Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: Keganasan Polis Melampaui Batas

KOMENTAR: Meskipun hanya mahu menyampaikan hasrat rakyat negara ini bagi menuntut hak agar pilihan raya bersih dan adil diadakan, rakyat negara ini terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas amukan PDRM (Polis DiRaja Malaysia) yang lengkap bersenjata.

Tindakan ganas pihak PDRM terhadap peserta perhimpunan aman Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Sabtu lalu jelas menggambarkan sikap tidak profesional badan penguatkuasa terlibat.

Tindakan-tindakan ganas PDRM yang lengkap bersenjata terhadap perserta perhimpunan semalam juga cukup bagi menggambarkan usaha keras agensi keselamatan tersebut untuk menggagalkan perhimpunan itu demi melindungi kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Perhimpunan Duduk dan Bantah BERSIH 3.0 itu diadakan bagi memprotes tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan memenuhi tuntutan rakyat negara ini untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dari sebarang manipulasi.

Tinjauan TVS sepanjang perhimpunan semalam jelas menunjukkan perhimpunan yang pada awalnya berjalan dalam suasana aman mulai bertukar ganas apabila polis mula bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata, tembakan air kimia, mengejar dan memukul peserta perhimpunan dan pihak lain yang tidak terlibat dalam perhimpunan.

Keganasan polis menjadi semakin buruk apabila terdapat segelintir anggota polis yang menyebarkan berita palsu sesama mereka bahawa seorang anggota polis telah terbunuh ketika bertugas mengawal perhimpunan tersebut.

Ini jelas apabila terdapat anggota polis yang menjadikan alasan ‘kematian’ rakan mereka untuk bertindak ganas terhadap orang awam.

Dalam satu kejadian di Jalan Masjid India semalam, seorang anggota polis dilihat mengherdik salah seorang peguam pemerhati dari Jabatan Undang-undang Hak Asasi Manusia (JUHAM), Afian yang kebetulan berada di situ dan cuba menghalang tindakan ganas polis.

“Kau tahu tak, ada anggota yang mati tadi! Gunakanlah otaklah.. Siapa tak geram, diaorang memang nak kena ajar!,” herdik anggota polis tersebut bagi menghalalkan tindakan ganas beliau dan sekumpulan polis terhadap seorang orang awam yang sedang menikmati makanan di kedai makan berhampiran pasaraya Mydin.

Bagaimanapun menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM hari ini menyatakan kematian anggota polis, Sarjan Zaini Nawawi, 53, tiada kena mengena dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan.

Perkara ini turut disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh  dalam sidang media yang sama.

“Anggota tersebut meninggal dunia kerana mengalami sesak nafas ketika menjalankan tugas rondaan biasa di kawasan Bukit Bintang,” kata Mohmad Salleh.

Afian boleh dianggap bernasib baik berbanding rakan sejawat beliau dari Lawyers for Liberty yang juga bertindak sebagai peguam pemerhati, Mohd Haijan Omar yang mengalami luka di bahagian bawah mata kirinya, bengkak di rahang dan juga lebam di bagian lain badannya setelah dibelasah polis di Jalan Tun HS Lee.

Menurut Haijan beliau terus dikasari walaupun telah berada di dalam tahanan polis.

Tidak terkecuali, petugas media yang membuat liputan Perhimpunan BERSIH 3.0, yang bukan sahaja kamera dirampas kerana merakamkan kejadian sebenar malah turut menjadi mangsa keganasan PDRM semalam.

Antara wartawan terbabit adalah wartawan dari The Sun, Radzi Razak yang terpaksa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur setelah mengalami kecederaan tulang rusuk dan bahagian dalaman lain akibat keganasan polis.

Selain itu, tindakan kumpulan anggota polis tersebut tampak jelas bukanlah bertujuan untuk menyuraikan perhimpunan kerana perhimpunan telah pun berakhir kira-kira sejam yang lalu.

Kebanyakan yang ditahan pada masa itu merupakan peserta perhimpunan yang telah pun bersurai dan sedang berehat atau makan di kedai-kedai makan sekitar Jalan Masjid India yang bukan merupakan tapak perhimpunan.

Drama kejar mengejar terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat dalam perhimpunan sebelumnya turut berlaku di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur meskipun kebanyakkan antara mereka yang dikejar itu sedang dalam perjalanan menuju ke stesen komuter atau LRt untuk pulang.

