Categories
NASIONAL

Pengundi Pos Menjadi Penentu Kawasan Kuala Kubu Bharu.

SHAH ALAM 20 FEB: Pakatan Rakyat mendakwa ada usaha untuk menjadikan anggota askar di kawasan Kuala Kubu Baru sebagai pengundi penentu atau “kingmaker” di dalam pilihanraya akan datang.

Ini berikutan penambahan mendadak populasi pengundi pos di kerusi DUN tersebut sehingga 400 orang, majoriti mereka dipercayai anggota yang menetap di kem regimen semboyan.

ADUN Kampung Tunku Lau Weng San berkata oleh kerana majoriti kemenangan di kerusi Kuala Kubu Baru sekitar 480 undi sahaja, sokongan pengundi pos tersebut akan menjadi kritikal.

“Jadi kita menyeru orang Kuala Kubu Baru yang menetap di tempat lain supaya semak butiran mengundi mereka dan balik ke Kuala Kubu Baru untuk membuang undi.

“Masa depan Kuala Kubu Baru tidak boleh dibiarkan untuk ditentukan sekumpulan askar sahaja,” Lau berkata di dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau yang ditemankan penyelaras DUN Kuala Kubu Baru Law Suet Peng dan pegawai perhubungan kampung baru Cina Chng Boon Lai menunjukkan senarai 400 pengundi pos yang baru didaftarkan di kawasan tersebut.

Lau juga mendakwa berlaku pemindahan pengundi yang berdaftar di dalam Kuala Kubu Baru ke Batang Kali tanpa pengetahuan atau permintaan mereka.

Sekumpulan pengundi yang daripada sebuah Kampung Baru Cina di dalam Ulu Yam itu mendakwa mereka telah dipindahkan ke kawasan Batang Kali yang bersebelahan dengan Kuala Kubu Baru.

Ini berlaku walaupun kampung tersebut terletak di dalam sempadan Kuala Kubu Baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published.