Categories
SELANGOR

Festival Halal Selangor 2017 di Bandar Baru Bangi dijangka meriah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Festival Halal Selangor 2017 yang diadakan di Taman Tasik Cempaka, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dijangka meriah dengan pelbagai tarikan yang disediakan, pada 29 November hingga 3 Disember ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antaranya hampir 156 gerai jualan dibuka termasuk kira-kira 30 ‘food truck’ yang diadakan sepanjang festival itu berlangsung.

“Festival ini dirasmikan Dato’ Menteri Besar pada 30 November ini di pentas utama di Taman Tasik Cempaka. Festival ini acara tahunan dan julung kalinya diadakan di luar Shah Alam dengan tujuan mendekati segenap masyarakat dengan membawanya lebih dekat dengan mereka supaya lebih memahami objektif ia diadakan.

“Antara objektif festival ini diadakan adalah untuk mempromosikan logo halal Selangor dan premis atau syarikat yang berjaya diberikan pensijilan halal ini. Selain itu, ia mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap halalan toiyibban atau halal dan baik terutama sekali membabitkan makanan, barang masakan, perubatan atau alat solek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, festival anjuran JAIS melalui Bahagian Pengurusan Halal Selangor itu turut menampilkan acara lain seperti Ceramah Santai Ustaz Azhar Idrus, Berbalas Pantun Bertemakan Halal, Kursus Persembelihan Halal Bukan Komesial, Bual Bicara Halal Tanggungjawab Bersama dan Sembang Santai Bersama Heliza Helmi.

“Orang ramai khususnya masyarakat di Bandar Baru Bangi jangan lepaskan peluang ini untuk bersama memahami konsep sebenar halalan toiyban,” katanya.