Categories
NASIONAL

Apa pula ‘rompakan’ Najib selepas ini?

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC : Satu demi satu pendedahan membabitkan skandal kewangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didedahkan media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ).

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pendedahan berkenaan memberi gambaran jelas lebih banyak lagi skandal dilakukan Najib.

“Dengan pendedahan terbaru ini, rakyat tentunya ingin tahu berapakah jumlah sebenarnya dan dalam bentuk apakah rompakan duit rakyat ini berlaku?

SHAMSUL ISKANDAR“Siapakah dan syarikat mana pula yang terlibat kali ini? Kita sudah dengan penglibatan syarikat SRC International, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sekarang apa pula?” katanya kepada SelangorKini.

Beliau mengulas pendedahan WSJ berkenaan deposit yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri berjumlah lebih daripada AS$1bilion.

Jumlah terbabit termasuklah deposit AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang kononnya didakwa Najib sebagai sumbangan politik.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya berasal dari 1MDB dan bukannya dari penderma Arab Saudi.

Pertikaian itu kata Shamsul yang juga Naib Presiden KEADILAN sekali gus menimbulkan keraguan berkenaan kenyataan Peguam Negara (AG) bahawa Perdana Menteri tidak terlibat dengan skandal kewangan.

“Kita cabar AG untuk tampil memberi pendirian ekoran dalam kes lalu kononnya tiada kes dan sekarang ada pula yang baru,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Wall Street Journal: BERSIH 2.0 & C4 buat laporan SPRM

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JUN: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) bersama Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) akan megemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan laporan The Wall Street Journal (WSJ).

Pegawai Media dan Komunikasi BERSIH 2.0, Izmil Amri Ismail, berkata laporan itu dibuat berikutan dakwaan berlakunya penyalahgunaan dana awam untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Laporan akan dibuat pada 29 Jun ini iaitu jam 2 petang, bertempat di Ibu Pejabat SPRM Blok D6, Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

bersih 3WSJ sebelum ini melaporkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara tidak langsung membiayai kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurut laporan bertarikh 19 Jun itu, 1MDB membantu secara tidak langsung kempen Najib melalui pembelian aset daripada Genting Group pada 2012 dengan harga lima kali lebih mahal berbanding nilai sebenarnya.

Genting didakwa menderma sebahagian pendapatan yang dikatakan hasil jualan itu kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia di bawah kawalan Najib dan kemudiannya mengumumkan beberapa projek amal ketika berkempen.

-NFN-