Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ustaz Don Daniyal dilantik Ikon Mahabbah Yide

SHAH ALAM, 10 APRIL: Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dilantik sebagai Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Pengerusinya berkata penceramah selebriti itu dilantik bagi memperkenalkan agensi berkenaan kepada masyarakat terutama membabitkan kerja kebajikan dilaksanakan sehingga kini.

“Kerjasama akan berlangsung selama setahun iaitu sehingga Februari 2022. Selain itu, Ustaz Don yang amat dikenali di seluruh negara akan turut membantu Yide membuat kutipan infak bagi membolehkan kita membantu lebih ramai golongan kurang mampu,” kata Dato’ Bakhtiar Hussin.

Beliau berkata demikian selepas program tautan ukhwah korporat dan sesi memperkenalkan Ikon Mahabbah Yide di Hotel Acapella di sini semalam.

Sementara itu, Don Daniyal berkata pelantikan sebagai ikon adalah satu tanggungjawab besar dan misi utama beliau adalah mendidik masyarakat untuk membantu lebih ramai anak yatim di negeri ini.

“Untuk makluman, sehingga kini terdapat 8,000 anak yatim bernaung di bawah Yide. Oleh itu, antara kaedah yang betul ialah memberi maklumat lebih tepat kepada orang ramai mengenai mereka, salah satunya melalui bacaan khutbah,” katanya.

Categories
SELANGOR

‘My Best Ramadhan’, Peluang Tingkat Amal Ibadah

my best ramadan sallehin 02

SHAH ALAM 10 JULAI : Karnival ibadah besar-besaran ?Kariah Ramadhan Perdana? akan diadakan Kerajaan Selangor bermula 11 Julai hingga ke 5 Ogos dengan pelbagai program Ihya’ Ramadhan.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, program ini dibuat sebagai nafas baru dengan tema “My Best Ramadhan”.

Katanya, karnival tersebut akan diadakan di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 Shah Alam dengan Majlis Tazkirah Ramadhan yang bermula jam 6.00 petang.

Turut diadakan adalah Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang akan diimamkan oleh Imam Hafiz dan bilal khas dan beberapa orang Imam daripada Syria.

Majlis berbuka dan moreh untuk 500 orang turut diadakan pada setiap malam.

Setiap hujung minggu pula akan diisi dengan Program Gamitan Syahdu Ramadhan yang memaparkan zikir munajat, selawat dan kuliah perdana oleh penceramah terkenal.

Turut diadakan Bazar Ramadhan Mega anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang juga menyediakan jualan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kombinasi kewujudan bazar tersebut mampu menarik minat seluruh warga penduduk Shah Alam untuk hadir ke tapak tersebut.

?Disamping memberi nilai promosi kepada program yang dijalankan,” kata beliau semasa sidang media di pejabatnya di sini.

Tambah Sallehen, Program Tazkirah Santai dan Iftar bersama belia di Dataran Kemerdekaan Shah Alam akan diadakan bermula 2 Ramadhan hingga 27 Ramadhan yang dimulai dengan program bersama Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

“Kita juga akan turun kepada warga industri dengan program tazkirah dan berbuka bersama-sama dengan solat secara berjemaah.

“Kita mahu memberikan kesedaran kepada warga industri untuk menghidupkan Ihya Ramadhan secara santai supaya menukar ‘mind set’ masyarakat bahawa hanya melakukan ibadah hanya di masjid,” kata beliau.