Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Kampung Tunku: Pembangkang Selangor ‘senyap-senyap’ guna peruntukan 2016

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Pembangkang di Selangor dinasihatkan supaya jujur menggunakan peruntukan yang disalurkan sebanyak RM200,000 untuk rakyat di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, hal itu kerana pembangkang mendakwa tidak mengetahui mengenai peruntukan terbabit sebaliknya menggunakan sebahagian peruntukan, tahun ini.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan terbabit digunakan untuk perbelanjaan pejabat tetapi tidak digunakan untuk kebajikan rakyat.

lau-weng-san“Mereka didapati menggunakan peruntukan RM6,000 sebulan untuk perbelanjaan pejabat masing-masing tetapi tidak untuk kebajikan.

“Mengikut makluman Dato’ Menteri Besar, hampir semua ADN pembangkang menggunakan peruntukan itu untuk tujuh hingga lapan bulan tahun ini,” katanya mengulas perbahasan Belanjawan Negeri 2017.

Weng San berkata, peruntukan kawasan kepada ADN itu dimulakan pada 2015, namun mereka secara terbuka menolak tawaran itu atas alasan ketidakadilan kerana ADN kerajaan dibekalkan RM700,000 setahun.

“Yang pasti, tuduhan bahawa mereka tidak tahu tentang peruntukan tahunan itu adalah tidak benar. Angka ini hanya merupakan permulaan, jika mereka jujur, kerajaan mungkin akan bersetuju menaikkan peruntukan pada tahun akan datang.

“Bagaimana dikatakan mereka terlepas pandang dan mendakwa tidak tahu akan peruntukan ini, sedangkan mereka ‘senyap-senyap’ menggunakan sebahagian daripada peruntukan tahun ini,” katanya.

Beliau menasihati pembangkang supaya berlapang dada dan membuang perasaan hasad dengki terhadap dasar menawarkan peruntukan kawasan terbabit.

Pada Mac lalu, Kerajaan Negeri membenarkan ADN menggunakan sebahagian daripada peruntukan kawasan bagi menampung perbelanjaan masing-masing melalui pekeliling yang dikeluarkan.

-NFN-