sebagai inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia. Acara berbasikal telah menjadi lebih popular kini di Malaysia.

“Dalam konteks ini saya ingin menggesa pihak penganjur agar merebut peluang daripada minat ramai terhadap LTdL ini, dengan mengambil inisiatif yang berkaitan bagi membangunkan sukan berbasikal sebagai sukan pilihan di kalangan belia,” katanya.

Perdana Menteri juga memuji pihak penganjur kerana memperkenalkan dua perlumbaan tambahan sebagai sebahagian daripada sambutan jubli perak dan usaha pembangunan pertandingan itu, yakni Criterium International dan Malaysia Classic – 2 new 1-Day races dalam kalendar UCI (Union Cycliste Internationale), yang akan membuat penampilan sulungnya tahun hadapan.

Perlumbaan Criterium International akan disasar bagi kategori pelumba Bawah-23 (U23) dengan lesen perlumbaan elit UCI, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai tempat untuk mengenali juara acara berbasikal akan datang, manakala Malaysia Classic yang dianggap sebagai “Perlumbaan Juara-juara ” akan menampilkan saingan juara-juara kebangsaan dari seluruh dunia.

“Sudah pasti ini akan menjadi satu-satunya pertandingan yang seumpamanya dipertandingkan buat pertama kali, belum pernah dianjurkan dimana-mana tempat sebelum ini.

“Saya percaya kedua-dua acara ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu kuasa besar dalam arena lumba berbasikal di Asia Tenggara dan memberikan publisiti antarabangsa yang lebih luas kepada negara, melangkaui LTdL,” katanya.

Dr Mahathir turut menyambut baik kehadiran kembali ‘Title Sponsor’, yakni PETRONAS Bhd, yang bukannya nama asing dalam arena sukan Malaysia.

“Terima kasih seikhlasnya kepada semua penganjur terhadap kemurahan hati mereka dan kita berharap kerjasama yang serupa akan diberikan kepada LTdL di masa akan datang,” katanya.

Perlumbaan acara berbasikal terbesar Asia yang dinaik taraf kepada Professional Series (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan itu dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Februari, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Penang serta Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM hadir makan malam gala rai hubungan diplomatik Malaysia-Hungary

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi menghadiri majlis makan malam gala meraikan ulang tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Hungary di sini.

Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Majlis itu anjuran Kedutaan Hungary di Malaysia yang dihoskan Duta Besar Attila Kali dan isteri, Dr Nora Kaline Szilagyi.
Kali dalam ucapannya menyoroti hubungan hebat yang dikongsi kedua-dua negara sepanjang tempoh bersejarah itu.

“Kami percaya kerjasama antara Hungary dan Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini benar-benar menjadi perkongsian abad ke-21. Hubungan kami berjalan dengan baik,” katanya.

Turut menghadiri majlis itu delegasi perniagaan terdiri daripada 13 syarikat Hungary dari Dewan Perniagaan dan Industri Hungary yang berada di Malaysia dari 18 hingga 20 November.

Malaysia dan Hungary menjalin hubungan diplomatik pada 29 Disember 1969.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Undang-undang zalim akan dipinda secepat mungkin

PUTRAJAYA, 6 NOV: Kerajaan akan meminda undang-undang bersifat drakonian atau zalim termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) secepat mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pindaan undang-undang yang terlibat akan dibentang di Parlimen secepat mungkin sama ada pada sesi kali ini atau sesi akan datang.

“Walaupun mungkin kita tidak menghapuskan rang undang-undang ini sama sekali tetapi kita akan ada perubahan supaya bahagian-bahagian yang dikatakan drakonian seperti menangkap dan menyimpan dalam tahanan tanpa dihadapkan (di mahkamah), tanpa didakwa, ini akan kita pinda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini malam tadi.

“Itu akan dilakukan secepat mungkin kerana kita dapati bahawa kalau ia tidak dilakukan ada kemungkinan ia disalah guna,” katanya yang juga Pengerusi PAKATAN.

