Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN bantah usaha tukar yang dipertua, timbalan Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) membantah sebarang usaha untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming.

Kenyataan bersama tiga parti, KEADILAN, AMANAH dan DAP memaklumkan tidak wujud sebarang keperluan bagi perubahan dua jawatan tersebut lebih-lebih lagi mereka diyakini akan terus berkhidmat dengan adil serta saksama.

“Majlis Setiausaha PAKATAN menyokong penuh ahli parlimen dalam gabungan ini kepada YB Tan Sri yang dipertua dan YB timbalan yang dipertua,” kata kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Saifuddin Nasution (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (AMANAH) dan Loke Siew Fook (DAP).

Kenyataan sama menyebut Mohamad Ariff yang bersara dari politik kepartian sejurus memegang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memainkan peranan mustahak dalam merakyatkan parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.

Katanya, Mohamad Ariff berjaya membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen baharu selain mewujudkan Kumpulan Rentas Parti yang merapatkan hubungan antara ahli-ahli parlimen dan masyarakat sivil.

“…serta pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang parlimen yang lain, Tan Sri yang dipertua membuktikan bahawa usaha reformasi institusi bermula pasca PRU-14 kini membuahkan hasil dan wajib diteruskan,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul melucutkan jawatan yang dipertua dan timbalannya pada sidang parlimen 13 Julai ini.