Categories
SELANGOR

MBSA Harap Kontraktor Dilantik Pastikan Shah Alam Terus Bersih

SHAH ALAM, 10 JAN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengharapkan kerjasama kontraktor dan juga operator yang bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan di Shah Alam berterusan dalam keadaan bersih.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, isu kutipan sampah sering mendapat perhatian masyarakat kerana ia mempunyai implikasi ke atas kesihatan masyarakat.

“Kita tidak boleh berkompromi dan memandang remeh soal kebersihan, pihak majlis amat serius untuk memastikan kebersihan Bandar Raya Shah Alam di tahap tertinggi kerana jika tidak ia pasti akan mencemarkan imej MBSA di mata masyarakat umum,” beliau berkata demikian semasa Majlis Perjumpaan Datuk Bandar Bersama Kontraktor-kontraktor Pembersihan Kawasan MBSA di sini.

Oleh itu, beliau berharap kontraktor dapat memastikan kawasan yang ditetapkan diselenggara dengan baik mengikut jadual, masa dan mutu yang tetapkan bagi memastikan penduduk Shah Alam mendapat perkhidmatan kebersihan terbaik.

Sehingga kini, menurut Jaafar sebanyak 158 kontraktor akan dilantik oleh pihak MBSA untuk kerja-kerja pembersihan kawasan di mana pelantikan kontraktor pembersihan ini dibuat secara tender dan sebutharga dengan sebagai permulaan.

Kini sebanyak 99 kontraktor telah memulakan kerja-kerja pembersihan pada 1 Januari 2012.

“Manakala, pada 1 Mac 2012 nanti, baki sebanyak 59 kontraktor yang lain akan memulakan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.

Jaafar berkata, sekiranya ada kawasan yang didapati masih tidak mencapai stardard kebersihan kawasan yang ditetapkan, maka pihak majlis akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terbabit.

“MBSA sentiasa membuat pemantauan di lapangan, bagi memastikan tahap kebersihan di seluruh kawasan pentadbirannya, sentiasa dipertingkatkan dan usaha-usaha untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya memelihara kebersihan kawasan akan diadakan secara berterusan.

“Bagi memastikan kerja-kerja pembersihan ini dapat dipantau dengan cekap, pihak MBSA juga telah melantik unit audit pemantauan kebersihan, yang ahli-ahlinya merupakan di kalangan kakitangan MBSA,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.