Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan pulangkan panda gergasi perlu ambil kira perjanjian Malaysia-China

PUTRAJAYA, 2 DIS: Sebarang keputusan untuk memulangkan semula panda gergasi kepada negara asalnya China, mestilah mengambil kira ikatan perjanjian yang telah ditandatangani di antara kerajaan Malaysia dan China, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum desakan orang ramai serta persatuan supaya kerajaan memulangkan semula panda tersebut kepada negara asalnya ekoran kos pengurusan yang tinggi.

Menurutnya, Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda di antara kerajaan Malaysia dan China melalui Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) dimeterai untuk tempoh 10 tahun bermula pada 2014, iaitu tahun ketibaan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang di Malaysia.

“Persetujuan China meminjamkan pasangan panda gergasi kepada Malaysia membuktikan hubungan istimewa yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, melalui perjanjian yang ditandatangani di antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Malaysian Zoological Society (MZS) pada 22 Jun 2013, kerajaan bertanggungjawab dalam membangunkan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara dan membiayai yuran konservasi tahunan panda gergasi.

MZS pula bertanggungjawab membiayai perlindungan insurans, yuran anak panda, kos penghantaran pulang anak panda serta kos operasi pengurusan panda gergasi, katanya.

“Bagaimanapun sebagai tanda prihatin, kerajaan telah membiayai yuran anak panda dan kos penghantaran pulang anak panda yang pertama, Nuan Nuan pada 2017, serta bayaran pakar panda gergasi daripada China yang ditempatkan di PKGP,” katanya.

Pasangan panda gergasi tersebut telah melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan pada 2015 dan Yi Yi pada 2018.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata Yi Yi yang genap dua tahun pada 14 Januari lalu sepatutnya dihantar pulang ke China pada April tetapi terpaksa ditangguhkan hingga kini kerana pusat konservasi di negara tersebut masih ditutup berikutan pandemik Covid-19.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan melaksanakan penghantaran pulang Yi Yi secepat mungkin selepas tarikh dipersetujui oleh China,” katanya, menambah setiap anak panda gergasi perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun.

– BERNAMA