Malah ada diantara peserta yang sedang berehat berhampiran masjid Jamek untuk menunggu masuk waktu magrib sebelum berangkat pulang

Tindakan itu menjelaskan lagi bahawa tindakan polis ketika itu bukanlah bertujuan menyuraikan perhimpunan atau mempertahankan Dataran Merdeka dari dimasuki sebaliknya mereka ‘keluar kubu’ untuk menyerang mana-mana orang awam yang disyaki peserta perhimpunan.

Dalam satu kejadian di Jalan Tunku Abd Rahman pula, Azan Ridzuan, 25, turut menjadi mangsa keganasan polis apabila beliau telah ditarik keluar dari Hotel Swiss dan dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan anggota polis.

Menurut Azan, ketika pihak polis menyerbu masuk ke Hotel Swiss, beliau sedang berada di lobi hotel bersama dua saudaranya.

“Masa tu saya ada bersama adik saya,isterinya dan beberapa orang yang tidak saya kenali.

“Tiba-tiba sahaja polis masuk serbu dan kami cuma terkejut dan tidak bertindak apa-apa melainkan mendiamkan diri sahaja.

“Bila mereka tengok tak ada sesiapa yang pakai baju BERSIH di situ, diorang cekup dan tarik saya secara rambang sahaja.

“Tanpa saya melawan, saya ditarik keluar dari hotel dan dipukul kira-kira sekumpulan 10 anggota polis dengan menggunakan cota dan tangan di kepala, badan dan tangan yang saya guna untuk lindungi muka saya.

“Bila saya tumbang, polis-polis itu masih memukul saya termasuk menendang di bahagian perut,” kata Azan kepada TVS.

Azan juga memberitahu selepas kejadian dipukul itu beliau telah diarahkan agar meninggalkan tempat itu dengan serta merta.

“Selepas tu mereka tengking saya, suruh tinggalkan tempat itu. Kalau itu sahaja sebabnya kenapa tak beritahu sahaja tanpa gunakan kekerasan kerana pada masa itu kami memang bercadang untuk pulang, tetapi memandangkan keadaan di luar tak selamat kami terpaksa berlindung dahulu di hotel itu sementara tunggu keadaan lebih selamat.

“Selepas berlari tak jauh dari situ saya rebah, pengsan dan bila sedar sahaja saya dapati saya sedang dibantu oleh beberapa orang awam yang berada di situ,” katanya lagi.

Sebelum itu di lokasi yang sama, Nani, 40 tahun telah kehilangan telefon bimbit berjenama Galaxy Note Samsung yang bernilai hampir RM2000 ringgit dipercayai diambil oleh seorang anggota polis.

Menurut Nani yang datang dari Kedah itu, telefon tersebut telah dihadiahkan oleh suaminya sempena harijadinya kira-kira seminggu lalu.

“Masa tu akak berada di tepi hotel sedang menghantar SMS, tiba-tiba polis datang menyerbu dan akak terkejut sampai telefon tu terlepas dari tangan.

“Akak terus tarik tangan anak akak lari ke dalam hotel. Cuma kurang tiga minit lepas itu bila akak sedar telefon tak ada, akak keluar cari, tetapi dah tak ada.

“Akak terus cuba hubungi telefon akak tu, mula-mula tadi ada nada dering tetapi tak dijawab, sekarang langsung dah ditutup” katanya.

Menurut seorang saksi kejadian, Remy, 31 tahun, beliau melihat sendiri salah seorang anggota polis yang datang menyerbu nampak telefon itu terjatuh dan mengambilnya.

“Saya tak jauh dari situ, memang nampak seorang polis yang sama-sama datang  menyerbu, perasan telefon akak ni jatuh dan lepas itu dia ambil.

“Kalau saya nampak mukanya sekarang mungkin juga saya boleh cam lagi agaknya,” kata Remy.

Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 semalam turut menyaksikan beberapa pemimpin politik dan NGO samada dipukul atau ditahan polis.

Antara yang turut menjadi mangsa keganasan polis ialah Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dan lima aktivis SAMM lain yang turut dibelasah selepas ditahan pihak polis.

Dalam kejadian tersebut Chegu Bard telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan badan dengan kesan-kesan lebam dipercayai dipukul dengan menggunakan cota.

Selain Chegu Bard yang diberitakan telah dibebaskan hari ini, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aziz Bari turut ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.