Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, isteri santuni lima beradik yatim piatu akibat Covid-19

SERI KEMBANGAN, 11 OKT: Lima beradik yang hilang tempat bergantung selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad meluangkan masa kira-kira sejam untuk memberi sokongan kepada adik beradik berusia antara tiga hingga 11 tahun itu.

Dalam lawatannya, Amirudin turut menyerahkan baucar beli-belah di Pasaraya 99 Speedmart sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi meringankan beban mereka.

Turut serta dalam kunjungan itu EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Sementara itu, Ahmad Azri berkata pihaknya akan menyumbang lima tablet berserta data internet percuma selama setahun bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, sembilan; Muhammad Harraz, lapan; Muhammad Hawwas, enam; dan Hannan Humaira, tiga, kehilangan bapa Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos.

Ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, menghembus nafas terakhir Khamis lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Mereka kini dijaga datuk dan nenek Abdul Hamid Basirun,67 dan Kintan Sulaiman, 63.

Categories
AGENDA NASIONAL

33 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19, kata menteri

POKOK SENA, 13 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti seramai 33 kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung ekoran kedua ibu bapa atau penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh negara setakat ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kanak-kanak yang menjadi yatim piatu secara tiba-tiba itu akan dibantu dari segi keperluan sosial seperti penjagaan dan perkhidmatan kaunseling untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Setakat ini senarai yang kita dapat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) ada 33 kanak-kanak. Kita mengalu-alukan penglibatan pemimpin masyarakat untuk melaporkan kepada kita sekiranya ada lagi kes kanak-kanak yang kehilangan kedua ibu bapa.

“Sebab kita tidak boleh jangka kes kematian ini. Laporan yang kita terima daripada KKM mungkin bertarikh sekian-sekian, tapi mungkin ada laporan yang lain boleh dimaklumkan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Kanak-kanak (RKK) Pokok Sena di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu akan diserah kepada ahli keluarga atau waris terdekat yang bersedia dan mempunyai kemampuan untuk menjaga mereka.

Bagaimanapun jika keadaan sebaliknya, Rina berkata kanak-kanak itu akan ditempatkan di institusi penempatan atau perlindungan kanak-kanak yang ada pada masa ini sama ada secara sementara atau tetap.

Antaranya ialah RKK Pokok Sena, Kedah; Taman Sinar Puteri (TSP), Batu Gajah, Perak; TSP Cheras, Kuala Lumpur; Rumah Budak Lelaki Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu, Sabah dan TSP Kuching, Sarawak.

“Selain itu kementerian juga mengenal pasti beberapa kaedah altenatif lain untuk membantu kanak-kanak ini, contohnya penempatan di bawah orang yang layak dan sesuai,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera baru-baru ini, Rina berkata kesihatan remaja berusia 13 tahun itu menunjukkan perkembangan positif dan luka-luka di badannya semakin pulih.

Menurutnya, remaja itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kebajikannya malah berusaha memulihkan semula emosi remaja terbabit.

“Dalam hal siasatan kes itu pula ia adalah di luar bidang kuasa kita tapi kita telah menggesa pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes itu, sebab kita juga mahu pelaku dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya ia menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, kisah Bella tular di laman sosial selepas seorang individu mendedahkan mengenai penderitaan remaja berkenaan yang mengalami kesan lecur dan luka di anggota badan dipercayai akibat didera.

-BERNAMA