Categories
NASIONAL

Kajian PRU-13: Sokongan BN Di Sabah Sarawak Dijangka Semakin Kendur

BN PRU-13 bom 01

PETALING JAYA, 22 MAC: Ketika sokongan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap Pakatan Rakyat (PR) terus meningkat, sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) yang bakal berlangsung tahun ini dijangka terus menyusut.

Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan fenomena angin perubahan yang semakin kuat melanda dua negeri kepulauan Borneo itu dan statistik keputusan pilihan raya sebelumnya.

Menurut Ketua Jabatan Politik dan Kajian Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Faisal Hazis, undi popular BN dan PR semakin menurun di kalangan suku kaum Sabah dan Sarawak sejak pilihanraya 2004.

Kajian oleh Dr Faizal mendapati undi popular yang diperolehi BN di Sabah menurun dari 64.9 peratus dalam pilihan raya 2004 kepada 61.72 peratus dalam pilihan raya 2008.

Penurunan paling ketara sekali berlaku di kerusi yang didominasi pengundi Cina dari 54.37 peratus pada 2004 kepada 35.62 peratus pada 2008.

“Di Sabah faktor projek IC, pendatang haram, autonomi Kerajaan Negeri, penyalahgunaan kuasa golongan elit BN khususnya Datuk Seri Musa Aman akan memainkan peranan.

“Pakej startegi pembangkang dengan kempen mereka juga memberi kesan terutama Agenda Borneo, ‘Borneo Tea Party’ dan ‘Ini Kalilah’ yang semakin mendapat sambutan cukup baik dari masyarakat Sabah,” ujar Dr Faisal.

Beliau berkata demikian dalam pembentangannya di dalam ‘Forum Pra PRU-13: Siapa Akan Menang?’ yang diadakan di Hotel Singgahsana di sini malam tadi.

Di Sarawak pula, BN turut mengalami penurunan sokongan apabila memperoleh 55.4 peratus undi popular pada pilihanraya negeri 2011 berbanding 62.2 peratus pada 2008.

Kerusi yang didominasi kaum Iban menunjukkan penurunan sokongan paling ketara dari 71.7 peratus kepada 57.6 peratus, diikuti Bidayuh 70.8 peratus kepada 57.8 peratus,.

Undi popular komuniti Cina turun dari 50.7 peratus kepada 37.8 peratus dan Melayu-Melanau dari 77.2 peratus kepada 73.4 peratus.
Isu semasa yang dianggap mampu memberi ancaman kepada Umno-BN di Sarawak termasuk memonopoli ekonomi negeri oleh golongan ahli politik elit dan kedudukan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) yang begitu dominan.

Isu lain termasuk tanah adat, kalimah Allah, manakala komposisi antara pengundi bukan muslim bumiputra dengan Cina yang agak seimbang juga akan mempengaruhi corak pengundian.

Selain itu kempen ‘Ubah’ PR juga dikatakan mendapat sambutan baik dari masyarakat Sarawak.

Dr Faisal berkata selain mempertahankan 83 kerusi yang dimenangi di Semenanjung Malaysia pada 2008, PR haruslah sekurang-kurangnya memenangi 5 kerusi di Sarawak, 4 di Sabah dan 20 kerusi di Semenanjung jika ingin mentadbir negara.

Kombinasi ini akan memberikan kemenangan majoriti mudah 112 kerusi kepada PR daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen.