Categories
SELANGOR

SPMM Bantah Kempen Kelab Taat Suami

SHAH ALAM, 28 JAN : Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’ yang dilancarkan oleh Kelab Taat Suami baru-baru ini.

Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Muhamad Farid Hadhari berkata Rasulullah merupakan insan yang telah dimuliakan oleh Allah, dan nama baginda sendiri bermaksud ‘yang terpuji’.

Jika benar ingin membuat kempen tentang Baginda Rasulullah, perlu mengadakan dialog atau seminar tentang siapa sebenarnya Muhammad SAW, kehidupannya untuk mengetahui keperibadian sebenar Rasullullah.

Menurut mereka, kempen ini bertujuan bagi mengajak umat Islam terutama pasangan suami isteri supaya mengamalkan kehidupan Rasulullah dan menjadi panduan kepada umat Islam dan ia termasuk aspek ibadat, keluarga dan kehidupan seks.

“SPMM USIM menegaskan, Rasulullah adalah seorang insan teragung dan ikon yang terbaik bagi seluruh manusia.

Adalah satu penghinaan bagi Islam bila menganggap seorang utusan agung, sebagai tokoh seks. Secara tidak langsung, ini juga seolah-olah menggambarkan Islam itu hanya berkisar sekitar seks,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia menyeru Kelab Isteri Taat supaya menarik semula kenyataan-kenyataan mereka berhubung kempen ini termasuk buku “Seks Islam: Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia” yang jelas berunsur lucah.

“Pihak JAKIM dan pihak berwajib supaya bertindak lebih tegas dalam memastikan tidak ada lagi saki-baki kumpulan Al-Arqam seperti ini bebas bergerak. Ahli-ahli mereka juga perlu diberikan kelas intensif seumpama kelas pemulihan akidah.,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.