Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Tun Salahuddin

SHAH ALAM, 29 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan takziah kepada waris bekas Yang Dipertua Sarawak, yang meninggal dunia semalam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut bersedih atas pemergian Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akibat sakit tua.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, Baginda mengenali rapat Allahyarham khasnya ketika Tun Salahuddin berkhidmat sebagai yang dipertua hingga 2014 demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Baginda berdua berharap waris Allahyarham tabah menghadapi dugaan ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” tulisnya.

Tun Salahuddin, 100, individu pertama berkhidmat sebagai yang dipertua negeri sebanyak dua kali meninggal dunia 11.47 malam, di Pusat Perubatan Normah, Kuching, Sarawak akibat sakit tua.

Lahir pada 27 Ogos 1921, beliau menjadi Yang Dipertua Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula menjawat jawatan itu pada 2001 hingga 2014.