Ditanya sama ada pindaan undang-undang itu dilakukan susulan penahanan 12 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah SOSMA kerana dipercayai terbabit dalam LTTE, Dr Mahathir berkata pindaan tersebut merupakan sebahagian janji PAKATAN pada pilihan raya umum lalu.

“Kami telah membuat janji ini sebelum ini tetapi tertangguh kerana faktor tertentu, jadi kami kini merasakan kami harus segera mengambil tindakan sekiranya ia digunakan lagi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai janji untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata beliau tetap akan menunaikan janjinya.

“Saya berjanji, saya akan tunaikan janji saya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir nasihat calon SPM tenang hadapi peperiksaan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) supaya sentiasa tenang menghadapi cabaran peperiksaan.

Menerusi video yang dikongsi di Facebook rasmi beliau, Dr Mahathir berkata berharap semua pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM supaya menghadapi cabaran dengan tenang dan membuat persediaan yang cukup untuk mendapat keputusan yang sebaik mungkin.

“Untuk peperiksaan, kita perlu ulang balik segala yang kita dapat sepanjang tahun dan ulang berkali-kali bermakna kita tidak akan lupa tentang isi kandungan jawapan yang diperlukan.

“Saya berdoa semua penuntut akan lulus dengan baik dan saya harap mereka akan gembira selepas peperiksaan diumumkan (tamat),” kata Dr Mahathir.

Peperiksaan SPM fasa dua akan berlangsung bermula hari ini, hingga 28 November sementara peperiksaan STPM berlangsung semalam sehingga 13 November depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: ASEAN kumpulan serantau stabil dan berjaya

BANGKOK, 5 NOV: Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) berkembang dengan pesat selama ini untuk menjadi sebuah perkumpulan serantau yang cukup stabil di dunia hari ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ASEAN hari ini adalah sebuah perkumpulan serantau yang paling stabil dalam dunia, berbanding EU (Kesatuan Eropah), mereka sedang menghadapi masalah,” kata Perdana Menteri yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35.

Beliau berkata kejayaan pertubuhan itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan kepada keinginan banyak lagi negara lain untuk menyertai perkumpulan itu, di samping berjaya meluaskan lagi bidang kerjasama dalam kalangan negara anggota.

“Secara keseluruhan, kita sudah melakukan yang terbaik. ASEAN berkembang pesat dengan lebih banyak bidang kerjasama ketika ini. Ramai yang berminat untuk menyertai kita…seperti Timor Leste, mereka berminat untuk menyertai kita, saya rasa kita perlu menerima mereka, namun ada beberapa anggota masih tidak selesa,” katanya dalam satu persidangan media bersama media Malaysia di sini.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dengan hanya lima negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura serta Thailand, dan kini dengan 10 negara anggota, ia berjaya menjalin kerjasama dan perkongsian erat dengan enam negara di rantau Asia Pasifik, yakni China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, sehingga dikenali sebagai ASEAN +6.

Dr Mahathir berkata perkumpulan serantau itu juga sedang meraih hasil daripada wawasan serta kerjasama erat mereka, termasuk diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur, dan beliau menambah kini Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) juga sudah menjadi realiti.

“Orang ramai kini merujuk ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) sebagai komuniti Asia Timur. Jadi kami (ASEAN) akhirnya berjaya diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur,” katanya.

Idea penubuhan zon perdagangan bebas serantau EAEC bagi ASEAN +3 dicetuskan oleh Dr Mahathir pada 1997 sebagai reaksi kepada integrasi ke dalam Kerjasa Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dr Mahathir, 94, kembali sebagai Perdana Menteri selepas memimpin Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lalu, dan kali pertama beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri adalah selama 22 tahun, sebelum bersara pada Oktober 2003.

“Kali ini, saya menghadiri sidang kemuncak ini buat kali kedua sejak tahun lepas. Sidang Kemuncak ASEAN kini mempunyai ramai pemimpin baharu. Disebabkan demokrasi, rakyat boleh menukar pemimpin. Bukan seperti sebelum ini di mana pemimpin yang hadir seringkali orang yang sama,” katanya.

Beliau seterusnya menggambarkan sidang kemuncak ini berserta persidangan yang berkaitan dengan tema “Memperkukuh Kerjasama bagi Kelestarian”; sebagai suatu kejayaan, dan menambah pada dasarnya semua mesyuarat berjalan dengan lancar.

Sidang Kemuncak yang berlangsung di Pusat Pameran IMPACT Convention and Exhibition di sini berakhir hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan akan diadakan di Vietnam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Sekat negara lain bertentangan undang-undang

BANGKOK, 4 NOV: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan negara tertentu mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara lain, dengan menyatakan langkah itu bertentangan undang-undang.

Beliau berkata mengenakan sekatan tidak sahaja menjejas negara terlibat tetapi juga memberi impak negatif kepada negara lain yang berdagang dengan negara yang menghadapi sekatan.

“Bila kamu kenakan sekatan, ia menentang undang-undang. Tidak ada peruntukan di PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) bila sesebuah negara tidak puas hati dengan negara lain, ia boleh mengenakan sekatan ke atas negara itu dan juga negara lain yang berdagang dengan negara yang disekat.” katanya kepada media Malaysia di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini.

Dr Mahathir berkata walaupun isu sekatan tidak disebut pada sidang kemuncak itu, ia juga menjejas negara lain.

“Malaysia kini dikenakan sekatan, kerana kita tidak boleh berdagang dengan rakan perdagangan kita yang besar, Iran. Negara lain juga menerima layanan serupa.

“Jadi di bawah undang-undang apa? Mereka banyak bercakap mengenai kedaulatan undang-undang; banyak bercakap mengenai perdagangan berpandukan peraturan tetapi orang yang bercakap mengenai perkara itu atau mencipta idea tersebut, jugalah yang tidak mematuhi prinsip mereka sendiri,” katanya.

Walaupun Dr Mahathir tidak menyebut negara yang mengenakan sekatan ekonomi, Amerika Syarikat telah melaksanakan sekatan ekonomi dan perdagangan terhadap Iran ekoran program nuklearnya.

Awal minggu ini, perdana menteri berkata Malaysia didesak oleh pihak tertentu agar menutup akaun bank individu dan syarikat Iran di Malaysia berikutan sekatan ke atas Iran itu.

Dr Mahathir juga berkata isu perang dagang AS-China telah dibincangkan pada sidang kemuncak itu, dengan pemimpin itu melahirkan pandangan berat mereka terhadap perbalahan yang tidak ada tanda akan berakhir.

“Ya. Mereka semua berpendapat ini mengganggu pertumbuhan perdagangan dan ekonomi mereka.

“Mereka mahukan sebuah dunia yang aman di mana mereka boleh berdagang dengan negara lain,” katanya dan menambah China sendiri mahu menamatkan isu itu.

Perdana menteri berkata perang dagang boleh berlarutan selama sekurang-kurangnya lima tahun lagi jika Presiden AS Donald Trump dipilih semula tahun depan.

Semalam, Dr Mahathir menyertai tiga sidang kemuncak, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-16 dan Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-10.

Menyentuh mesyuarat kumpulan dengan India, Dr Mahathir berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk terus mempertingkat kerjasama termasuk interaksi bilateral, perdagangan dan pelancongan.

“(Dengan) India, pada asasnya tidak ada masalah. India positif dalam isu-isu itu dan saya harap ini akan diterjemah (kepada tindakan) oleh India dan ASEAN,” katanya.

Berhubung mesyuarat dengan delegasi PBB diketuai oleh setiausaha agungnya António Guterres, perdana menteri berkata beliau sekali lagi menonjolkan isu kuasa veto badan dunia itu.

Beliau berkata di mesyuarat itu, buat pertama kalinya, Guterres turut bersetuju dengannya berhubung keperluan menangani dan mengambil tindakan terhadap ancaman keganasan dengan melihat pada punca sebenar.

Guterres juga menyentuh isu perubahan iklim dan kesannya di rantau ini, terutama kenaikan paras laut yang mengakibatkan beberapa pulau hapus.

Sidang kemuncak tiga hari itu berakhir hari ini.

-BERNAMA